Shukri Yahaya Dah Bergelar Suami Orang



Hero drama ‘Asam Pedas Untuk Dia’, Shukri Yahaya atau nama penuhnya Mohd Shukri bin Yahaya, 27, selamat bergelar suami kepada Tya Adnan, 24, dengan sekali lafaz kira-kira jam 3.36 petang pada Jumaat. Pasangan mempelai ini diijabkabulkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan dan Perceraian Putrajaya, Ustaz Muhd Redza Ahmad dan berwalikan bapa Tya sendiri Ahmad Adnan bin Ishak di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Pada majlis tersebut, pelakon yang mendapat jolokan Jericho Rosales ini memberi tujuh dulang hantaran kepada isterinya berupa senaskhah Al-Quran dan telekung, set minyak wangi, tas tangan, set alat solek, kek dan sireh junjung. Shukri turut menghadiahkan cincin dan mas kahwin kepada isterinya manakala jumlah wang hantaran pula dirahsiakan.




Shukri Yahaya Nikah

Sebagai balasan, pihak perempuan membalas dengan sembilan dulang hantaran, antaranya senaskhah Al- Quran dan tasbih, sepasang kasut, komputer riba, jam tangan, set wangian, coklat, buah-buahan serta sireh junjung.

Shukri yang juga popular menerusi drama ‘Dia… Isteri Luar Biasa’ ketika ditemui selepas selesai majlis akad nikah turut melahirkan rasa syukur apabila selamat disatukan dengan isterinya.

“Alhamdulillah, saya dan Tya kini sah bergelar pasangan suami isteri,” kata Shukri yang kacak mengenakan persalinan busana berwarna putih yang direka khas oleh Lumiere Concept.



Shukri Yahaya Nikah

Sementara itu, Tya yang manis bertudung turut berkongsi rasa gembira dengan suami dan tidak sabar untuk menempuh alam rumah tangga bersama.

Filem ‘Ular’ arahan Jason Chong pada 2010 menjadi titik perkenalan antara dua hati ini sebelum mereka mencapai kata sepakat untuk mengikat tali pertunangan pada 11 Januari 2013. Tya atau penuhnya Siti Nurfatihah Ahmad Adnan pernah bergelar pelakon, namun sudah berhenti berlakon dan kini fokus terhadap dunia perniagaan.

Pasangan ini bakal diraikan dalam satu majlis resepsi pada keesokan harinya di Kampung Pulau Meranti, Puchong. Tahniah buat Shukri dan pasangan!

Previous Post Next Post