Syarul Ridzuan: Buktikan kami renggang!


PELAKON, Syarul Ridzuan meminta pihak yang menabur fitnah berkenaan hubungannya dengan pelakon wanita, Mia Ahmad sudah renggang berikutan kehadiran orang ketiga iaitu Mira Filzah, agar tampil menunjukkan bukti kukuh.

Tegasnya, sehingga kini hubungannya dengan kedua-dua wanita itu baik.

“Bagi saya, pihak itu sengaja mahu wujudkan gosip dan tidak tahu apa motifnya. Dia adalah seorang yang tidak bertanggungjawab.

“Apabila dia buat fitnah itu, dia akan melaga-lagakan dua orang perempuan yang baik.

“Dan dia juga akan melibatkan pihak lain, antaranya peminat Mira Filzah, peminat Mia Ahmad dan juga peminat saya,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada sidang media Teater Bawang Merah Bawang Putih, baru-baru ini.

Syarul atau nama sebenarnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim mengakui yang dirinya turut menerima tempias daripada gosip itu apabila dikecam ramai pihak.


“Saya tidak mahu perbesarkan isu ini dan turut berpesan kepada peminat agar dibiarkan sahaja perkara ini. Bagi saya, lebih baik bercakap dengan orang yang ada ilmu daripada 10 orang yang tidak ada ilmu.

“Oleh itu, saya tanya kepada pihak itu, apa buktinya (hubungan renggang), datang jumpa saya, tunjuk hubungan saya dengan Mia renggang,” katanya.
Bukan kaki perempuan

Pelakon berusia 26 tahun ini juga menegaskan, dia bukanlah kaki perempuan yang didakwa segelintir pihak.

Jelas Syarul, dia sangat mengagumi wanita yang berilmu dan suka berkawan dengan golongan seperti itu.

“Mira seorang graduan perniagaan antarabangsa, begitu juga dengan Mia yang ada visinya. Mereka berdua ada wawasan sendiri, itu menyebabkan saya suka berkawan dengan mereka.

“Saya lebih suka duduk bersembang dengan orang ada pengetahuan yang boleh datangkan hasil daripada borak perkara yang sia-sia.

“Bukan mereka berdua sahaja, tetapi saya suka berkawan dengan Anis Al-Idrus dan sesiapa sahaja yang punyai ilmu,” katanya.

Previous Post Next Post