Zee Avi Muncul Dengan Arena Cahaya


Zee Avi muncul dengan single terbaharu dalam bahasa Melayu berjudul Arena Cahaya yang juga lagu tema filem OlaBola.

Penyanyi yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat, Zee Avi tampil dengan single berbahasa Malaysia berjudul Arena Cahaya yang turut dijadikan sebagai lagu tema filem OlaBola.

Zee atau nama sebenarnya Izyan Alirahman, 28, berkata, dia menghasilkan sendiri lagu berkenaan bersama sahabat baiknya, Rendra Zawawi hanya dalam tempoh sebulan.

“Arena Cahaya ditulis dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris bagi menggambarkan negara Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa. Saya berharap agar lagu ini mampu memupuk semangat dan mengembalikan sorak juang rakyat Malaysia.

"Saya dan sahabat baik saya Rendra Zawawi mengambil masa sebulan menyiapkan lagu berkenaan termasuk susunan muziknya,” katanya kepada mStar Online.

Ditanya mengenai kerjasama menghasilkan lagu berkenaan, Zee berkata, dia dihubungi oleh pengarah OlaBola iaitu Chiu Keng Guan menerusi Facebook untuk menghasilkan lagu tema filem berkenaan dan terus bersetuju tanpa berfikir panjang.

"Saya berbesar hati dapat bersama-sama menjayakan projek ini dan Arena Cahaya ditulis bukan sahaja untuk filem ini tetapi bagi menggambarkan semangat rakyat Malaysia yang berbilang bangsa," katanya.

Dalam pada itu, bercakap lanjut mengenai Arena Cahaya, Zee berkata, dia mendapat ilham menulis lagu berkenaan daripada peristiwa sebenar pasukan bola sepak negara ini.



Zee (kiri) bersama pengarah filem OlaBola, Chiu Keng Guan.

Jelas Zee, dia ingin memaparkan semangat juang sebuah pasukan bola sepak yang terdiri daripada pelbagai kaum dalam kesungguhan mengharumkan nama negara.

"Lagu ini dekat dengan masyarakat Malaysia dan saya ingin mengetengahkan nilai-nilai perpaduan yang mampu mendorong rakyat Malaysia sama-sama mencapai impian," katanya.

Sementara itu, Chiu berkata, sebagai pengarah dia berbesar hati dapat bekerjasama dengan Zee yang telah menghasilkan sebuah lagu yang kena dengan tema OlaBola.

Kata Chiu, pertama kali mendengar lagu berkenaan dia terpikat dengan melodi dan lirik ditampilkan.

"Saya kagum dengan bakat Zee yang cukup luar biasa kerana dapat menghasilkan sebuah lagu yang cukup mantap untuk filem berkenaan.

"Hanya menyaksikan sedutan klip dari OlaBola Zee mampu menterjemahkan sentimen filem itu dengan baik," ujarnya.

OlaBola yang menampilkan barisan pelakon seperti JC Chee, Luqman Hafidz, Marianne Tan, Katrina Ho, Bront Palarae dan Frankie Lee bakal menemui penonton pada awal tahun hadapan.

Previous Post Next Post