Adam Shahz Terus Digoda Selepas Mesej Mesra Jadi Viral



Pelakon Adam Shahz berkata sejak isu pendedahan paparan skrin perbualannya dengan seorang wanita menjadi viral, ramai wanita yang mahu mencuba nasib berkenalan dengannya.

Bagaimanapun Adam, 33, menyifatkan wanita-wanita tersebut sekadar mahu meraih publisiti selain ingin melihat rumah tangganya hancur.

"Bayangkan, ketika isu masalah rumah tangga saya menjadi viral, pengikut saya di Instagran tiba-tiba bertambah sebanyak 4,000 dalam masa empat hari.

"Dan kebanyakannya adalah wanita yang mahu mengintip saya. Kalau di Facebook pula ada yang menghantar mesej 'Hi' kononnya mahu berkawan," katanya yang dihubungi mStar Online pada Isnin.


Terdahulu, isteri Adam iaitu Fatin Afifah atau nama sebenarnya Fatin Nur Afifah Shamsudin telah memuat naik status dan paparan skrin perbualan suaminya itu dengan seorang wanita.


Adam bersama isteri dan anak mereka.

Menerusi perbualan tersebut, Adam dan wanita berkenaan seperti sedang merancang untuk bertemu.

Dalam pada itu, Adam berkata, dia turut sedar bahawa ramai yang ingin melihat rumah tangganya hancur berdasarkan komen-komen yang dibaca di Facebook yang meminta dia dan isteri lebih baik berpisah.

Sementara itu, Adam berkata, insiden diganggu pihak ketiga bukan sahaja berlaku kepadanya, tetapi ramai selebriti lain tidak kira lelaki mahupun wanita apabila mereka berdepan dengan individu yang sengaja mahu menjadi perosak rumah tangga.

"Sebenarnya perkara ini banyak terjadi kepada artis yang sudah berkahwin di mana ada pihak ketiga yang sengaja mahu cucuk jarum.

"Jadi buat rakan-rakan artis lain, mereka perlu berhati-hati dalam menjawab komen-komen peminat kerana sesetengah mereka cuba berniat tidak baik.

"Saya faham, kita sebagai artis ada kalanya perlu menjawab komen-komen mereka kerana takut nanti dikatakan sombong pula. Tetapi ada hadnya. Pesanan ini juga untuk diri saya sendiri," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Adam baru selesai menjalani penggambaran drama Kaki Kipas (siaran TV9) bersama pelakon Bell, Anas Redza dan Reen Rahim.

Selain itu Adam juga bakal muncul menerusi program dokudrama dalam masa terdekat.

Adam mendirikan rumah tangga dengan Fatin pada 21 Disember 2013 dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan pada 15 Jun lalu.

Previous Post Next Post