Adira Sedia Bermadu Selepas Dilamar Datuk Seri Menerusi Telefon



Penyanyi Adira memberitahu dia membuat keputusan bernikah dan sedia bermadu selepas tiga minggu berkenalan menerusi telefon dengan ahli perniagaan Datuk Seri Adnan Abu.

Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 24, berkata, biarpun perkenalan mereka singkat namun dia bersetuju dengan lamaran tersebut kerana yakin dengan keikhlasan lelaki itu untuk memperisterikannya.

"Terus terang perkenalan kami sebenarnya sangat singat dalam tiga minggu sahaja sebelum dia melamar saya untuk menjadikan saya isterinya.

"Sepanjang tempoh itu juga saya hanya berjumpa dengannya sebanyak dua kali sebelum dia menyatakan hasratnya hanya menerusi panggilan telefon.


"Saya terima kerana keikhlasannya dan menganggap apa yang berlaku itu adalah jodoh saya," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.


Adira (kiri) bersama madunya dikenali Datin Red. Foto dari Instagram Adira.

Terdahulu, gosip mengatakan Adira sudah berkahwin dengan lelaki berkenaan tersebar luas sejak Khamis lalu.

Gosip tersebut bertambah kuat apabila isteri pertama Adnan yang dikenali sebagai 'Datin Red' mendedahkan di ruang komen Instagram menerusi gambar dimuatnaiknya dengan menyatakan bahawa dia dan Adira kini berkongsi suami.

Dalam pada itu, ditanya mengenai tarikh sebenar dia bernikah dengan Adnan, Adira bagaimanapun enggan mendedahkan perkara itu.

Malah kata Adira, sebelum ini dia enggan mengesahkannya kerana perlu menjaga hati banyak pihak terutama keluarga madunya.

"Maaf saya tidak dapat memberitahu perincian berhubung perkahwinan kami dan seelok-eloknya biarlah ia datang daripada pihak lelaki sendiri," ujarnya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai Adnan, Adira berkata, perkenalan mereka menerusi kakaknya yang juga kenalan ahli perniagaan berkenaan.

Kata Adira, dia tertarik dengan Adnan kerana sikapnya yang merendah diri berhubung latar belakangnya dan tidak bercakap buruk mengenai isteri pertama.

"Alhamdulillah perjalanan saya untuk berkahwin dipermudahkan dan saya senang menerimanya kerana sikap jujur dan tidak terlalu berusaha untuk menyakinkan saya.

"Saya kagum dengannya yang tidak menjadikan isteri pertama sebagai alasan untuk berkahwin dan tidak pernah dia memburuk-burukkan wanita itu kepada saya.

"Selebihnya biarlah saya simpan untuk pengetahuan diri saya sahaja," ujarnya.


Adira bersama suaminya Adnan.

Jelas Adira keluarganya juga merestui hubungan mereka berdua malah diterima baik oleh isteri pertama Adnan.

"Alhamdulillah seperti saya katakan tadi semuanya berjalan lancar walaupun semuanya berlaku dalam masa singkat.

"Biarpun kami tidak sempat bercinta tetapi Insya-Allah berkasih sayang selepas berkahwin lebih baik," ujarnya.

Ditanya adakah keputusannya berkahwin secara tergesa-gesa kerana kecewa selepas putus tunang sebelum ini, Adira menjawab ringkas : "Ia tidak ada kena-mengena".

Adira sebelum ini pernah bertunang dengan Presiden Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia, Shahrul Nasrun Kamarudin pada 22 Disember tahun lalu namun ikatan berkenaan putus pada pertengahan April lalu.

Previous Post Next Post