Aliff Aziz & Kilafairy Ambil Masa 2 Jam Rakam Lagu Filem Dilwale


Kilafairy dan Aliff Aziz hanya mengambil masa dua jam untuk merakamkan lagu tema filem Dilwale berjudul Gerua (Warna Cinta) dalam versi bahasa Melayu.

Penyanyi Aliff Aziz dan Kilafairy hanya mengambil masa dua jam untuk merakamkan semula salah sebuah lagu tema filem Bollywood iaitu Dilwale berjudul Gerua (Warna Cinta) dalam versi bahasa Melayu.

Aliff, 24, berkata, keterujaan dipilih merakamkan lagu berkenaan membuatkan dia dan Kilfairy mampu menghayati lagu berkenaan dengan baik sekali gus proses rakaman dibuat dalam masa singkat.

"Kami rakam lagu berkenaan tiga minggu lalu dan ia disiap hanya dalam masa dua jam sahaja.

"Bukan kerana Warna Cinta mudah dinyanyikan tetapi keterujaan kami dipilih untuk menyanyikan lagu berkenaan dalam bahasa Melayu membuatkan proses berkenaan berjalan lancar," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Aliff berkata, dia bertuah dapat bekerjasama dengan Kilafairy dan menganggap vokal anak kepada penyanyi Rohana Jalil itu cukup merdu menyanyikan lagu hindustan.

Bagaimanapun katanya, usaha untuk menyampaikan lagu berkenaan dalam cara tersendiri tanpa merosakkan versi asal adalah cabaran terbesar buat mereka.


"Sebelum masuk studio saya memang mendengar berulang kali lagu Gerua untuk mendapatkan 'feel' selain menghayati liriknya.

"Semasa proses rakaman kami mahu membawa cara kami tetapi cabarannya adalah untuk tidak merosakkan versi asal," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai Dilwale, Aliff berkata, biarpun ulasan mengenai filem berkenaan bercampur-campur oleh pihak pengkritik di India namun dia tetap teruja untuk menonton.

Baginya, kehadiran Shah Rukh Khan dan Kajol dalam filem berkenaan sudah memberi cukup aura untuk menarik penonton menyaksikan gandingan mereka berdua.

"Biar apa pun kritikan diberikan terhadap filem itu saya tetap teruja untuk menonton kerana selain meminati filem hindustan saya juga peminat setia Shah Rukh Khan dan Kajol.

"Saya percaya mereka tidak pernah memberikan persembahan menghampakan dalam setiap filem lakonan mereka," ujarnya.

Dilwale adalah terbitan syarikat isteri Shah Rukh Khan iaitu Gauri Khan dan diarahkan oleh Rohit Shetty.

Selain Shah Rukh Khan dan Kajol filem itu turut dibintangi oleh Varun Dhawan, Kriti Sanon, Johnny Lever dan Varun Sharma.

Previous Post Next Post