Artis Terkenal Bakal Meriahkan Festival #Kamibersamamu Esok


Erra Fazira akan membuka gerai jualan sempena kempen #Kamibersamamu anjuran TV3 di Putrajaya pada Sabtu.

Barisan artis terkenal bersama personaliti TV3 bakal memeriah Festival #Kamibersamamu yang akan diadakan sempena sambutan kesepuluh program Bersamamu di Esplanade, Putrajaya pada Sabtu.

Festival yang pertama kali dianjurkan TV3 itu bertujuan bagi mendapatkan dana untuk mengisi Tabung TV3 Bersamamu.

Antara artis yang bakal hadir ialah Jaclyn Victor, Azrel Ismail, Dayana Roza, Janna Nick, Shukri Yahya, Izzue Islam, Syarul Ridzuan, Mia Ahmad, Elizad Sharifuddin, Amar Asyraf, Ummi Nazeera, Ezzaty Abdullah dan Nadzmi Adhwa.



Kumpulan Drama Band.

Sementara itu, festival turut dimeriahkan dengan penampilan maskot Boboiboy, Upin dan Ipin, seni kraf, persembahan akustik, karaoke, lelongan barangan eksklusif, sesi ramah mesra bersama para artis, seni hias cupcake, merias kuku, solekan dan seni mengecat wajah.

Siaran langsung program #Kamibersamamu akan dihoskan oleh Teh Syuhaida dan Irin Putri Azmipada pukul 10 pagi di TV3 dengan membawakan lintas langsung dan topik menarik.

Selain itu, laporan berita semasa menerusi Berita Terkini, rancangan, Muzik Muzik, juga akan bersiaran langsung bersama finalis Anugerah Juara Lagu yang ke-30 di lokasi acara.

Orang ramai dijemput untuk sama-sama memeriahkan acara berkenaan selain mengunjungi gerai-gerai jualan yang dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam oleh artis popular seperti Erra Fazira, Drama Band, Encik Mimpi, Erma Fatima dan Hijjaz.

Previous Post Next Post