Chef Riz Mampu Selesaikan Konflik Rumah Tangga



Tukang masak selebriti Chef Riz tidak menafikan terdapat sedikit konflik rumah tangga antara dia dengan isteri, Shikin Maembong namun ia berjaya diselesaikan.

Bagaimanapun Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Redzuwan, 33, berkata, masalah tersebut berlaku kerana kesibukannya dengan perniagaan tetapi ia tidaklah serius sehingga perkahwinan mereka goyah seperti yang diperkatakan beberapa pihak.

"Tidak ada apa yang serius berlaku antara saya dan isteri. Cuma sejak akhir-akhir ini saya sibuk menguruskan restoran dan beberapa perniagaan lain membuatkan masa saya bersama isteri dan anak sangat terhad.

"Biasalah orang perempuan merajuk. Tambahan pula Shikin seorang yang berjiwa lembut, jadi dia mudah terasa.

"Saya malas nak layan apa yang orang luar fikir tentang kami. Tiada faedah pun. Biasalah suami-isteri, mesti sedikit sebanyak akan ada konflik-konflik kecil," katanya kepada mStar Online.



Shikin dan anaknya, Arianna.

Minggu lalu, terdapat beberapa pihak di forum hiburan membincangkan mengenai rumah tangga Riz dan Shikin kononnya sedang dilanda badai.

Malah Shikin pula kerap memuat naik status-status sedih di Instagram miliknya sehingga ia menimbulkan tanda tanya.

Bagaimanapun, kata Riz, memandangkan perkahwinannya dengan Shikin merupakan yang kedua, dia enggan masalah serius mengganggu rumah tangga mereka.

Apatah lagi dia bersyukur mempunyai seorang wanita yang sangat lemah lembut dan baik sebagai isteri dan ibu kepada anaknya, Putri Arianna Natasya yang berusia tujuh bulan.

"Selalunya saya buat dia merajuk, jadi kenalah pujuk ambil hatinya semulakan? Dia seorang isteri dan ibu yang sangat baik dan berjiwa lembut. Tak mungkin saya akan abaikannya begitu sahaja.

"Apatah lagi perkahwinan kami masih baru dan kami sedang belajar mengenai diri masing-masing. Yang penting dalam perkahwinan, kita perlu bertolak ansur," tuturnya.

Previous Post Next Post