Erra Fazira: Saya belum ada rancangan kahwin lagi


ERRA dan anaknya, Aleesya ketika hadir memeriahkan sambutan ulang tahun ke-45 majalah URTV.

KEHIDUPAN seorang jelitawan, bahkan aktres yang pernah mengungguli gelaran Primadona Filem Melayu Alaf Baharu bernama Erra Fazira tidak semudah yang disangka. Kerdipan glamor yang diraih sejak zaman anak dara, berkahwin dan bercerai harus dibayar dengan ruang privasi sukar dikunci rapi agar tidak terusik.

Diam menjalani rutin seni, ibu serta usahawan, status solo yang dijunjung menyukarkan Erra terlepas daripada spekulasi, terutamanya ramai yang tidak sabar melihat beliau kembali naik pelamin. Menambah kehangatan, aktres Soal Hati itu masih dikaitkan dengan bekas juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Shahir. Baru-baru ini, muncul lagi desas-desus mengatakan Erra, 41, dan Shahir, 27, kini sedang merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat.

Biarpun pernah mengakui mereka saling bersahabat, Erra bagaimanapun menafikan spekulasi berkenaan, bahkan tidak tahu-menahu mengenai cerita yang dianggap jauh daripada kebenaran tersebut.

Ditemui media pada majlis sambutan ulang tahun ke-45 majalah hiburan URTV terbitan Utusan Karya di Saloma Bistro, Ahad lalu, bintang filem Sembilu itu meminta khalayak tidak mudah percaya cerita rekaan yang sengaja direka pihak tidak bertanggungjawab, kecuali telah mendapat pengesahannya terlebih dulu.

Kata Erra, jika sesuatu kisah itu datang daripada mulutnya, bila-bila masa sahaja beliau bersedia bercerita lanjut, Tetapi jika berita berkenaan sesuatu yang digembar-gemburkan pihak yang beliau sendiri tidak tahu siapa dan daripada mana sumber, tiada guna untuknya mengulas walaupun sepatah ayat.

Dalam kesibukannya menguruskan perniagaan dan melayani kerenah anaknya, Engku Aleesya yang semakin membesar, Erra turut berkongsi tentang projek lakonan terbaharunya.


Artis Meletop!: Apa khabar Erra? Bagaimana dengan kerjaya lakonan?

ERRA FAZIRA: Alhamdulillah, sihat. Mengenai lakonan, saya rasa tidak banyak yang boleh saya kongsikan kerana baik drama, filem, mahupun teater, saya rasa lebih baik dikurangkan bersesuaian dengan imej saya sebagai wanita bertudung dan juga seorang ibu. Pastinya, saya tidak akan menolak sekiranya diberi watak yang sesuai. Kalau bersesuaian dan saya mempunyai kelapangan, saya sedia melibatkan diri.

Maaf bertanya, desas-desus mengatakan bahawa anda dan Shahir akan berkahwin dalam masa terdekat mula bertebaran. Boleh jelaskan sedikit.

Bagi saya perkara ini mudah sahaja. Buat masa ini memang tiada. Kalau betul ia akan berlaku, ia mesti datang daripada mulut saya atau pihak lagi satu (Shahir). Maaf, saya memang tidak boleh menjawab kerana setakat ini memang tiada apa-apa perkembangan untuk ke arah itu (perkahwinan). Saya hairan apabila orang bercakap tetapi tidak tahu daripada mana sumbernya kerana memang bukan datang daripada mulut saya.

Setakat ini memang tiada apa-apa perkembangan atau persediaan untuk berkahwin?

Jujur saya katakan, kalau ada, saya akan beritahu. Kalau tiada, maka tiadalah. Saya tidak boleh nak komen sebab saya tidak tahu apa-apa. Tiada perancangan nak kahwin langsung. Kalau nak kahwin mesti ada persediaan untuk berjumpa orang tua dan sebagainya. Masalahnya, memang tiada langsung.

Adakah berasa tertekan apabila berita sebegitu disebarkan secara meluas?

Saya tiada masalah tentangnya. Cuma, saya kasihankan mereka (media) yang apabila berjumpa saya, kena tanya soalan yang sama dan saya masih memberikan jawapan yang sama. Sehingga kini, tiada apa-apa perkembangan apatah lagi hendak menuju ke gerbang perkahwinan.

Baiklah, berbalik soal anak (Engku Aleesya) yang semakin membesar, pastinya cabaran membesarkannya juga semakin besar, boleh ceritakan sedikit perkembangan Aleesa kini.

Dia tidak bersekolah di sekolah kebangsaan. Sekarang Aleesya sudah masuk sekolah baharu (sekolah antarabangsa). Berbeza dengan sekolah kebangsaan, waktu cuti berlainan. Jadi dia sudah mula pergi sekolah dan menyesuaikan diri dengan keadaan.

Bagaimana pembahagian untuk anak dengan bekas suami (Engku Emran) setakat ini?

Baik sahaja. Memang sejak dari dahulu, kami sudah sepakat berhubung pembahagian masa untuk saya bersama anak dan ada juga masa untuk dia (Emran) bersama dengan anak. Kami sudah membahagikan masa sebaik mungkin.

Mengenai perkembangan seni, apa yang terbaharu daripada anda?

Saya kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama berjudul Rumi dan Jiwa bersama Remy Ishak dan Fathia Latiff. Di samping itu, rancangan bual bicara Primadona juga bakal muncul dengan musim baharu.

Previous Post Next Post