Fasa baharu Nas, Aliff


MEMILIH Krabi sebagai destinasi berbulan madu, Aliff dan Nas memgimpikan sepasang cahaya mata.

BUAT dua insan bercinta, tiada yang lebih mengujakan dalam hidup selain bertukar status menjadi pasangan suami isteri. Ternyata, fasa itu telah dilalui oleh kedua mempelai yang juga pasangan selebriti iaitu Nas Adila dan Aliff.

Manis bersama, Nas atau nama lengkapnya, Nas Adila Mohd. Dan, 29, anggun mengenakan busana berwarna merah jambu cair, manakala Aliff segak berbaju Melayu dengan warna sedondon.

Nas selamat diijabkabulkan bersama pasangannya, Aliff atau nama sebenarnya, Mohamad Aliff Mohd. Razali, 29, di Masjid Negara, Kuala Lumpur minggu lalu.

Majlis nikah kedua pasangan yang merupakan bekas pelajar program realiti Akademi Fantasia itu diwalikan bapa kandung Nas iaitu Mohd. Dan Sudin serta disempurnakan oleh Imam Masjid Negara, Haji Abdullah Mat.

Ditemui media usai majlis pernikahan, Nas memberitahu bahawa dia berasa sangat gembira dan lega kerana akhirnya segala yang dirancang berjalan dengan lancar dan menjadi kenyataan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat kerana akhirnya saya menjadi isteri yang sah kepada Aliff. Walaupun bermacam-macam dugaan, saya yakin dia adalah jodoh yang paling tepat buat saya.

“Saya juga sangat berlapang dada kerana doa saya untuk dipertemukan jodoh selama ini telah dimakbulkan Tuhan,” ujarnya dalam nada sedikit beremosi.

Sementara itu, Aliff meluahkan perkara serupa selain mengharapkan kebahagiaan hingga ke syurga bersama isterinya itu.

“Alhamdulillah, segala usaha kami berdua untuk mewujudkan satu hubungan yang halal akhirnya tercapai juga. Saya percaya jodoh itu pasti dan Tuhan makbulkan doa saya. Walaupun dihujani pelbagai cabaran dan dugaan sebelum ini, akhirnya kami kini bergelar pasangan suami isteri yang sah.



SECOCOK... Nas dan Aliff, masing-masing menyokong perkembangan seni walaupun telah mengikat status baharu.

“Tiada lain yang saya harapkan melainkan menjalani bahtera perkahwinan yang bahagia dengan menggalas tugas baharu sebagai suami kepada isteri,” tambah Aliff.

Ditanya soal persiapan mendepani hari berikut sebagai suami isteri, Nas dan Aliff berkata, mereka banyak meminta nasihat dan tunjuk ajar daripada ibu bapa masing-masing.

Alliff memberitahu, dia jatuh hati kepada Nas bukan hanya kerana ukuran paras rupa tetapi disebabkan hatinya yang baik serta keperibadian yang elok.

“Memandangkan saya seorang sahaja anak lelaki dalam keluarga, saya percaya tanggungjawab saya akan berganda selepas ini kepada isteri dan juga keluarga.

“Sebenarnya saya jatuh hati dengan sifat keterbukaannya. Dia boleh terima kelemahan saya. Jadi, susah bagi saya untuk mendapat seorang sepertinya yang jujur dan ikhlas menerima saya seadanya,” ujar Aliff sambil tersenyum menatap wajah isterinya.

Bulan madu dan anak

Ditanya mengenai lokasi bulan madu yang menjadi pilihan, Aliff memberitahu bahawa dia dan isteri memilih Krabi, Thailand sebagai destinasi bulan madu.

Diusik soal cahaya mata, Nas hanya mampu tersenyum sambil berkata: “Kalau boleh, saya hanya mahu dua orang anak sahaja, seorang lelaki dan seorang perempuan tetapi kalau ada rezeki lebih apa salahnya.”

Pada majlis itu, Aliff menyerahkan mas kahwin RM350 dan wang hantaran berjumlah RM25,000.

Pihak lelaki memberikan lima dulang hantaran antaranya senaskhah al-Quran dan sepasang telekung, manakala pihak wanita membalas dengan tujuh dulang hantaran antaranya berupa set minyak wangi dan telefon bimbit.

Majlis resepsi pasangan tersebut telah diadakan pada malam hari yang sama di Kompleks Studio Merdeka di Finas, Kuala Lumpur dengan tema persandingan dalam taman.

Previous Post Next Post