Fathia, Aiman berbaik semula


PEMINAT sentiasa mendoakan agar Aiman dan Fathia dapat bersatu hingga jenjang pelamin.

TATKALA industri hiburan negara sedang hangat dengan pengakuan terbuka penyanyi Adira yang sudah bergelar isteri secara senyap-senyap kepada seorang lelaki berpangkat Datuk, minggu ini kita semua juga dikejutkan dengan berita putus cinta antara pelakon Fathia Latiff dan Aiman Hakim beberapa hari lepas.

Bagi peminat mereka, semestinya perkara itu sesuatu yang mengejutkan. Mana tidaknya, perkara tersebut hanya diakui wanita berusia 28 tahun itu kira-kira selepas dua minggu dia sudah tidak lagi mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan Aiman.

Lebih-lebih lagi buat peminat setia yang mengikuti kisah percintaan mereka berdua, sudah pasti impian untuk melihat pelakon itu mengakhiri ikatan di jenjang pelamin tidak kesampaian.

Apatah lagi, sebelum ini Aiman sendiri pernah menyatakan hasratnya untuk menjadikan Fathia sebagai teman hidupnya dalam masa terdekat. Sudah pasti, perancangannya itu menjadi satu khabar gembira buat peminatnya yang selama ini menanti untuk melihat mereka berdua duduk berdua di atas pelamin.

Ini kerana, episod putus cinta Fathia dan Aiman bukanlah yang pertama. Hubungan kedua-duanya pernah juga terlerai sekitar Februari lalu. Ketika itu, Fathia memberitahu, sikap dirinya yang kuat merajuk menjadi antara punca hubungan itu terhenti seketika.

Bagaimanapun, fasa membawa haluan masing-masing itu tidak berpanjangan. Barangkali, tautan kasih dan cinta mereka itu masih kuat. Atas sebab itu jugalah, kasih yang pernah terlerai seketika, bertaut erat kembali.

Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Sekali lagi, hubungan yang sudah terjalin lebih empat tahun retak kembali.



SIKAP kuat merajuk Fathia dikatakan antara punca hubungannya dengan Aiman retak sebelum ini.

Bagaimanapun, lebih menjadi tanda tanya apabila ada cakap-cakap mendakwa hubungan mereka kini mungkin sudah berbaik semula. Ini kerana menerusi ruangan komen di akaun Instagram Aiman, ada pihak mendakwa melihat kedua-dua mereka masih keluar makan bersama-sama di sebuah restoran di Kuala Lumpur.

“Ada orang nampak awak dan Fathia dating kat NZ KLCC pukul 3 pagi tadi. Tahniahlah kalau dah berbaik semula,” tulis salah seorang pengikutnya di laman sosial Instagram.

Sayangnya, sehingga artikel ini ditulis, usaha Sensasi Bintang untuk mendapatkan respons kedua-dua pasangan itu masih lagi tidak berjaya. Barangkali, masing-masing kini lebih selesa untuk tidak terlalu mendedahkan perihal kisah peribadi. Ini kerana, buat masa ini hanya ada satu kenyataan sahaja yang keluar daripada Fathia menerusi ruangan sebuah portal hiburan.

Sungguhpun begitu, masih ramai lagi peminat yang mahu melihat hubungan mereka terjalin semula.

“Kalau sudah berbaik elok halalkan, gaduh tu biasalah,” tulis salah seorang peminatnya.

Bahkan, ada juga yang meminta agar mereka mempercepatkan majlis jika perkhabaran itu benar.

“Wah! Amin, kalau dah berbaik semula...kahwin terus,” tulis pengikutnya.

Previous Post Next Post