Hang Jebat Tegur Pemilik Media Sosial Sebar Kematian Jins Shamsuddin


Putera Hang Jebat memberitahu kesihatan bapanya masih baik biarpun ingatannya semakin merosot.

Anak kepada seniman Tan Sri Jins Shamsuddin iaitu Putera Hang Jebat menegur pengguna media sosial agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita palsu berhubung kematian bapanya.

Hang Jebat berkata, mereka seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mebuat sebarang kenyataan di laman sosial kerana kesan terhadap penyebaran berita berkenaan sangat besar terhadap mereka sekeluarga.

"Ini sudah kali ketiga perkara saya berlaku dan saya tidak faham mengapa ada pihak sanggup menyebarkan berita palsu sedemikian walaupun keadaan ayah baik-baik sahaja. Hal berkaitan kematian tidak seharusnya dipersendakan sebegitu.

"Pada saya pihak yang menyebarkan berita tersebut sengaja berbuat demikian untuk kepentingan diri sendiri tetapi kesannya sangat besar," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.


Hang Jebat mengulas mengenai berita kematian bapanya yang tersebar luas di laman sosial pada pagi Khamis.

Tambah Hang Jebat, pengguna media sosial juga harus lebih bijak sebelum repost maklumat yang dibaca dan mengetahui kesahihan dan sumber berita tersebut.

"Selagi belum disahkan oleh keluarga lebih baik jangan viralkan dan bukannya terus berkongsi tanpa tahu cerita sebenar," ujarnya.

Dalam pada itu, Hang Jebat berkata, akibat daripada penyebaran berita palsu itu, dia tidak putus-putus menerima panggilan yang bertanyakan tentang hal tersebut sejak 8 pagi tadi.

Malah katanya, penyebaran berita palsu itu turut membuatkan ibunya Puan Sri Halijah Abdullah sedih dan tertekan.

"Ayah bersama ibu dan adik saya Putera Hang Nadim baharu sahaja pulang daripada bercuti di Korea dua minggu lalu dan tiba-tiba begini pula jadinya.

"Saya kasihankan ibu saya yang sedih apabila ada orang menyebarkan perkara sebegini," katanya.

Dalam perkembangan sama, Hang Jebat berkata, kesihatan ayahnya masih baik biarpun ingatannya semakin merosot akibat penyakit Alzheimer sejak 2011.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »