Kebangkitan Zizan Razak


VARIASI BAKAT - Selain melawak, berlakon dan mengacara Zizan juga merupakan seorang penyanyi. Pada tahun 2012, Zizan berjaya menjinakkan cabang muzik apabila lagu dendangannya bersama penyanyi Kaka berjudul Bawaku Pergi menguasai carta lagu di corong radio.

JIKA diselak semula coretan seni jejaka kelahiran negeri Terengganu ini sepanjang tahun 2015, tidak keterlaluan jika dikatakan dia antara bintang yang paling berkelip dengan hasil kerja yang sangat meninggalkan signifikan terhadap kelangsungan industri seni tanah air.

Usah disebut tentang dakwat hitam lampau yang sedikit sebanyak menjadi contengan kurang menarik dalam kamus hidupnya. Apa yang penting, Zizan atau nama lengkapnya, Mohd. Razizan Abdul Razak, 31, kini kian mengerti apa itu erti hidup sebenar dan peminat adalah komuniti berharga yang perlu dijadikan antara prioriti utama selagi nafas masih boleh dihela.

Ternyata tahun 2015 telah menjadi satu jilid baharu yang melantunkan semula portfolionya. Secara personifikasi, lantunan itu bersifat kekal pada paras tinggi. Pastinya, Zizan sendiri sudah jenuh menghadam perkara yang tidak membawa kepentingan kepada dirinya sebagai seorang yang dipinjamkan bakat yang bervariasi daripada Yang Maha Esa.

Hasilnya, dia beraksi cemerlang sebagai pengacara program realiti popular Akademi Fantasia 2015 (AF2015) bersama Faizal Ismail. Tidak cukup dengan itu, filem lakonannya, Polis Evo mencatatkan rekod baharu dalam sejarah perfileman tanah air dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman, RM17.3 juta.

Dalam arena komedi pula, Zizan menjuarai program Super Spontan All Stars, sekali gus menewaskan rakan baiknya, yang juga pesaing terdekat iaitu Johan dan membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM150,000.

Selepas mencuba nasib dalam hampir kesemua cabang seni dan berjaya meninggalkan kesan dalam hati peminat, Zizan yang ditemui media pada penggambaran filem Abang Long Fadil 2 di Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini menyatakan bahawa dia semakin mengerti kehidupan yang sepatutnya tidak memerlukan semua perkara dalam satu masa.

“Memang diakui, dulu saya bikin semua perkara dalam satu masa tanpa memikirkan tentang keselesaan diri. Saya mudah teruja dengan tawaran yang diberikan dan mengerjakannya walaupun tahu saya penat.

“Sekarang, saya cukup faham bahawa saya tidak mempunyai keupayaan dan kudrat yang kuat untuk memuaskan hati semua orang sementara diri sendiri tidak gembira. Jadi, saya perlahan-lahan mendaki, buat kerja ikut kemampuan. Alhamdulillah, saya lebih gembira dan bahagia,” ulasnya tentang momentum kerja sepanjang tahun ini.

Diminta mengulas mengenai kerja seninya yang mula kembali di paksi yang sebenar pada tahun 2015, perkataan pertama yang terpacul daripada bibirnya adalah ikhlas. Ia menandakan sejak akhir-akhir ini, apa yang dikerjakannya berakarkan keikhlasan hati.

“Semakin lama berada dalam industri, semakin saya mengerti untuk melakukan kerja yang dipertanggungjawabkan dengan hati yang ikhlas. Saya percaya rezeki itu datang daripada Allah dan cuba lakukan yang terbaik untuk setiap perkara,” ujar Zizan yang kini sudah berkecimpung dalam industri seni tempatan lebih lapan tahun sejak bergelar naib juara Raja Lawak musim pertama pada tahun 2007.


Fokus 2016

Diajak berbicara mengenai perancangan tahun 2016, Zizan ingin memastikan segalanya tersusun dengan teliti dengan melihat keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan.

“Insya-Allah, saya akan cuba sebaik mungkin untuk memastikan segalanya tersusun rapi. Baik kerjaya mahupun kehidupan saya. Saya tidak akan memperlahankan rentak, sebaliknya merancang dengan lebih kemas dan teratur untuk tahun 2016.

“Mengenai kehidupan, apa yang saya mahukan adalah sebuah kehidupan yang lebih bahagia di samping orang tersayang seperti keluarga, rakan-rakan dan tentunya peminat,” tuturnya.

Tambah Zizan lagi, dia ingin meluangkan masa bersama keluarga yang selama ini terhalang oleh sebab jadual seni yang padat.

Ditanya soalan berkenaan komitmen menjadi seorang pelawak, Zizan berkata, dia tidak pernah berasa penat atau jemu asalkan apa yang dipaparkan olehnya membawa kegembiraan kepada peminat.

“Saya tidak boleh mengeluh kepenatan dengan perkara yang menjadi periuk nasi utama dalam hidup. Komedi adalah sesuatu yang saya sangat seronok apabila melakukannya. Komedi adalah jiwa saya.

“Saya akui, kadang-kadang saya kehabisan idea. Apabila saya berada pada tahap itu (kehabisan idea), ia memberi rangsangan kuat kepada diri saya untuk terus berusaha menghiburkan hati peminat.

“Saya kena sentiasa pertingkatkan diri untuk hadir dengan sesuatu yang baharu supaya apabila orang melihat saya sama ada di layar perak, kaca televisyen mahupun di atas pentas, mereka tidak rasa komedi yang dipamerkan pernah diulang banyak kali sebelum ini,” kata Zizan yang berganding dengan pelakon Ummi Nazeera dalam sebuah telefilem berjudul Angin Cinta yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Sementara itu, Zizan memberitahu lanjut tentang survival dalam arena komedi bahawa dia tidak terlalu harap untuk keluar daripada skeptikal ‘pelakon komedi’.

“Saya selesa apabila orang kenal melalui lawak dan lakonan yang telah diberikan. Bagaimanapun, saya juga mahu diberikan peluang melakonkan watak serius. Kalau ada orang berani panggil saya untuk melakonkan watak serius,” katanya sambil menyimpul senyum.

Masih mencari jodoh

Beralih bicara, singgah ke topik yang pastinya akan ditanya ramai iaitu teman hidup yang sehingga kini masih tidak kunjung tiba buat Zizan.

Jika sebelum ini kasihnya dengan pelakon jelita, Emma Maembong putus di tengah jalan, Zizan kini lebih selesa solo tanpa terlalu memikirkan tentang cinta.

“Biarlah saya fokus dengan kerjaya dan keluarga. Itu lagi penting buat diri saya dan juga orang lain. Saya tidak mahu dilihat terlalu kejarkan cinta sehingga perkara lain dipinggirkan.

“Insya-Allah, saya percaya jodoh itu ada untuk saya dan ia bersifat misteri. Ia (jodoh) ada untuk saya, cuma belum sampai masa saya bertemu dan disatukan dengannya,” ulasnya optimis.

Ditekan lagi persoalan mana tahu dia kini dalam diam-diam sedang memaut cinta dengan seseorang, Zizan dengan selamba menafikannya.

“Memang tiada. Jangan risau, kalau ada tentunya saya akan perkenalkan tetapi kalau ia menjadi kenyataan dalam masa terdekat atau nanti, kalau boleh saya tidak mahu terlalu bercerita tentangnya.

“Hidup saya hari ini sudah cukup sibuk, memang tiada masa untuk fikir mengenai cinta. Namun, saya sedar lambat laun perlu menamatkan zaman bujang kerana itu adalah lumrah hidup sebagai seorang manusia,” jawabnya lagi.

Sementara itu, disapa persoalan tidakkah dia berasa ralat atau cemburu melihat rakan-rakan seperjuangan lain seperti Johan sudah berkeluarga dan hidup bahagia, Zizan mempunyai jawapannya tersendiri.

“Tidak cemburu, malah saya bahagia melihat sesiapa gembira dalam hidup. Jodoh itu kerja Tuhan. Kadang-kadang saya rancang ia tidak menjadi, kadang-kadang juga saya tidak rancang ia menjadi. Insya-Allah, doakanlah saya bertemu jodoh tahun hadapan (2016),” ujarnya sambil berseloroh.

Abang Long Fadil 2

Usai temu bual dilaksanakan, Zizan giat menunggu giliran untuk beraksi di depan lensa kamera bagi filem terbaharunya, Abang Long Fadil 2.

Sebelum itu ketika masih ditebak soalan demi soalan, Zizan sempat bercerita mengenai filem arahan sutradara muda berbakat, Syafiq Yusof.

Memegang watak sebagai Fadil seperti filem sekuel pertama, Zizan adalah satu-satunya pelakon yang dikekalkan untuk versi kedua filem tersebut selain Syamsul Yusof.

Menurutnya, berbeza daripada naskhah pertama, kali ini segalanya akan nampak lebih mewah dan elegen dari pelbagai segi kerana ia bukan lagi berkisar tentang street fighting seperti sebelumnya.

“Filem ini akan lebih agresif dan matang. Ada sebab kenapa ia berlaku (bukan lagi street fighting). Kena tunggu filem ini siap.

“Kali ini juga lebih banyak aksi, lebih banyak letupan dan lebih banyak konflik yang akan membuat penonton tertanya-tanya apa yang akan berlaku sebenarnya dalam hidup Fadil,” katanya menutup bicara.

Previous Post Next Post