Keith Foo: Konflik Suami Isteri Boleh Kukuhkan Rumah Tangga


Pelakon Keith Foo menyifatkan pertelingkahan dalam perhubungan suami isteri amatlah penting dalam mengukuhkan rumah tangga.

Keith, 32, berkata, ini kerana, konflik yang timbul akan membuatkan pasangan lebih memahami antara satu sama lain dan perkara iru juga sering terjadi antaranya dengan isteri, Kim Raymond, 29.

"Selain menjadi isteri, Kim juga merupakan pengurus dan pengkritik saya. Dan diakui kami kerap bertelingkah sebelum mencapai kata sepakat dalam membuat keputusan terutamanya.

"Bagi saya, konflik itu penting kerana ia adalah proses untuk memahami pasangan dan sekali gus akan menguatkan lagi ikatan cinta suami isteri," katanya kepada Artis Meletop.



Keith Foo dan Kim Raymond.

Keith dan Kim telah berkahwin secara berdaftar pada 21 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, Keith mengumumkan perkahwinan mereka menerusi sebuah laporan media pada September lalu.

Sementara itu, Keith berkata, dia dan Kim kini sudah bersedia untuk menimang cahaya mata bagi melengkapkan lagi keluarganya.

"Saya bersyukur jika diberikan rezeki anak dalam masa terdekat ini. Ia adalah satu anugerah yang indah. Mana tahu, tahun depan.." ujarnya.


Keith dan Fazura bergandingan dalam filem Langit Cinta.

Dalam perkembangan lain, Keith bakal muncul menerusi filem Langit Cinta sebagai Aliff bersama pasangan gandingannya, Fazura (Khadija) pada 7 Januari depan.

Keith berkata, walaupun ramai memuji filem tersebut, dia masih lagi tidak berpuas hati dengan lakonannya.

"Apabila menonton semula filem Langit Cinta, saya nampak banyak kelemahan dalam lakonan saya.

"Mungkin saya terlalu berusaha sehingga tidak sedar dengan setiap perkara yang dilakonkan.

"Bagaimanapun saya bersyukur mempunyai pengarah (Osman Ali) yang hebat, membentuk lakonan saya dengan baik," ujarnya.

Selain Keith dan Fazura, Langit Cinta menampilkan barisan pelakon seperti Farid Kamil, Siti Saleha, Fauziah Ahmad Daud, Datuk Jalaluddin Hassan, Normah Damanhuri dan Dian P. Ramlee.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »