Kejayaan Will Ferrell


PELAWAK, Will Ferrell meminati bidang seni persembahan sejak di bangku sekolah lagi.

Ketika menjadi penuntut di University High School, pelakon kelahiran Irvine, California ini ditugaskan membuat pengumuman pada setiap pagi menggunakan pembesar suara.

Uniknya, setiap kali pengumuman itu dilakukan, pelakon komedi berusia 48 tahun ini pasti akan sentiasa mengubah suaranya.

Jika diimbas kembali, pemilik nama penuh John William Ferrell ini memulakan kariernya sebagai pelawak menerusi rancangan komedi Saturday Night Live pada 1975 selepas menyertai kumpulan improvisasi The Groundlings di Los Angeles.

Kumpulan itu juga dianggotai Ana Gasteyer, Maya Rudolph, Laraine Newman, Jon Lovitz dan Phil Hartman yang turut berusaha mencipta nama dalam industri.

Ferrell kemudiannya mengembangkan lagi bakatnya sebagai pelakon menerusi pelbagai filem komedi seperti Elf (2003), Old School (2003), Anchorman: The Legend of Ron Burgundy (2004), Talladega Nights (2006), Blades of Glory (2007), Step Brothers (2008), The Other Guys (2010), Megamind (2010), Anchorman 2: The Legend Continues (2013), The Lego Movie (2014) dan Get Hard (2015).

Bagi filem Anchorman 2: The Legend Continues, suami kepada Viveca Paulin ini turut bertindak sebagai penulis bersama pelawak, Adam McKay. Pada masa sama, mereka juga merupakan pengasas kepada sebuah laman web komedi, Funny or Die pada 2007.

Bahkan, dia juga dianggap sebagai ahli ‘Frat Pack’ bagi generasi pertengahan 2000-an di Hollywood termasuk Jack Black, Ben Stiller, Steve Carell, Vince Vaughn dan Luke Wilson.

Malah, dia juga menerima pencalonan Anugerah Emmy untuk kerja-kerjanya di rancangan Saturday Night Live, dan dua pencalonan Anugerah Golden Globe bagi filem The Producers (2005) dan Stranger Than Fiction (2006).

Lebih membanggakan, Ferrell dinobatkan sebagai Pelawak Terbaik menerusi Anugerah Tahunan British GQ Men, pada tahun ini.


Bintang Hollywood

Walk Of Fame

Selepas sekian lama, pengaruh Ferrell dalam industri hiburan semakin meluas sehingga melayakkannya menerima pelbagai penghargaan sekali gus diiktiraf di Hollywood.

Buktinya, pelakon berusia 48 tahun itu diberikan bintang yang terpahat namanya untuk diletakkan di destinasi terkenal dunia, Hollywood Walk Of Fame, sejak Mac lalu. Plak bintang itu adalah yang ke-2,547.

Keadaan itu menyebabkan Ferrell berasa sangat terharu dengan pemberian dan pengiktirafan sedemikian.

“Perasaan saya bercampur baur ketika ini. Mungkin saya hanya bernasib baik.

“Lagipun, pelakon komedi biasanya tidak banyak menerima anugerah. Jadi, ini adalah sangat baik,” katanya.

Lebih manis, ketika menerima plak tersebut, Ferrell ditemani isterinya, Viveca dan tiga anak lelakinya, Magnus, Mattias dan Axel.

Tidak hanya itu, Ferrell juga diraikan rakan-rakan seperjuangannya dalam industri hiburan seperti Molly Shannon, John C Reilly, Kevin Hart, Etan Cohen dan Mayor Eric Garcetti menerusi satu acara istimewa.

Selain Ferrell, bintang Hollywood yang turut mendapat penghormatan di Hollywood Walk of Fame pada tahun ini ialah Daniel Radcliffe, Mariah Carey dan Snoopy Dogg.

Kembali bergandingan

Dalam perkembangan lain, Ferrell kini kembali bergandingan dengan aktor bertubuh sasa, Mark Wahlberg menerusi filem terbaru, Daddy’s Home.

Sebelum ini, dua aktor terkenal ini pernah berlakon bersama dalam filem komedi aksi, The Other Guys arahan Adam McKay pada 2010.

Selain Ferrel dan Wahlberg, filem bergenre komedi ini turut dibintangi Linda Cardellini, Thomas Haden Church dan Hannibal Buress.

Menceritakan pengalamannya berlakon dalam filem arahan Sean Anders dan John Morris itu, Ferrell menyatakan filem tersebut ada sedikit kesamaan dengan filem komedi yang lain.

“Filem ini lebih kurang seperti filem Meet the Parents.

“Perjalanan ceritanya lebih kurang sama terutamanya dalam senario perhubungan di dalamnya,” katanya.

Daddy’s Home mengisahkan bagaimana seorang eksekutif radio bernama Brad Taggart (Will Ferrell) berkahwin dengan Sarah (Linda Cardellini) yang mempunyai dua orang anak. Brad bergelut untuk menjadi bapa tiri yang baik kepada mereka.

Perkara menjadi rumit apabila bapa kandung mereka, Dusty Mayron (Mark Wahlberg) tiba dan memaksa Brad untuk bersaing untuk mendapat kasih sayang daripada kedua-dua anak tirinya itu.

Apakah yang berlaku? Nantikannya di pawagam mulai 31 Disember ini.

Previous Post Next Post