Ketenangan Izwan tawan kedegilan Nabila


SENYUMAN terukir pada bibir aktres popular, Nabila Huda dan pasangannya, Mohd. Izwan Johar sebaik mereka sah bergelar suami isteri pada 25 Disember lalu dalam sebuah majlis pernikahan di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, Selangor.

Masakan tidak, selepas tiga tahun bergelar ibu tunggal kepada seorang anak perempuan, Keisha Laila, 5, dan dua tahun lebih menyulam cinta, akhirnya Nabila kembali bergelar seorang isteri.

Menurut Nabila yang ditemui pada majlis resepsi pihak lelaki di Shah Alam, pada malam Sabtu lalu, dia begitu bersyukur dipertemukan dengan lelaki yang amat memahami dirinya. Lebih istimewa, Izwan atau lebih mesra disapa Bert merupakan lelaki pertama yang berjaya melembutkan sikap degilnya.

Selain itu, sikap Bert yang menerima Nabila seadanya turut membuat wanita itu jatuh cinta dengan lelaki yang merupakan seorang pengurus Restoran Kulcats di Kuala Lumpur.

“Dia (Bert) seorang yang baik hati dan menerima saya seadanya. Dia tidak pernah kata saya jahat atau liar dan memaksa untuk berubah. Sebaliknya, dia didik secara perlahan-lahan dan perubahan yang ada pada diri saya hari ini semuanya datang daripadanya. Dia bukan jenis membebel, tetapi sekali dia beri nasihat, terus masuk dalam hati sebab apa yang dikatakan selalunya betul.

“Sepanjang hidup, dia merupakan lelaki pertama yang saya dengar nasihat. Rasanya semua orang tahu betapa degilnya Nabila Huda (ketawa), tetapi nasihatnya berbaloi untuk saya dengar dan ikut,” ujar Nabila sambil menjeling ke arah suaminya.


Berbicara mengenai pilihan Nabila untuk tidak mendedahkan identiti Izwan serta hubungan cinta mereka kepada khalayak sebelum berkahwin, katanya, itu merupakan permintaan suaminya sendiri.

Tidak berniat untuk menyembunyikan lelaki pilihan hati, namun, pelakon drama Akulah Balqis itu bimbang untuk bercerita soal hati, sedangkan ketika itu hubungan berkenaan belum tentu berakhir bahagia.

“Bagi saya hal peribadi lebih baik disimpan untuk diri sendiri dan tidak perlu didedahkan kepada orang ramai. Saya tidak mahu bercerita tentang kisah peribadi kerana waktu itu hubungan kami masih terlalu baharu. Kami belum ada ikatan yang sah, jadi tidak manis untuk bercerita dan bergambar bersama sebab tidak tahu sama ada akan berkahwin atau tidak.


Nabila telah dinikahkan sendiri oleh bapanya, Amy Search di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, Selangor pada 25 Disember lalu. Dalam majlis yang sama Nabila turut menerima mas kahwin sebanyak RM300, bagaimanapun merahsiakan wang hantaran yang diterimanya.

“Sebab serius dengannya, saya enggan dedahkan hubungan kami. Apabila telah sah menjadi isterinya, barulah saya perkenalkan kepada semua. Tiada apa yang perlu disembunyikan lagi,” luah Nabila.

Pandai masak

Beralih kepada perancangan masa depan keluarga mereka, Nabila secara terbuka mendedahkan mengimpikan sebuah keluarga yang besar bersama Izwan. Dia juga tidak menolak untuk memperlahankan kerjaya seni demi memberi fokus kepada keluarga.

“Saya tidak kisah untuk ada anak yang ramai sebab lebih meriah (ketawa). Cuma soal kerjaya, saya akan cuba hadkan lakonan walaupun suami tidak pernah menghalang.

“Dia tahu betapa saya cintakan dunia lakonan. Sebelum berkahwin, saya kerja siang dan malam, sekarang harus bahagikan masa untuk keluarga dan kerjaya.

“Buat masa ini tidak ada istilah berehat atau bulan madu, sebab saya akan mula bekerja pada tahun depan. Namun, saya akan pilih telefilem atau drama yang tidak memerlukan masa penggambaran yang panjang,” katanya bersungguh-sungguh.

Suaminya yang setia di sebelah mencelah, meskipun telah berkahwin, Nabila bebas untuk meneruskan kerjayanya sebagai pelakon. Kata Bert, sebelum dan selepas berkahwin, isterinya tetap Nabila Huda yang sama.

“Saya tidak mahu mengubahnya, terpulang kepadanya untuk terus bekerja kerana dia pun sudah dewasa serta matang, pandai-pandailah jaga imej seorang isteri,” ujar Izwan.

Ditebak apakah yang membuat Izwan tertarik kepada Nabila, lelaki itu terdiam seketika.

Tanpa berfikir panjang, jelasnya, anak perempuan Amy Search itu cukup istimewa kerana mempunyai kualiti wanita idaman iaitu seorang yang penyayang serta mempunyai kepakaran memasak.

“Sebenarnya Nabila seorang yang agak kuat cemburu meskipun dengan anak sendiri dan tidak boleh berkongsi kasih sayang dengan orang lain. Namun, tarikan utama pada dirinya adalah pandai memasak seperti ibu saya. Saya seorang yang suka makan dan dia pula suka memasak, kira sesuailah,” kata Izwan.

Anak

Walaupun telah berkahwin dengan pelakon popular, Izwan tidak bimbang akan tempias dunia glamor kepada dirinya.

Baginya dia berkahwin dengan wanita bernama Nabila Huda, sementara dunia glamor hanyalah kerjayanya sahaja.

“Sebenarnya saya tidak rasa sebarang perubahan kerana masing-masing mempunyai kerjaya sendiri. Saya memang tidak suka berada di hadapan kamera, jadi apabila berkenalan dengan Nabila, saya telah beri syarat kepadanya.

“Antaranya dia tidak boleh dedahkan wajah dan nama saya. Sekarang selepas berkahwin, rasanya semua orang pun sudah kenal siapa diri saya.

“Jika diminta untuk hadiri sesi fotografi selepas ini, saya okey. Apa sahaja permintaan isteri akan saya turutkan,” kata Izwan.

Meskipun ini merupakan perkahwinan pertama Izwan, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyayangi anak tunggal Nabila dan bekas suaminya, Zaidy Zailani, iaitu Keisha Laila seperti anaknya sendiri.


Keisha Laila memang cukup akrab dengan bapa tirinya, Bert. Namun, akui Bert, anak Nabila itu tidak memanggilnya dengan gelaran papa atau ayah, sebaliknya, Uncle Bert.

Jelasnya, hubungan mereka cukup akrab dan sering keluar bersama jika mempunyai masa terluang.

Bercakap mengenai majlis resepsi yang dilihat begitu ringkas tanpa kehadiran pelamin gah, mahupun persembahan penyanyi terkenal yang sering dilihat pada majlis perkahwinan artis popular sepertinya, Nabila menegaskan dia sukakan konsep sederhana.

Tanpa perlu pembaziran beratus ribu ringgit, mereka memilih untuk mengadakan majlis seperti acara makan malam sahaja.

“Memang kami sengaja pilih konsep santai dan ringkas. Sebab saya seorang yang ringkas, inilah Nabila Huda sebenarnya. Mengapa perlu berhabis beratus ribu untuk sebuah majlis perkahwinan, begini lebih afdal.

“Tanpa pelamin dan tidak perlu bersanding, saya bebas berjalan ke sana sini untuk berbual dengan semua tetamu yang hadir. Saya juga tidak perlu ikut protokol dan duduk atas pelamin,” ulas Nabila.

Sebelum menutup bicara, Nabila secara terbuka menjelaskan harapannya untuk perkahwinan kedua ini adalah hidup bahagia sehingga ke akhir hayat. Sebagai wanita dia tidak serik dengan perkahwinan yang pernah gagal sebelum ini dan menganggap ia sebagai satu sejarah berharga dalam hidupnya.

“Saya tidak pernah menyesal dengan perkahwinan terdahulu kerana dikurniakan anugerah terindah iaitu Keisha Laila.

“Perkara yang lepas saya anggap ia sebagai sejarah dan kini hanya memandang ke hadapan. Saya berharap akan terus bahagia bersama lelaki yang saya cintai,” kata Nabila.

Previous Post Next Post