Khairy Jamaluddin tercalon Anugerah Meletop Era



POPULARITI Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tidak dapat disangkal lagi apabila dia turut tersenarai sebagai calon awal kategori Bintang Online Meletop pada Anugerah Meletop Era 2016.

Khairy yang mempunyai lebih sejuta pengikut di laman Twitter akan bersaing dengan selebriti terkenal lain seperti Datuk Siti Nurhaliza, Zizan Razak, Nora Danish, Rozita Che Wan, Lisa Surihani, Fazura, Shahhezy Sam, Erra Fazira dan Neelofa.

Ketua Format dan Program Realiti Astro, Namanzee Harris berkata, biarpun bukan dalam kalangan selebriti, Khairy mempunyai pengaruh besar di laman sosial.


“Kita harus mengakui pengaruh Khairy di laman sosial cukup hebat.

"Beliau mempunyai ramai pengikut. Jadi itu antara alasan kukuh kenapa pihak kami mencalonkannya dalam kategori itu,” katanya dipetik dari sebuah portal berita.

Turut tersenarai sebagai calon awal kategori itu adalah Nelydia Senrose, Yana Samsudin, Emma Maembong, Hafiz Hamidun, Tomok, Nabila Huda, Aaron Aziz, Awal Ashaari dan Fara Fauzana.

Undian fasa pertama untuk menyenarai pendek lima calon terbaik daripada 20 pencalonan awal dibuka kepada peminat mulai jam 8 malam semalam hingga 12 tengah hari, 15 Januari depan.

Undian boleh dibuat di www.meletop.com.my dan www.era.fm atau melalui aplikasi terbaharu Astro Radio iaitu Raku yang boleh dimuat naik secara percuma di App Store dan Google Play Store.

Previous Post Next Post