Klon suara dalam Seiras Seirama



BARISAN ikon dan orang kuat yang terlibat dalam program Seiras Seirama, (dari kiri) Faizal, Aznil selaku hos, Raqim, Jamal, Ella, Misha dan Ziana.

SAMA tapi tidak serupa. Pihak stesen televisyen berbayar Astro kembali menghangatkan malam minggu penonton dengan sebuah program realiti terbaharu berjudul Seiras Seirama.

Program yang menemui penonton sejak 20 Disember lalu itu berkonsepkan pertandingan mencungkil bakat peserta yang memiliki suara dan gaya nyanyian mirip dengan beberapa ikon penyanyi terkenal.

Antara penyanyi yang terbabit sebagai ikon dalam program tersebut ialah Datuk Jamal Abdillah, Ziana Zain, Ella, Faizal Tahir, Misha Omar, Mas Idayu, Hafiz Suip.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, meskipun penonton sudah banyak disajikan dengan program nyanyian sedia ada seperti Akademi Fantasia dan Gegar Vaganza tetapi pihaknya percaya Seiras Seirama masih mampu mencipta fenomena tersendiri.


“Kami selalu berusaha menyediakan program terbaik kepada penonton. Seiras Seirama mempunyai keunikan tersendiri dari segi konsep dan format iaitu kami mencari bakat-bakat baharu yang mempunyai gaya dan nada suara sama seperti barisan ikon penyanyi.

“Lebih manis, sepanjang menyertai program ini semua peserta mendapat tunjuk ajar dari segi vokal nyanyian dan persembahan daripada ikon mereka sendiri. Inilah pengalaman paling berharga dan berbeza daripada beberapa program lain yang sedia ada,” ujarnya ketika ditemui sewaktu sidang akhbar program berkenaan di Sky Level, First Avenue, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Program yang bersiaran selama 90 minit setiap episod itu menampilkan seramai 28 orang peserta dari seluruh negara dan berbilang latar belakang.

Setiap ikon mempunyai seramai empat orang peserta di bawah kendalian mereka. Namun, hanya seorang peserta yang akan berentap pada pentas akhir Seiras Seirama yang disiarkan secara langsung pada minggu kelapan kelak.

Episod pertama hingga ketujuh pula merupakan episod rakaman yang sudah pun menjalani proses rakaman sekitar hujung November lalu.

Dalam setiap episod, semua peserta berentap sesama sendiri untuk merebut tempat akhir bagi musim ini.

Tambah menarik, program tersebut diserikan oleh pengacara popular Datuk Aznil Nawawi yang bertindak selaku hos. Selain itu, setiap minggu penonton disajikan dengan kemunculan beberapa orang pelawak terkenal sebagai artis jemputan.

Menurut salah seorang peserta, Azri Abdullah yang pernah menyertai program realiti Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), dia menidakkan pengalaman dimilikinya sebagai kelebihan berbanding peserta lain yang rata-ratanya tiada pengalaman dalam industri.

“Soal lama atau profesional bukan perkara yang perlu dibangkitkan dalam program ini. Sebab saya tidak meletakkan diri sebagai artis lama berbanding peserta lain. Kami semua sama sahaja dan masih banyak perkara yang perlu dipelajari.

“Cuma, apa yang saya mahukan dalam program ini ialah untuk mencapai misi. Saya jadikan Faizal Tahir selaku inspirasi. Apa yang dia sudah capai sepanjang penglibatannya dalam industri, perkara itulah yang saya mahukan,” ujarnya.

Lebih menarik, Azri turut berentap dengan isterinya iaitu Salma A. Asis yang juga pernah menyertai sebuah program nyanyian pada tahun 2011. Salma merupakan peserta di bawah kendalian Ziana Zain.

Previous Post Next Post