Ola Bola taruhan terbaru pengarah The Journey



BERMULA daripada impian, akhirnya menjadi kenyataan. Itulah pencapaian pengarah filem The Journey, Chiu Keng Guan apabila berjaya mengarahkan filem baharunya berjudul Ola Bola.

Filem yang bakal menemui penonton 28 Januari 2016 ini merupakan impian yang sudah lama dipendam olehnya yang juga peminat bola sepak sejak kecil.

Justeru, penghasilan filem ini adalah menerusi idea dan inspirasi Keng Guan terhadap kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan sewaktu berjaya memasuki Sukan Olimpik di Moscow pada 1980.

Mengakui dia adalah antara jutaan peminat sukan tersebut dan sesuai dengan dunia perfileman yang diceburinya kini, Keng Guan memberitahu yang dia telah lama menanam hasrat untuk menghasilkan sebuah filem berkisar sukan bola sepak.

“Sebenarnya sejak saya mula ceburi bidang ini, saya sudah letak sasaran satu hari nanti saya akan hasilkan sebuah filem tentang sukan bola sepak.

“Pertama sebab saya memang minat sukan ini. Kedua, saya nak generasi kini melihat sendiri pengalaman dan fenomena zaman kegemilangan pasukan bola sepak negara kita di layar perak.

“Saya mahu mengimbau kembali kenangan manis pemain bola sepak negara satu masa dulu sehingga mencapai kejayaan seterusnya memberi rasa yang sama kepada penonton di dalam panggung untuk merasai kehebatan pasukan bola sepak negara,” katanya kepada Zass.

Menurut Keng Guan, filem terbitan Astro Shaw itu bukan hanya menceritakan mengenai bola sepak, tetapi aspek lain turut diselitkan.

“Antaranya hubungan kekeluargaan, persahabatan, kesatuan dan semangat berpasukan sehingga pasukan bola sepak negara berjaya beroleh kejayaan selepas melalui pelbagai rintangan.

“Selain itu, walaupun filem ini adalah filem sukan saya yang pertama, sebagai pengarah saya berharap penonton dapat mengambil input yang hendak disampaikan melalui filem ini nanti.

“Saya mahu penonton melihat bagaimana pasukan kita pernah melakar kejayaan membanggakan walaupun bukan sepenuhnya diambil daripada kisah benar. Hanya inspirasi daripada kejayaan itu.

“Penceritaannya ada yang direka dan ada juga berdasarkan kisah benar, begitu juga degan wataknya,” katanya.

Pengarah kelahiran Batu Pahat, Johor ini memberitahu, dia mengambil masa dua tahun untuk menjalankan kajian dari sudut inti pati penceritaan sebelum filem tersebut memulakan penggambaran.

Menurutnya, ia termasuklah menjalankan sesi temu bual dengan bekas pemain bola sepak, meneliti foto asal dan menitikberatkan soal penyediaan pakaian yang perlu selaras dengan era 80-an.

“Keadaan stadium yang banyak berubah juga menyebabkan, saya perlu menggunakan pakar grafik dari luar negara untuk mendapatkan semula imej Stadium Merdeka ketika zaman tersebut,” katanya.

Ola Bola juga merupakan sebuah filem fiksyen yang meletakkan nilai persahabatan, kemahiran sukan, keluarga dan keharmonian berbilang bangsa sebagai inti pati utama.

“Kami juga menggunakan 60 peratus bahasa kebangsaan dengan selebihnya Mandarin dan Tamil, serta berharap penonton dapat menerima mesej yang ingin disampaikan bukan sekadar hiburan semata-mata,” katanya.

Antara pelakon yang membintangi filem ini ialah Bront Palarae, Chee Jun Cherng, Saran Kumar, Lim Jian Wen, Muhd Luqman Hafidz dan Katrina Ho Fooi Tin.


Pilih pelakon berkemahiran

Keng Guan turut berkongsi dari segi pengarahan filem itu, dia sedar tentang cabaran ketika berada di set penggambaran terutama bagi menghasilkan filem bercorak sukan.

“Antara cabarannya adalah melibatkan masa, lokasi, cuaca dan kita sememangnya memerlukan pelakon yang minat serta pandai bermain bola. Saya memikirkan jika memilih pelakon yang pandai berlakon, mereka tidak pandai bermain bola, maka mungkin cara teknik main bola itu tidak diketahui.

“Oleh itu, saya memilih untuk mencari individu yang pandai bermain bola tetapi tidak pandai berlakon. Kami berikan pelakon baharu ini dua bulan kelas lakonan bersama pengajar dari Taiwan.

“Kalau saya ambil pelakon secara rambang tanpa meletakkan hal ini sebagai keutamaan, pasti sukar untuk meyakinkan penonton apalagi saya menghasilkan sebuah filem yang bercerita tentang kehebatan pasukan bola sepak kita.

“Kita mahu tengok kemahiran yang bersifat realistik di padang. Kalau pelakon tidak mahir, babak perlu dilakukan banyak kali. Itu adalah satu perkara yang saya mahu elak,” katanya.

Cabaran lain kata pengarah ini adalah mendapatkan situasi latar belakang cerita pada era 80-an.

“Sebab itu saya gunakan masa dua tahun untuk melakukan kajian dan pemerhatian di samping terpaksa mengambil khidmat pereka grafik dari luar negara.

“Kami juga menggunakan khidmat tenaga kerja luar seperti Argentina untuk memastikan teknik-teknik imej benar-benar seperti era tersebut, barulah penonton dapat merasainya,” katanya.

Selain itu, Keng Guan berkata, cabaran lain apabila dia juga terpaksa mencari lebih 40 pelakon tambahan berbangsa Inggeris dan Korea untuk menjayakan lakonan perlawanan dengan beberapa pasukan negara luar.

“Kami ada babak perlawanan dengan pasukan luar negara justeru kami perlu lebih 40 pelakon luar termasuk dari Korea. Kami mahu pelakon tersebut tahu bermain bola sepak dan ia memang satu cabaran kepada kami,” katanya yang turut membina sendiri set Fun Fair untuk filem tersebut.

Ola Bola mengisahkan mengenai kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan sewaktu berjaya memasuki Sukan Olimpik Moscow 1980.

Ia memaparkan kisah kejayaan, keberanian dan semangat bersatu yang memberi inspirasi kepada barisan pemain bola sepak Malaysia untuk bangkit dari kekecewaan dan muncul wira negara.

Filem bajet besar

Untuk menghasilkan filem tersebut, Keng Guan mengakui bajet yang digunakan lebih besar daripada penghasilan filem The Journey.

“Oleh kerana ia filem berlatar belakang tahun 80-an, maka segala set dan pembikinannya menggunakan lebih banyak kos. Namun angka sebenarnya kami masih belum tahu kerana buat masa ini, sedang dijalankan promosi filem.

“Jika dapat sambutan seperti The Journey, itu sangat kami syukuri. Walau apa pun kami berharap penonton dapat menonton filem ini dengan satu kelainan,” katanya.

Dalam filem itu juga, turut ditonjolkan seorang pelakon baharu yang terpilih daripada foto selfienya bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, iaitu Muhd Luqman Hafidz.

“Saya melihat bakatnya dalam sukan bola sepak memang bagus, justeru menyenaraikannya untuk berlakon dalam filem ini,” katanya.


Previous Post Next Post