Penangan #GegarVaganza buat Haiza


PENYANYI dan penyampai radio Best FM, Haiza menyifatkan program Gegar Vaganza 2 (GV2) adalah platform terbaik dalam mengembangkan lagi bakat nyanyiannya.

Bahkan, artis berusia 32 tahun itu mengakui menerusi GV2 juga masyarakat kini mula menyedari kemampuannya membawa pelbagai genre muzik.

“Sebelum ini, saya lebih dikenali sebagai penyanyi yang hanya membawa genre dangdut.

“Situasi itu adakalanya menyebabkan ada tidak berani memanggil saya membuat persembahan kerana takut saya tidak boleh membawa lagu lain.

“Alhamdulillah, pertandingan tersebut berjaya mengubah persepsi itu dan ternyata GV2 benar-benar membuka peluang buat diri saya,” katanya kepada media.

Ketika ditanya adakah akan bertukar genre selepas ini, Haiza ternyata punya jawapannya sendiri.

“Sebagai artis, saya fikir adalah perlu untuk mencuba pelbagai genre agar tampil lebih segar.

“Namun itu bukanlah bermakna saya akan tinggalkan muzik dangdut lebih-lebih lagi genre itulah yang membawa saya sehingga ke tahap hari ini.

“Tetapi, jika ada tawaran, saya teringin sangat mencuba lagu bergenre slow rock atau rock. Contohnya, seperti lagu Kopi Dangdut yang saya nyanyikan dalam GV2,” katanya.


Bukan itu saja, pemilik nama penuh Rohaizah Nordin ini mengakui jadualnya kini semakin padat sejak menyertai GV2.

“Alhamdulillah, tawaran persembahan semakin banyak selain sibuk menjadi penyampai radio.

“Malah, jadual saya sudah pun penuh sehingga Februari 2016.

“Insya-ÀLLAH, saya juga akan terlibat dalam mengadakan persembahan jelajah di Sabah dan Sarawak, dalam masa terdekat ini,” katanya.

Pada masa sama, penyanyi yang terkenal dengan lagu Dag Dig Dug ini bakal muncul dengan single terbaharunya, tidak lama lagi.

“Untuk single tersebut, saya masih lagi mendapatkan khidmat daripada komposer, Damien.

“Sebenarnya, single itu sudah dirancang sebelum saya menyertai GV2 lagi, tetapi ditangguhkan seketika lantaran saya berpeluang ke GV2.

“Malah, kami juga belum putuskan lagi genre apa yang bakal dibawa. Lagipun, Damien ada mengikuti perjalanan saya sepanjang menyertai GV2,” katanya.

Previous Post Next Post