Perpecahan akrabkan Estranged


UNIK - Berani tampil dengan elemen tradisional, (dari kiri) Hanafi,Rich, dan Din optimis album Sepenuhnya akan menjadi pemecah benteng antara mereka dengan peminat.

SENGGANG waktu berlalu. Kini sudah 14 tahun usia kembara seni kumpulan yang memperkenalkan diri sebagai Estranged bertapak dalam lapangan dunia hiburan tanah air. Ada turun naik, namun ketekalan bersatu dalam tempoh itu bukanlah suatu perkara mudah.

Mula memekarkan nama sekitar 2001, ironinya perjuangan Estranged hanya bermula enam tahun kemudian dengan lagu pengenalan Itu Kamu melonjakkan nama mereka. Ketika itu, Estranged hanya bergerak sebagai kumpulan indie.

Siapa sangka, Estranged membuktikan bahawa kumpulan indie mampu bersaing dengan karya pemuzik arus perdana yang lain. Buktinya, Itu Kamu dinobatkan selaku Lagu Terbaik menerusi Anugerah Juara Lagu ke-22 pada 2007.

Semenjak itu, populariti pantas diraih dengan beberapa untaian hit yang selalu menjadi halwa telinga peminat. Rantaian lantuman mereka seperti Yang Pernah, Aurora, Strangers dan Baru yang disaluti genre pop rock masih segar memalu gegendang jiwa peminat sehingga ke hari ini.

Itu sedikit sebanyak imbasan kisah perjalanan kumpulan Estranged. Siapa sangka, tahun 2015 menjadi saksi kepada pergolakan yang berlaku dalam kumpulan tersebut apabila salah seorang ahli mereka, Azwin Andy Malik atau lebih dikenali sebagai Andy mengundur diri sekitar Ogos lalu.

Kini, Estranged hanya tinggal bertiga iaitu Richael Gimbang Lawrence (Rich), Solihuddin Hormat (Din) dan Nor Hanafi Noor Hadi (Hanafi) yang masih setia memperjuangkan legasi muzik sejak 14 tahun lalu.

Mengulas mengenai pengunduran Andy, Estranged nyata masih ampuh menerima kenyataan kehilangan seorang ahli mereka. Perkara itu dianggap normal bagi pemuzik yang bergabung sebagai kumpulan.


Selesa bertiga

Ditanya bagaimana untuk meneruskan survival muzik selepas kekurangan seorang ahli, ini jawapan Estranged: “Tinggal bertiga, kami lagi okey. Apa yang boleh saya katakan, semenjak bertiga, hubungan setia kawan menjadi lebih akrab. Buktinya, kami dapat menyiapkan projek album terbaharu dalam masa singkat iaitu selama tiga bulan sahaja.

“Sebelum Andy keluar, kami sempat merakamkan tiga buah lagu bersama dalam album ini. Lebihan dua buah lagu lagi kami sudahkan dengan menggunakan khidmat pemuzik gantian.

“Daripada situ, kami sedar tentang satu hikmah yang Tuhan mahu tunjukkan. Ketiadaan Andy memberi kelainan kepada susunan muzik dalam album ini yang membuatkan ia lebih menarik. Daripada segi teknikal, ia agak berbeza daripada apa yang selalu Andy gunakan,” jelas Din panjang lebar dalam satu sesi temu bual yang berlangsung di Hotel St. Giles, The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Membuka cerita lara, tiga pemuzik yang tidak pernah bersara daripada bidang muzik itu mengakui, memang perselisihan faham dalam kalangan anggota Estranged sejak dua tahun lalu.

Namun, memikirkan jalinan persahabatan yang telah lama membuatkan mereka hanya menutup sebelah mata dan cuba menyelamatkan keadaan.

Sehinggalah September lalu menjadi titik noktah kepada perjuangan Andy bersama Estranged. Dia menarik diri secara sukarela dan persetujuan bersama sesama ahli kumpulan.

“Daripada menahannya, baik kami lepaskan. Sebabnya, kami sudah tidak sehaluan dalam banyak perkara. Lagipun memang dia mahu undur, jadi kami tiada hak mahu halang lagi walaupun sebenarnya rasa sayang dengan perjuangan yang dilalui selama ini,” tambah Hanafi.

Buat masa ini, Estranged masih belum terbuka hati dalam soal mencari pengganti Andy. Bagi mereka, bertiga lebih baik, sementelah situasi tersebut menghadirkan rasa serasi antara mereka.

“Seperti saya katakan tadi, apabila tinggal bertiga kami jadi lebih selesa. Jadi, buat masa sekarang kami masih belum terdesak untuk mencari pengganti.

“Setakat ini, kami masih boleh menggunakan khidmat pemuzik gantian untuk mana-mana kerja di studio mahupun persembahan di luar. Biar segalanya pulih perlahan-lahan. Insya-Allah kami akan beritahu sekiranya sudah bersedia untuk mencari pengganti Andy,” ujar Din.

Album baharu

Selepas hampir empat tahun berdiam tanpa produk album, Estranged bakal muncul dengan sebuah album mini berjudul Sepenuhnya.

Album yang dijangka dipasarkan menjelang Januari 2016 tersebut mengandungi lima buah lagu baharu iaitu Bangkit, Hancur Aku, Inginkan Kau, Maaf dan SyD (Seperti Yang Dinantikan).

Kata Rich, album yang siap sepenuhnya pada bulan Mac lalu itu akan menjadi pengubat rindu buat semua peminat yang rata-ratanya bingung mencari ke mana hilangnya mereka selama ini.

“Ini merupakan album mini dalam bentuk volume. Sengaja album ini dinamakan Sepenuhnya sebab sebelum ini, rasanya kami tidak pernah memberi sesuatu kepada peminat secara menyeluruh. Dalam erti kata lain, tidak secara maksimum. Jadi, Januari tahun hadapan menjadi saksi kepada kami untuk membuktikan yang terbaik buat semua peminat,” ujar Rich.

Walaupun pernah terbit perasaan ralat kerana mensia-siakan tempoh empat tahun tanpa sebarang produk buat industri, Rich berkata, perkara itu mematangkan mereka supaya lebih berhati-hati dalam mengatur langkah pada masa hadapan.

“Rugi memang rugi. Kami rasa sayang, sebab empat tahun bukannya sekejap. Dalam tempoh itu, macam-macam kami boleh berikan. Sekarang masanya untuk kami fokus kepada album ini dan perancangan masa hadapan,” ujarnya lagi.

Menariknya, Estranged tidak menghadiahkan karya terbaharu mereka dengan isi yang kosong. Biarpun selama ini memperjuangkan genre pop rock, untuk album mini tersebut Estranged menyelitkan sedikit elemen muzik tradisional Borneo.

“Untuk lagu-lagu terbaharu dalam album berkenaan, kami gubah sedikit dengan elemen tradisional daripada suku kaum Kadazan dengan menggunakan pelbagai alat muzik seperti angklung.

“Kami berani membuat kelainan sebab tidak ramai penyanyi tempatan sekarang yang memperjuangkan irama tradisional dalam karya mereka. Ia merupakan khazanah berharga agar generasi masa kini mengenal kesenian dan budaya milik kita,” bicara Rich tentang semangat di sebalik kemunculan semula Estranged.

Previous Post Next Post