Pertemuan pertama Hafidz, Dayana


HAFIDZ dan Dayana dilihat serasi digandingkan dalam drama Aku Pilih Kamu.

JIKA diamati, gandingan hero dan heroin yang menghiasi kaca televisyen kini lebih banyak menampilkan bakat daripada pendatang baharu dalam industri hiburan tanah air. Sememangnya pendekatan seperti itu secara tidak langsung memberi satu kelebihan kepada mereka untuk mengetengahkan bakat sedia ada kepada penonton.

Begitu juga dilihat menerusi drama Aku Pilih Kamu yang kini sedang bersiaran menerusi slot Samarinda. Menampilkan pelakon baharu Hafidz Roshdi bergandingan bersama pelakon yang semakin meningkat naik namanya, Dayana Roza, ia dilihat sebagai satu padanan yang cukup serasi.

Semestinya, pertama kali bersua dan bekerjasama, ia bukan satu tugas yang mudah buat mereka. Sungguh pun begitu, ia juga bukanlah satu halangan bagi mereka untuk memberikan satu hasil yang terbaik dalam menterjemahkan idea dan garapan sutradara Zul Huzaimy.

Sensasi Bintang berkesempatan menemukan kembali Hafidz dan Dayana dalam satu sesi fotografi baru-baru ini untuk berkongsi cerita mengenai drama Aku Pilih Kamu yang menampilkan mereka berdua selaku teraju utama.


Bolehkah anda kongsikan mengenai drama berjudul Aku Pilih Kamu yang mengetengahkan kalian selaku pelakon utama?

HAFIDZ: Drama sebanyak 15 episod itu sudah mula bersiaran sejak awal Disember lalu dan masih lagi ditayangkan. Ia merupakan sebuah drama yang masih lagi mengisahkan perihal percintaan yang ditulis oleh Rozie Rashid.

DAYANA: Jika kita lihat kebanyakan drama yang ada di kaca televisyen banyak diadaptasikan daripada novel-novel yang kemudiannya digarap menjadi drama televisyen, tetapi drama Aku Pilih Kamu ini merupakan sebuah naskhah asal. Jadi, secara tidak langsung, ia merupakan satu karya yang segar buat penonton.

Ceritakan serba sedikit watak dan karakter digalas dalam drama tersebut.

HAFIDZ: Saya memegang watak sebagai Rizman. Watak Rizman itu digambarkan sebagai seorang yang keras hati, suka memberontak dan mempunyai rasa ego. Boleh dikatakan juga karakternya agak panas baran.

DAYANA: Saya pula diberi kepercayaan untuk memegang watak seorang wanita bernama Qasya Azara. Dalam cerita ini, ia menggambarkan perubahan hidup yang dilalui Qasya selepas kematian ibunya. Dia kemudian membesar dengan sebuah keluarga angkat. Dari situlah Qasya bertemu dengan Rizman apabila disuruh berkahwin oleh bapanya. Karakter Qasya ini boleh dikatakan sebagai seorang wanita yang tabah dan cekal dan sering menjadi mangsa keadaan.


Kedua-dua pendatang baharu ini mengharapkan diberi lebih banyak peluang untuk membuktikan keupayaan dan bakat mereka.

Pada pandangan anda, apakah istimewanya kehadiran anda dalam penghasilan drama tersebut?

HAFIDZ: Selalunya watak yang diberikan itu tidak jauh beza dengan umur sebenar saya. Kiranya selalu watak lelaki remaja. Umur saya pun baru 21 tahun. Bagaimanapun, dalam drama ini saya membawakan watak seorang lelaki yang boleh dikatakan sudah matang dalam 30-an. Memandangkan saya ini masih lagi muda, jadi saya perlu jadi orang lain untuk jayakan watak yang jauh lebih berusia itu.

DAYANA: Ini pertama kali saya berpeluang untuk bekerjasama dengan pelakon Hafidz Roshdi. Jadi, ini satu momen yang baik untuk peminat menilai dan melihat sendiri gandingan kami berdua.

Bagaimana kalian mewujudkan keserasian bersama memandangkan ini merupakan kali pertama digandingkan bersama?

HAFIDZ: Mula-mula itu memang susah. Apabila datang ke set itu rasa janggal mulanya, tetapi lama-kelamaan keserasian itu datang secara sendiri. Lagipun, kami biasanya akan ada sesi latihan terlebih dulu. Dayana pun banyak memberi tunjuk ajar memandangkan dia juga lebih berpengalaman berbanding saya.

DAYANA: Masing-masing sudah tahu skrip sendiri, jadi yang penting, sebelum beraksi di hadapan kamera, kami akan duduk sama untuk berbincang bagaimana untuk kita terjemahkan sesuatu babak itu. Saling berkomunikasi dan memberi pendapat itu penting untuk lancarkan proses penggambaran.

Apakah pandangan kalian mengenai diri pasangan masing-masing?

HAFIDZ: Saya selesa dan seronok dapat bekerja dengan Dayana sebab dia seorang yang periang dan banyak bercakap.

DAYANA: Memang sesuai lah sebab Hafidz ini pula seorang yang pendiam. Kalau di set saya memang suka mengacau dia (ketawa). Apapun, saya juga rasa bertuah dapat digandingkan bersamanya buat pertama kali.

Previous Post Next Post