Rahsia, cinta dan fobia Fida


FIDA kini sibuk mengendalikan perniagaan kecantikan dan kesihatan iaitu R Secrets.

LAMA juga tidak mendengar khabar berhubung perkembangan kerjaya pelakon dan penyanyi jelita, siapa lagi jika bukan Fida Ibrahim.

Setelah diselidik, rupa-rupanya pemilik nama sebenar Rafidah Ibrahim, 29, ini sibuk menguruskan perniagaan produk kecantikan dan kesihatannya iaitu R Secrets sepanjang tahun ini.

“Saya lebih fokus terhadap dunia perniagaan iaitu R Secrets, jadi saya agak sibuk. Insya-Allah, saya akan kembali aktif menyanyi dan berlakon pada tahun depan,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.

Fida berkata, dia menjalinkan kerjasama bersama seorang doktor dari Johor berhubung produk kecantikan dan kesihatan dari Korea Selatan itu.


“Sebelum ini, saya tampil dengan beberapa produk menggunakan nama berbeza.

“Kini, segala-galanya akan menggunakan jenama sama iaitu R Secrets,” ceritanya yang turut mendapat pengiktirafan Anugerah Ikon Usahawan Selangor 2015 anjuran Kelab Usahawan Selangor dan Dewan Pengeksport Halal Malaysia pada tahun ini.

Berhubung proses rakaman album, Fida menjelaskan, ia dijangka bermula selewat-lewatnya bulan depan.

“Sebenarnya, proses rakaman album sebelum ini tertangguh kerana melibatkan kolaborasi dengan artis lain, ia berdepan kekangan masa.

“Jika tiada aral melintang, single demi single akan dikeluarkan terlebih dahulu sebelum album penuh dilancarkan,” katanya sambil memberitahu, album sulungnya itu bakal mendapat sentuhan Ajai dan Sheikh Qalam.

Ungkapnya, kelab peminatnya kini dijenamakan semula dan bakal dikenali dengan nama Rafida Zoomers.

“Sebelum ini ada kelab peminat namun tidak berapa aktif, jadi ia akan diberikan nafas baharu,” ujarnya yang merancang menganjurkan aktiviti seperti menonton wayang dan bermain boling bersama peminat.

Menyentuh mengenai kehidupan peribadinya yang masih solo selepas putus cinta, tanpa berselindung Fida mengakui tidak terlalu memikirkan perkara itu.

“Setakat ini, saya masih solo daripada mengenali sesiapa. Sejujurnya, saya tidak kisah sama ada individu itu tergolong dalam golongan industri ataupun tidak,” getusnya menutup bicara.

Previous Post Next Post