Seiras Seirama Siapakah lebih seiras?



Satu lagi program realiti nyanyian terbaru, Seiras Seirama dihidangkan kepada penonton bermula jam 9 malam ini di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran 123).

Bakal bersiaran selama 90 minit setiap episod, Seiras Seirama adalah pencarian bakat nyanyian suara persis ikon terkenal tanah air, Datuk Jamal Abdillah, Ella, Ziana Zain, Misha Omar, Mas Idayu, Faizal Tahir dan Hafiz Suip.

Umumnya, peserta perlu menyanyikan lagu ikon pilihan mereka dengan suara serupa seperti ikon itu.

Dikemudi pengacara nombor satu Malaysia, Datuk Aznil Nawawi, Senada Seirama yang dibuat secara rakaman untuk tujuh episod, tentunya dapat mengubat rindu peminat terhadap keletah pengacara berpengalaman itu.

Kali terakhir Aznil mengendalikan program hiburan melalui Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), tiga tahun lalu.

Aznil akui janggal apabila kembali mengendalikan program hiburan kerana melihat perubahan dalam bidang pengacaraan yang turut diserikan dengan lawak jenaka.

Melihat situasi itu katanya, pastinya bukan satu tanggung­jawab mudah buatnya tetapi yakin keunikan Seiras Seirama dapat menarik perhatian penonton untuk menyaksikannya.


“Saya rasa ini kali pertama program yang menampilkan konsep penyanyi popular dan ternama mencari klon mereka. Ia bukan saja daripada nada suara tetapi juga mencari mereka yang mempunyai gaya mahupun rupa paras mirip penghibur ditampilkan.

“Kelebihan Seiras Seirama adalah penyanyi yang terbabit, Jamal, Ella, Ziana, Mas Idayu, Misha, Faizal dan Hafiz sangat dikenali. Malah ada antara mereka memulakan kerjaya seni sama dengan saya waktu mula-mula menceburkan diri dalam bidang pengacara.

“Saya cuba menghidupkan rancangan ini dengan menjadikan ia dekat kepada peminat setiap penyanyi yang mencari klon mereka,” katanya.

Walaupun persembahan mingguan berupa rakaman, Aznil berusaha melakukan ia seperti program siaran langsung di mana penyanyi terbabit bukan saja menjadi juri tetapi turut memberi tunjuk ajar di pentas.

“Sewaktu rakaman untuk minggu mencari klon Faizal Tahir, saya meminta penyanyi itu mengajar peserta bagaimana hendak menyanyi mengikut gayanya yang betul.

“Seorang peserta menampilkan prop di pentas tetapi bagi saya itu bukan cara Faizal Tahir, kalau Aishah mungkin sesuai.

“Pengalaman yang ada saya gunakan untuk memberi gambaran betul kepada peserta dan juga penonton mengenai bintang yang tampil mencari klon mereka. Secara tidak langsung penonton akan faham konsep sebenarnya program Seiras Seirama,” katanya.

Kata Aznil, pembabitan penyanyi pelbagai zaman mampu me­ngimbau kenangan penonton terhadap mereka. Sebagai pengacara yang lama terbabit dalam industri, Aznil mempunyai input untuk dikongsi.

“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk musim pertama ini, hanya berharap maklum balas daripada penonton supaya perubahan dapat dilaksanakan pada musim akan datang.

“Produksi juga tidaklah meletakkan Seiras Seirama sama hebat atau lebih lagi berbanding Gegar Vaganza 2, tetapi andai itu yang berlaku, sudah tentu kami semua bersyukur,” katanya.

Aznil juga tidak meletak program ini segah Gegar Vaganza 2 kerana sedar setiap program ada keunikan dan keistimewaan tersendiri.

“Bagi mereka yang tidak tahu konsep Seiras Seirama, memang tertanya-tanya apa sebenarnya yang dilakukan produksi program.

“Bagaimanapun selepas menonton sesi rakaman, baru mereka faham dan ada antara mereka menjadi seronok dan datang menonton setiap minggu kerana dapat merasakan perbezaan ditampilkan.

“Paling utama, Seiras Seirama tidak terletak pada pengacaranya tetapi konsep menarik ditampil­kan. Saya hanya mengendalikan program supaya perjalanannya menepati tema yang mahu ditampilkan,” katanya.

Bakal bersiaran sebanyak lapan episod, setiap minggu menampilkan seorang ikon bersama empat peserta yang disenarai pendek untuk melalui empat pusingan cabaran nyanyian sebelum ikon memilih dua peserta terbaik untuk ke pusingan ‘The Battle’ bagi memilih seorang pemenang bagi episod ikon, seterusnya mara ke episod akhir yang akan bersiaran secara langsung.

Pada akhir, semua pemenang setiap episod akan berentap untuk muncul juara dan mereka diadili sepenuhnya barisan juri profesional. Peratusan pemarkahan berdasarkan kepada suara (40%), persembahan (30%) dan gaya/personaliti (30%).

Previous Post Next Post