Shahrol Shiro simpan identiti calon isteri


KEGAGALAN perkahwinan pertama sekitar lapan tahun membuatkan Shahrol berhati-hati dalam berkongsi kisah peribadi.

SETIAP individu mempunyai cara tersendiri dalam mendefinisikan erti privasi dan Shahrol Shiro tidak terkecuali.

Bakal menamatkan zaman dudanya pada tahun hadapan, Shahrol atau nama sebenarnya, Shahrol Azizie Azmi, 31, bagaimanapun enggan mendedahkan identiti kekasihnya itu.

Kata pelakon filem Ustaz Mu Tunggu Aku Datang! itu, cukup khalayak mengetahui bahawa bakal isterinya nanti merupakan wanita yang telah dikenalinya sekitar dua tahun lalu.

Berkesempatan bertemu dengannya pada sidang akhbar Anugerah MeleTOP Era 2016 (AME2016) di Kuala Lumpur baru-baru ini, juara Raja Lawak musim keenam itu berkata, tindakan berahsia itu terpaksa dibuat kerana masih terkesan trauma akibat kegagalan rumah tangganya sekitar lapan tahun lalu sehingga fobia untuk berkongsi perihal peribadi kepada umum.

Pada masa yang sama, penyampai radio Era FM itu turut menafikan iri hati dengan sahabatnya, Ajak Shiro yang dilihat lebih berjaya dalam hal kekeluargaan dan karier berbanding dirinya.


Artis Meletop!: Dengarnya, Shahrol akan menamatkan zaman duda pada tahun hadapan, boleh ceritakan?

SHAROL: Benar, saya merancang untuk mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan. Tarikhnya belum diputuskan dan saya turut merancang untuk terus mengadakan majlis pernikahan tanpa mengikat tali pertunangan terlebih dahulu.

Siapakah wanita bertuah itu?

Buat masa ini, saya belum bersedia untuk mendedahkan identitinya. Bukan tidak mahu berkongsi, tetapi saya masih terkesan dengan kegagalan rumah tangga yang saya alami lapan tahun lalu.

Mengapakah anda mengambil pendekatan untuk merahsiakan identiti kekasih?

Rumah tangga pertama gagal pada tahun ketiga perkahwinan dan perkara tersebut menjadikan saya lebih berhati-hati untuk kembali bergelar suami. Siapa yang tidak mahu bahagia? Sebagai seorang lelaki, saya juga mengimpikan sebuah kebahagiaan iaitu bersama isteri dan anak-anak. Lagipun, perancangan untuk mendirikan rumah tangga adalah hasil persetujuan bersama dengan ibu saya di kampung. Jika ibu saya suka, saya terima sahaja dan kalau ada jodoh, insya-Allah saya akan berkahwin pada tahun hadapan.

Bagaimanakah dengan hubungan bekas isteri?

Alhamdulillah, hubungan kami masih baik. Memandangkan bekas isteri mendapat hak penjagaan, saya kerap bertemu dengan anak saya, Muhammad Adam Danish yang kini berusia tujuh tahun. Baru-baru ini, saya turut menghadiri majlis penyampaian hadiah di sekolahnya.

Bercakap mengenai karier, rakan seperjuangan anda, Ajak dilihat lebih mendapat perhatian peminat. Komen?

Sejujurnya, saya tidak mempunyai masalah dengan kejayaan yang diterima oleh Ajak. Kami sudah sepakat untuk melakukan perkara yang disukai selepas tamatnya Raja Lawak. Jadi, Ajak banyak menerima tawaran berlakon dan sebab itu, dia kerap muncul di kaca televisyen. Saya pula lebih selesa bergelar pengacara dan penyampai radio, mungkin itu sebabnya kemunculan saya tidak serancak Ajak. Walau apa pun, saya tumpang gembira dengan kejayaan Ajak.

Adakah kumpulan Shiro masih wujud?

Shiro masih wujud dan kami masih lagi bersama. Cuma, kami jarang muncul secara duo kerana masing-masing mempunyai jadual kerja yang padat dan masa yang tidak mengizinkan.

Bagaimana pula dengan pencalonan dalam AME2016?

Saya menerima pencalonan awal bagi kategori Penyampai Radio MeleTOP bersama Tauke dan Dina Nadzir.

Previous Post Next Post