Syamel lebih menyerlah


BIARPUN hanya berjaya menempatkan diri sebagai naib johan dalam program realiti Akademi Fantasia 2105 (AF2015), Syamel dilihat sebagai pelajar yang lebih menyerlah berbanding pelajar lain.

Single Hidup Dalam Mati ciptaan Syamel sendiri nyata berjaya memikat hati pendengar sekali gus memberi impak yang besar buat permulaan karier nyanyiannya.

Lebih membanggakan, baru-baru ini dia turut dimaklumkan tercalon dalam tiga kategori iaitu Artis Baharu Meletop, Penyanyi Meletop dan Lagu Meletop menerusi Anugerah Meletop Era 2016 (AME2016).

“Alhamdulillah, saya tidak jangka rezeki datang secepat ini. Bagi saya ini satu permulaan yang baik untuk karier saya.

“Ini satu tanggungjawab yang harus saya pikul untuk sentiasa bekerja keras bagi merealisasikan harapan peminat terhadap saya.

“Saya tidak anggap ia sebagai satu bebanan malah ia pembakar semangat saya untuk terus berkarya,” katanya ketika ditemui pada sidang media AME 2015, Rabu lalu.


Pada masa sama, Syamel tidak menganggap pencapaiannya itu berjaya menandingi populariti juara AF2015, Sufi.

“Secara peribadinya, saya langsung tidak pernah terfikir atau ada perasaan untuk menandingi Sufi.

“Seperti yang saya katakan, ini semua adalah rezeki saya yang saya sendiri tidak pernah jangkakan,” katanya tegas.

Pada masa sama, Syamel turut berkongsi rasa terharu apabila kehadirannya dalam industri disambut baik oleh peminatnya.

“Perkara paling ketara yang berlaku selepas tamat AF adalah saya rasa lebih dihargai.

“Walaupun peminat tidak mengenali saya secara peribadi, mereka sentiasa mendoakan kejayaan saya dan itu cukup buat saya terharu dan teruja,” katanya.

AME2016 yang mempertaruhkan 18 kategori akan bersiaran secara langsung di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur pada 28 Februari 2016 menerusi siaran eksklusif Astro Ria (104) serta siaran serentak di Ria HD (123).

Previous Post Next Post