Takdir Miss Colombia


ADRIANA

Selepas melalui detik ‘ngeri’ dan memalukan kerana tersalah disebut sebagai Miss Universe 2015, baru-baru ini, Ariadna Gutierrez yang mewakili negaranya, Colombia tidak pernah memberi sebarang kenyataan.

Hanya aksi wanita berusia 21 tahun itu melambai dan menangis kegembiraan pada beberapa minit sahaja sebelum perasaan tersebut diragut kesedihan masih terbayang. Gutierrez dengan berat hati dan terkejut terpaksa menyerahkan mahkota dan gelaran nombor satu itu kepada Miss Filipina, Pia Alonzo Wurtzbach, selepas hos anugerah tersebut, Steve Harvey menyedari kesilapannya.


Dalam siaran secara langsung itu, Harvey perlu membetulkan kesilapannya apabila menyebut Gutierrez sebagai pemenang, walhal gelaran tersebut milik Pia Alonzo yang diumumkan sebagai pemenang tempat kedua.

Selepas beberapa hari insiden memedihkan itu berlalu, Gutierrez membuka bicara di laman sosial Instagram miliknya. Model dan hos Colombia tersebut menulis dia menerima insiden tersebut dengan hati terbuka selain menyifatkan ia sebagai takdir hidupnya.

“Ini takdir hidup saya. Saya berjaya membawa kegembiraan untuk negara saya buat beberapa minit kerana kesilapan tersebut, hari ini seluruh dunia bercakap tentang Colombia dan orang Latin. Hidup perlu diteruskan dan bergembira. Terima kasih untuk sokongan, saya sayang kalian semua,” tulis Gutierrez yang turut mengucapkan tahniah kepada Pia Alonzo di atas kejayaannya merangkul gelaran Miss Universe 2015.

Previous Post Next Post