Tania Hudson jadi wartawan


TANIA HUDSON kini sibuk menjalani penggambaran filem Abang Long Fadil 2 bergandingan dengan Zizan Razak.

Wajah jelita pelakon kacukan Melayu-Inggeris, Tania Hudson, 29, pasti mengingatkan ramai mengenai kisah duka yang pernah ditanggungnya.

Sekitar tahun 2008, adik kepada pelakon Natasha Hudson itu pernah menjalani pembedahan otak akibat menghidap penyakit Arteriovenous Malformation (AVM) iaitu sejenis pengumpulan saluran darah secara tidak normal di dalam otak. Disebabkan penyakit tersebut, dia terpaksa melupakan impiannya seketika untuk bergiat aktif di cabang seni.

Selepas sembuh, perlahan-lahan Tania kembali mendaki tangga lakonan. Namun, entah mana silapnya, sehingga kini kelibatnya sebagai pelakon masih lagi belum disedari meskipun kembali aktif berlakon sejak 2011.

Tenang dan bersahaja ketika menjawab pertanyaan media berkenaan dirinya baru-baru ini, pelakon filem Balistik bernama lengkap Tania Nadira Hudson itu manis mengukir senyuman sambil menceritakan perkembangan terbaharunya.


Artis Meletop!: Bagaimana dengan keadaan kesihatan Tania sekarang?

TANIA HUDSON: Alhamdulillah, keadaan saya semakin baik. Cuma, saya masih perlukan rehat yang cukup selepas setiap kali melakukan kerja berat untuk mengelakkan sebarang tekanan yang boleh menjejaskan kesihatan. Apapun, sekarang saya sihat dan boleh bekerja dengan baik.

Walaupun sudah sembuh, adakah anda masih melakukan rawatan susulan?

Ya, saya masih lagi melakukan pemeriksaan susulan. Tapi, ia bersifat berkala. Misalnya, sebulan sekali saya akan berjumpa doktor untuk memastikan saya tiada lagi gumpalan urat yang tidak normal tumbuh dalam otak atau apa-apa kondisi yang boleh merisikokan. Setakat ini, semuanya baik sahaja. Saya bersyukur kerana masih diberi peluang oleh Tuhan untuk menjalani kehidupan normal seperti insan lain.

Tidakkah anda berasa kecewa disebabkan penyakit tersebut anda harus bertatih semula dalam industri. Dalam erti kata lain, ia membantutkan perjalanan seni anda sebagai seorang pelakon. Komen anda?

Tidak pernah sekali pun saya berasa kecewa. Bagi saya, segala perkara yang berlaku ada hikmahnya. Tuhan itu sebaik-baik perancang dan Dia akan berikan yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Penyakit tersebut menjadikan saya lebih tabah dan kuat berdepan hari-hari mendatang. Barangkali, mungkin belum sampai rezeki untuk saya menonjol seperti pelakon lain. Bagaimanapun, saya bersyukur dengan segala nikmat yang dipinjamkan Allah kepada saya.

Anda mula berlakon sejak 2009, namun pengaruh anda masih samar-samar dalam kalangan peminat. Walhal, ramai pelakon muda hari ini mencapai populariti dalam masa yang singkat dan mudah populariti. Bagaimana penerimaan anda terhadap situasi tersebut?

Saya masuk ke dalam industri ini bukan untuk mengejar populariti tetapi mengisi minat saya sebagai seorang pelakon. Seperti yang saya katakan tadi, ia berbalik kepada rezeki. Mungkin sebelum ini, pengarah takut untuk mengambil saya berlakon kerana memikirkan sejarah lakonan saya. Jadi, mungkin peluang untuk saya mengembangkan bakat lakonan harus bersifat lebih luas kerana saya nekad menjadikan kerjaya lakonan sebagai pekerjaan sepenuh masa. Saya tidak boleh komen lanjut mengenai rezeki orang lain, fokus saya adalah kepada diri sendiri.

Anda kini berusia 29 tahun, setahun lagi anda akan mencecah usia 30 tahun. Adakah anda sudah berpunya atau masih menanti jodoh?

Ya, saya semakin tua (ketawa). Buat masa sekarang saya memang tiada teman istimewa. Kalau diikutkan, kawan lelaki memang ramai tetapi jujur saya katakan, setakat ini saya masih berstatus solo. Insya-Allah, doakanlah yang terbaik supaya saya cepat bertemu jodoh.

Tahun 2015 berbaki beberapa hari lagi, apa yang terbaharu daripada anda?

Filem lakonan saya bertajuk Paradoks bersama Kaka masih lagi menunggu tarikh tayangan. Buat masa ini, saya sibuk menjalani penggambaran filem Abang Long Fadil 2 memegang watak Yana (seorang wartawan).

Boleh ceritakan sedikit mengenai watak Yana dan cabaran melakonkannya?

Yana merupakan seorang wartawan jenayah. Kalau nak tahu lanjut, tengok di pawagam nanti (ketawa). Cabaran boleh tahan juga. Memandangkan sebelum ini saya memang tidak pernah mengacara, saya terpaksa membuat banyak latihan dan kajian untuk menghidupkan watak tersebut. Tambah lagi, saya berlakon di samping pelakon yang serba berpengalaman. Mula-mula agak gemuruh juga, sekarang sudah biasa.

Previous Post Next Post