Tiada Layanan Istimewa Suami Terhadap Min Yasmin


Min Yasmin dan suaminya Julfekar.

Penyanyi Min Yasmin menjelaskan presepsi kononnya dia mendapat layanan istimewa dalam kerjayanya daripada komposer Julfekar adalah tidak benar biarpun mereka suami-isteri.

Min atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz, 26, berkata, seperti mana artis lain dia perlu bekerja keras dalam kariernya malah perlu menunggu lima tahun sebelum album pertamanya dilancarkan.

"Layanan diberikan sama sahaja dan bukannya mendapat apa-apa kelebihan apabila kami mempunyai ikatan suami-isteri.

"Malah saya perlu bekerja keras lebih daripada orang lain tambahan pula Julfekar sangat tegas," katanya kepada mStar Online.


Min ditemui pada pelancaran album pertamanya berjudul Min Yasmin di Auditorium Mini Matic di sini, Khamis.

Pada majlis sama turut dilancarkan album pertama penyanyi Rahayudean dengan judul sama.

Kedua-dua mereka adalah artis naungan syarikat milik Julfekar iaitu Millenium Art Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Min berkata, dia tidak kesal terpaksa menunggu lama sebelum kemunculan album pertamanya kerana memberi fokus kepada pengeluaran single terlebih dahulu.


Pengarah Urusan Millinnium Art Sdn Bhd iaitu Julfekar Ahmad Shah (tiga dari kanan) bersama Pengarah Urusan Dream Music Sdn Bhd iaitu Datuk Fauzi Zakaria (dua dari kiri) pada majlis Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedu-dua pihak itu di Kuala Lumpur pada Khamis.

Malah beberapa lagu dimuatkan dalam albumnya itu pernah menjadi lagu tema beberapa buah drama bersiri di televisyen yang telah pun mendapat perhatian peminat.

"Kalau saya terus keluar dengan album sebelum ini ia mungkin tidak berjaya kerana pendengar tidak mengenali siapa saya.

"Tetapi dengan mengeluarkan single dan menjadikan ia lagu tema drama dari situ ia mula menjadi perhatian dan sedikit sebanyak membantu saya memperkenalkan diri dalam industri," jelasnya.

Sementara itu, Min berkata, dia juga telah pun melancarkan sebuah album duet bersama penyanyi Filipina iaitu Nikki Bacolod berjudul 2 Voices di negara berkenaan pada Julai lalu.

Kata Min, dia terkejut dengan penerimaan luar biasa pendengar di sana apabila single 'Sa Iyo' bertahan selama lima bulan di dalam carta Top 10 di stesen radio nombor satu di negara itu.

"Percubaan yang tidak disangka-sangka mendapat penerimaan yang cukup luar biasa daripada peminat di Filipina malah saya sempat berada di sana untuk mengadakan promosi dan temuramah di sana. Ia pengalaman menakjubkan.

"Insya-Allah selepas promosi album di Malaysia, pihak syarikat rakaman bercadang menerbitkan album solo saya untuk pasaran Filipina dalam bahasa Tagalog," jelasnya.

Tambah Min, kejayaannya di negara itu bertambah manis apabila dia menerima anugerah Asian Singer 2015 dan Music Ambassador di Gawad Sulo Awards 2015 yang berlangsung di Manila baru-baru ini.

Kata Min, dia adalah artis luar pertama menerima trofi berkenaan yang sebelum ini hanya diberikan kepada artis tempatan.

"Saya ingin membawa dan mengharumkan nama Malaysia di luar negara dan ini adalah permulaan buat saya," ujarnya.

Previous Post Next Post