Adam AF, Fiza Elite sah bercerai kali kedua


Fiza dan Adam AF sah bercerai.

PELAKON dan bekas penyanyi kumpulan Elite, Fiza Halim mengesahkan dia bukan lagi isteri kepada bintang Akademi Fantasia (AF), Adam.

Memetik laporan BH Online, Fiza berharap penjelasan itu dapat mengelak salah faham dan fitnah.

"Kami berpisah cara baik. Saya anggap sudah bukan jodoh untuk kami bersama lagi. Saya minta dia lepaskan saya tanpa dendam di hati. Sekarang masing-masing bawa haluan sendiri.

"Saya mahu kongsi hal ini kerana mahu maklumkan status sebenar. Ini kerana ramai sudah mula bertanya setiap kali saya berjalan tanpa Adam di sisi.

"Malah, Adam sudah tidak memuat naik gambar saya di laman Instagramnya. Jadi saya lihat pencerahan ini perlu supaya tak menjadi fitnah pula," katanya.


Fiza dan Adam bernikah pada September 2013 tetapi mereka tidak dikurniakan anak.

Menyorot kisah perkahwinan pasangan ini, Adam dan Fiza pernah bercerai pada 28 April 2014 tetapi rujuk pada tahun sama.

Namun, tahun lalu, Fiza sekali lagi nekad menuntut cerai kerana melihat hubungan mereka tidak boleh dipertahankan lagi.

Buat kali kedua, Adam menceraikan Fiza dengan talak satu di rumah mereka di Gombak pada 21 September lalu.

Mereka kemudian mengesahkan lafaz cerai di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 28 Disember lalu.

Fiza berkata, dia sudah berusaha sebaik mungkin serta memberi peluang kepada Adam mempertahankan rumah tangga mereka. Namun, akui Fiza, hubungan mereka makin jauh dan hambar.

"Kali pertama bercerai, saya masih berharap kami akan terus bahagia. Tetapi semakin lama, semuanya dilihat semakin kelam. Jadi, pada tahun lalu, saya nekad untuk berpisah dengannya. Kami tidak tinggal sebumbung beberapa bulan.

"Malah, pada sambutan Aidilfitri lalu, Adam beraya seorang diri di Sabah. Saya pula beraya dengan keluarga. Malah, tahun lalu, saya diuji dengan kehilangan bapa tercinta.

"Dugaan itu bagai datang bertimpa. Tapi saya kuatkan diri," katanya.

Previous Post Next Post