Afdlin Shauki: Pasukan TRW Hilang Intergriti Kerana Datuk Vida



Penerbit dan pelakon Afdlin Shauki berkata, ada sebab dia mengkritik penaja popular Pamoga Qu Puteh iaitu Datuk Seri Vida yang dilihat cuba menentukan budaya dan integriti pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

Afdlin atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Aksan, 44, berkata, dia gembira apabila ada usahawan tempatan menaja sesebuah pasukan bola sepak memandangkan belum pernah perkara seperti itu berlaku, namun biarlah perjanjian yang dibuat berkonsepkan 'menang-menang' antara dua pihak.

"Saya bangga ada syarikat tempatan yang menaja sesebuah pasukan bola sepak. Tetapi janganlah hanya satu pihak yang menentukan segala-galanya sehinggakan budaya dan integriti pasukan bola sepak itu berubah.

"Sehinggakan untuk bergambar pun, pasukan TRW perlu beraksi dua jari di pipi, seperti yang sering dibuat oleh Datuk Seri Vida, bagi saya itu sudah melampau," katanya yang dihubungi mStar Online pada Isnin.

Afdlin diminta mengulas mengenai status yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya yang tidak boleh menerima keadaan apabila pihak penaja cuba menentukan atau mengubah budaya dan integriti sesebuah pasukan bola sepak.




Status itu telah menarik perhatian ramai dan ada yang mengkritik pendapat Afdlin dan pada masa sama ada juga yang menyokongnya.

Sementara itu, Afdlin berkata, dia tidak kisah sekiranya ada pihak yang menghentamnya gara-gara status tersebut kerana apa yang disampaikan itu sekadar sebuah pendapat.

"Ini hanya pendapat dan saya tidak paksa mana-mana pihak untuk menyokong saya.

"Apa yang saya cuba sampaikan ialah walaupun pasukan bola sepak itu ditaja, biarlah perjanjian yang dibuat sesuai dan memberi keuntungan kepada kedua-dua belah pihak.

"Saya juga meminati pasukan bola sepak tempatan dan pendapat yang saya luahkan itu dibuat dengan cara penuh hormat. Saya pun suka merah jambu. Cuma tak payahlah beraksi (gaya jari di pipi). Hilang warrior dah," tuturnya.

Vida menjadi penaja utama pasukan The Red Warriors (TRW) selama dua musim dengan tajaan bernilai RM16 juta.


Datuk Seri Dr Vida.

Pengasas produk kecantikan Qu Puteh itu menetapkan dua syarat sebelum bersedia menaja pasukan itu untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2016.

Dua syarat tersebut melibatkan perubahan kepada warna Stadium Sultan Muhammad IV kepada merah jambu, manakala nama The Red Warrior ditukar menjadi Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.

Namun, syarat yang ditetapkan tersebut mendapat kritikan di kalangan penyokong pasukan itu yang menyifatkan ia sebagai tidak sesuai dengan imej garang Kelantan.

Sementara itu, mengenai perkembangan terbaharu Afdlin bakal sibuk dengan penggambaran program Siapa Kata Kita Tak World Tour di beberapa negara Eropah.

Selain itu, Afdlin juga bakal sibuk dengan penggambaran dua buah filem terbitannya iaitu Mamadom dan Ponti vs Orang Minyak 2.

Previous Post Next Post