Doa peroleh zuriat Raja Farah termakbul


BERKAHWIN dengan Iskandar pada September tahun lalu, Raja Farah kini hamil sembilan minggu.

Mendapat khabar gembira dirinya hamil pada 5 Januari lalu adalah satu rahmat besar buat pelakon dan hos, Raja Farah.

Masakan tidak, berita itulah yang diidamkan setiap wanita, sementelah, wanita ini sendiri pernah mengalami kegagalan rumah tangga dahulu, tanpa mempunyai zuriat. Ternyata, pernikahan keduanya dengan Iskandar Ismail pada 6 September lalu diiringi rezeki yang selama ini diidamkannya. Farah atau nama sebenarnya, Raja Farah Raja Aziz, 28, kini hamil sembilan minggu. Malah, akuinya, dia pernah berasa dirinya tidak mampu melahirkan zuriat, namun ternyata kuasa Allah, tiada siapa yang mampu menidakkan ketentuannya.

Paling mengujakan, kata Farah, dia disahkan hamil selepas seminggu pulang dari mengerjakan umrah bersama suaminya pada 18 sehingga 29 Disember lalu.

Farah menyifatkan, Allah telah mendengar rintihan dan doanya sepanjang berada di Tanah Suci untuk diberi kesempatan hamil, sekali gus mempunyai cahaya mata.


Artis Meletop!: Tahniah Farah kerana disahkan hamil. Bagaimana perasaan anda sekarang dengan kehamilan anak pertama?

RAJA FARAH: Terima kasih. Alhamdulillah. Saya rasa lega dan gembira kerana akhirnya doa saya dimakbulkan oleh Allah. Segala persoalan yang bermain di minda saya sebelum ini terjawab dengan perkhabaran berita gembira ini. Saya memang lama ternanti-nanti berita ini, tidak sangka betul sekarang saya mengandung. Saya harap orang ramai mendoakan yang baik-baik untuk kandungan ini.

Maaf bertanya, sebelum ini perkahwinan pertama ada yang menuding jari pada anda mengatakan anda tidak mampu melahirkan zuriat menyebabkan kegagalan perkahwinan tersebut. Apa komen anda?

Sebenarnya, saya tidak mahu lagi memperbesar-besarkan perkara yang sudah lepas. Bagi saya semua yang berlaku adalah suratan takdir. Saya kini bahagia dengan kehidupan baharu dan berdoa perkara yang sama untuk bekas suami saya. Saya tidak mahu ungkit kembali perkara lalu kerana ia sudah menjadi pengajaran buat saya untuk mengharungi kehidupan yang lebih baik.

Sehingga sekarang, apa antara alahan yang anda alami disebabkan kehamilan?

Alhamdulillah, setakat ini tiada alahan yang bukan-bukan. Cuma, saya mudah letih. Kadang-kadang rasa macam mahu rehat sahaja di rumah dan tidak mahu melakukan sebarang pekerjaan. Dalam soal pemakanan pula, sejujurnya sebelum ini saya memang tidak makan makanan pedas. Namun. sejak hamil, saya mula suka makanan pedas sehingga suami juga pelik.

Adakah kalian memasang harapan untuk memiliki satu satu jantina anak lelaki atau perempuan?

Jujur saya katakan, kami memang inginkan anak lelaki. Tetapi baru-baru ini ramai yang menegur mengatakan besar kemungkinan saya mengandungkan bayi perempuan berdasarkan seri muka saya. Apapun, saya tidak kisah anak lelaki atau perempuan asalkan bayi yang bakal dilahirkan nanti berada dalam keadaan sihat.

Adakah anda akan memperlahankan rentak seni selepas mengetahui kini hamil?

Sebenarnya, sekarang pun saya tidak lagi berlakon. Sekarang doktor banyak menasihati saya untuk berehat secukupnya. Hari demi hari, saya semakin berpendapat perlu memfokuskan kepada hal keluarga terutama selepas disahkan hamil. Saya berharap kandungan ini akan berada dalam keadaan baik sehingga tiba waktu untuk saya melahirkannya nanti. Insya-Allah.

Baiklah, bagaimana pula dengan perkembangan seni sekarang? Ada perkara terbaharu yang ingin dikongsi bersama peminat?

Perkembangan seni tidak banyak seperti yang saya katakan tadi. Buat masa ini saya banyak terlibat dengan program seperti forum motivasi. Dua minggu lagi saya akan ke London untuk memenuhi jemputan majlis forum daripada University of Leeds. Dari segi lakonan, saya memang tidak menerima sebarang tawaran setakat ini.

Previous Post Next Post