Emosi emas Misha Omar


ALBUM - Bercakap mengenai arah tuju album baharunya, Misha berkata, dia tidak mahu memandang terlalu jauh sehingga meninggalkan akar pop Melayu yang pernah menaikkan namanya suatu ketika dahulu. Justeru, pelantun lagu Halaman Cinta itu bergerak mengikut situasi dengan menyuntik elemen yang lebih segar ke dalam karya-karyanya.

BAGAIKAN ada seribu satu gelora yang tidak henti-henti membadai dinding jiwa penyanyi ini sehari sebelum single terbaharunya, Terimaku Seadanya dilancarkan. Perasaan cuak berbaur teruja tergaul sama rata, menghasilkan pacuan adrenalin yang langsung tidak mampu tergambar dek perasaan.

Begitu hebat kocakan rasa yang dialami oleh Misha Omar selepas hampir tiga tahun sepi tanpa sebarang material. Jujur membuka kata, penyanyi kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu hampir tidak tidur lena kerana terlalu memikirkan respons peminat terhadap lagu berentak balada tersebut.

“Perasaan saya agak bercampur-baur sehari sebelum Terimaku Seadanya dilancarkan secara rasmi di iTunes. Maklumlah, sudah agak lama saya tidak hadir dengan lagu baharu, gusar juga untuk mendengar maklum balas peminat.

“Namun, selepas boleh dimuat turun bermula 14 Januari lalu, lagu tersebut mula mendaki carta lagu-lagu terlaris di iTunes. Nampaknya, perjalanan lagu Terimaku Seadanya bermula dengan baik,” ungkap Misha atau nama lengkapnya Samiha @ Aisah Omar ketika ditemui pada minggu separuh akhir Juara Parodi di Royal Theatre, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Istimewanya, lagu yang dicipta oleh komposer Ajai itu turut menampilkan vokal penyanyi kelahiran Sarawak, Hafiz Suip. Bercakap mengenai kolaborasi tersebut, Misha berkata, paduan suaranya bersama juara Akademi Fantasia musim ketujuh itu begitu serasi dan punya keseimbangan yang tersendiri.

“Saya suka bekerjasama dengan Hafiz. Walaupun masih muda, dia bijak mengawal situasi terutamanya dalam menyelami penghayatan lagu tersebut.

“Perangainya agak gila-gila, tetapi, apabila tiba soal kerja, dia bertukar menjadi seorang yang serius. Saya sangat mengagumi kebolehannya,” ujar Misha yang turut meminati bakat-bakat baharu lain seperti Hazama, Akim dan Azhael.

Melanjutkan bicara mengenai konsep yang cuba diketengahkan dalam lagu Terimaku Seadanya, Misha berkata, genre balada masih menjadi keutamaan, tetapi susunan muzik dan melodinya kedengaran lebih segar.

“Lagu ini dirakamkan sekitar Mac tahun lalu. Namun, projek duet bersama Hafiz ini telah bermula sejak akhir tahun 2014. Prosesnya agak lama kerana kami mahukan sebuah karya yang benar-benar bagus dan mampu meninggalkan kesan mendalam terhadap pendengar.

“Lagu ini saya kelaskan sebagai saling melengkapi. Dengan susunan muzik dan komposisi yang segar, ditambah nukilan lirik yang sangat mendalam, ia menjadi sebuah karya yang sangat dekat dengan diri saya sendiri. Sejujurnya, saya berharap agar ia dapat diterima dengan baik oleh peminat,” katanya.


Bermakna

Patah kata yang meluncur keluar daripada bibir wanita berusia 34 tahun itu seperti membungakan tafsiran bahawa dia mahukan sebuah material terbaik untuk dijadikan senjata kemunculan semula selepas menyepikan diri dalam senggang masa yang agak lama.

Namun, sangkal Misha, dia tidak pernah menghilangkan diri daripada radar dunia hiburan, apatah lagi berehat daripada dunia nyanyian.

Tambahnya, jika peminat mahu melabelkan kelahiran single terbaharunya itu sebagai kemunculan semula Misha Omar, dia menerima dengan hati yang terbuka.

“Jika tidak mempunyai sebarang material baharu untuk dipromosikan, saya lebih selesa untuk berdiam diri. Namun, kerjaya nyanyian masih berjalan seperti biasa.

“Saya tidak anggap penerbitan single Terimaku Seadanya sebagai comeback atau kemunculan semula. Tetapi, jika benar-benar mahu membuat kemunculan semula, biarlah ia hadir dengan buah tangan yang berkualiti dan dapat diterima khalayak umum,” jelasnya.

Penerima anugerah emas Pertandingan Penyanyi Baharu Asia di Festival Music Asia Shanghai pada tahun 2003 itu bagaimanapun berkata, rasa rindu perlu ada antara peminat dan penyanyi agar hubungan yang tercipta akan terus berkekalan.

“Seperti sebuah hubungan perkahwinan, rasa rindu itu perlu. Justeru apabila rindu peminat semakin menebal, ubatnya adalah sebuah karya yang bermutu tinggi,” jelasnya yang turut mengagumi perjalanan seni penyanyi bersuara lantang, Dayang Nurfaizah.

Tidak dinafikan, salah satu cara Misha untuk melepaskan rindu bersama peminatnya adalah dengan menyanyikan lagu-lagu saduran menerusi akaun Instagram dengan meletakkan hashtag #showlimabelassaat.

Akui Misha, dia terjebak dengan keghairahan tersebut apabila mula berasa bosan untuk memuat naik gambar hariannya untuk dikongsi bersama peminat. Bermula secara suka-suka, hashtag yang dicipta sendiri oleh Misha itu akhirnya viral dan mula menjadi ikutan para peminatnya.

“Pada asalnya mereka meminta saya untuk menyanyikan lagu-lagu popular. Namun, lama-kelamaan, mereka sendiri menyanyi dan menggunakan hashtag tersebut di ruangan kapsyen. Harus diakui, media sosial sedikit sebanyak mampu merapatkan hubungan saya dengan peminat,” katanya lagi.

Juara Parodi

Penglibatan Misha sebagai peserta kumpulan Kobis Pedas dalam program realiti Juara Parodi sejak bulan November tahun lalu boleh diibaratkan seperti perjalanan penuh dengan emosi.

Ironi, program yang sepatutnya membikin penonton terhibur dengan parodi para pesertanya itu bertukar duka tatkala rakan sekumpulan Misha, Yus Jambu, atau nama sebenarnya, Yussry Edoo meninggal dunia akibat sesak pada minggu kelima pertandingan.

Pernah menyuarakan hasrat untuk meninggalkan pertandingan tersebut kerana terlalu berat untuk beraksi tanpa ketiadaan Yus, Misha dan seorang lagi ahli kumpulan Kobis Pedas, Tauke menepis mainan emosi, sebaliknya mengambil keputusan untuk meneruskan perjuangan rakannya yang telah kembali menyahut panggilan Ilahi.

“Pak Yus (panggilan mesra Yus) merupakan individu yang bertanggungjawab membawa saya mengenali dunia realiti komedi. Dia yang bersungguh-sungguh mempertemukan kami bertiga. Mana mungkin untuk saya melupakan perjuangannya itu?

“Setiap kali sebelum persembahan, saya akan sedekahkan Al-Fatihah buat arwah dan berjanji untuk melakukan persembahan yang terbaik,” katanya.

Walaupun masih bergelut dengan emosi, Misha dan Tauke kukuh mempertahankan kedudukan Kobis Pedas dalam Juara Parodi sehingga berjaya meloloskan diri ke peringkat final yang berlangsung pada 22 Januari ini.

“Saya sendiri tidak menyangka berjaya sampai ke tahap ini. Melihat kepada skor yang diterima oleh kumpulan lain, saya agak panik dan gusar tidak lepas ke final.

“Alhamdulillah, pihak juri dan penonton percaya dengan kami dan membawa kami untuk terus mara ke pentas akhir,” katanya.

Mengulas mengenai penglibatannya sebagai seorang penyanyi dalam program komedi realiti, Misha berkata, dia kini lebih positif dalam berkomunikasi dan bakal menyelitkan elemen humor dalam persembahannya yang akan datang.

“Banyak yang saya pelajari daripada Juara Parodi. Selain mengasah komunikasi sebagai seorang penyanyi, saya juga berlatih untuk menjadi penghibur yang menyenangkan,” katanya menutup bicara.

Turut bersama Kobis Pedas ke pentas final adalah kumpulan Abang Face yang terdiri daripada Sam Bunkface, Joey dan Shuk, Selamba Blur (Mark Adam dan Shuib), Juri (Datuk Hattan dan Ajak) serta Righthanded (Waris, Abam dan Fad Bocey).

Minggu akhir Juara Parodi bakal disiarkan 22 Januari ini pada pukul 10 malam menerusi saluran Astro Warna (132) dan Astro Mustika HD (134).

Previous Post Next Post