Fynn Jamal nafi ikut fahaman Syiah


FYNN (kiri) dan Mia Sara (dua kiri) kini bertindak sebagai jurucakap produk makanan tambahan Caliphs Cereals.

Nama Fynn Jamal pastinya mengingatkan khalayak tentang isu-isu yang sering dikaitkan dengan cara nyanyian dan muzik peliknya. Popular menerusi lagu Arjuna Beta dan Terbang Tunduk, penyanyi berkenaan bagaimanapun mempunyai pengaruh besar dalam kalangan pengguna media sosial.

Di sebalik keletah anaknya Arjuna, 4, yang sering menghiburkan hati ramai orang, dia tidak terkecuali daripada menerima kecaman daripada pengikut Instagramnya, terutama isu pakaian warna hitam yang menjadi warna rasmi Fynn dan suami. Mula-mula dikritik dengan pertanyaan seolah-olah tiada pakaian warna lain, lebih teruk lagi ada segelintir pengguna Instagram menuduh Fynn sebagai pengikut ajaran Syiah hanya kerana jubah dan tudung hitam yang menjadi ‘uniform’ wajib.

Mendapatkan penjelasan Fynn berhubung isu tersebut, dia mengambil pendekatan untuk tidak mempedulikan komen negatif yang diterimanya.

Fynn atau nama lengkapnya Nur Affina Yanti Jamalludin, 34, ditemui usai pelancaran produk terbaharu Caliph Careals for Eyes keluaran syarikat Raffelina Sdn. Bhd di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bertindak sebagai duta kecil produk tersebut bersama pelakon cilik Mia Sarah, Fynn sekeras-kerasnya menafikan dakwaan tidak berasas tersebut. Baginya, isu berkenaan hanya merepek.


Artis Meletop!: Boleh Fynn ceritakan bagaimana anda mengenali pengeluar produk Caliph Careal sehingga anda bersetuju untuk dilantik sebagai duta kecil bersama Mia Sara?

FYNN JAMAL: Sebelum ini pihak Raffelina Sdn. Bhd ada beberapa kali menawarkan saya untuk menggunakan dan merasa sendiri produk Caliph Careal. Saya pun mencuba untuk diri sendiri dan anak yang menghidap penyakit Autisme. Alhamdulillah selepas beberapa minggu menggunakan dan diperkenalkan produk pertama Caliph iaitu jus makanan tambahan kanak-kanak, banyak perubahan yang saya lihat pada diri Arjuna.

Boleh anda jelaskan tentang isu yang mendakwa anda pengikut fahaman Syiah?

Sebenarnya saya sangat terkejut dengan tuduhan tersebut. Jujur saya katakan, sebagai seorang yang berfahaman ahli sunnah wal jamaah, saya tahu hukum dan batas-batas apa yang saya lakukan. Bagi saya, dakwaan berkenaan sangat melampau. Hanya kerana saya selalu menggayakan jubah hitam di mana sahaja, saya terus dicap dan dituduh sebagai pengikut Syiah, padahal tuduhan tersebut tidak benar sama sekali.

Boleh jelaskan mengapa anda selalu memakai dan menggayakan pakaian berjubah hitam pada setiap masa malah untuk acara hiburan?

Saya merupakan seorang yang sangat sederhana dan ringkas. Jujurnya, saya hanya mempunyai lima pasang jubah hitam dan saya suka menggayakannya. Paling penting, ia mudah untuk digayakan. Begitu juga dengan suami saya, kami berdua faham antara satu sama lain dan mempunyai perangai yang sama dalam hal-hal berkaitan pakaian.

Baru-baru ini juga kecoh mengatakan anda menjual sambal jenama Ibu Sambal, sama dengan produk sambal milik individu lain. Pada masa sama, anda juga didakwa menciplak resipi sampel produk orang lain dan menjual sebagai jenama sendiri.

Jujur saya katakan yang saya tidak pernah menerima sebarang sampel sambal daripada mana-mana pihak ataupun individu tertentu baik secara berhadapan mahupun kiriman pos. Pada saya, jika saya inginkan sesuatu barang atau makanan, saya akan terus membeli tanpa meminta sampel daripada mana-mana pihak. Dakwaan itu juga tidak benar.

Bagaimanakah isu berkenaan boleh timbul?

Isu tersebut bermula apabila seorang individu yang mengusahakan produk sambal segera sejak 2014 mendakwa telah memberikan sampel sambalnya kepada saya dan meminta maklum balasnya mengenai produk tersebut.

Selang beberapa hari kemudian, saya dijemput wakil penganjur program Vendor Festival untuk turut menyertai pesta jualan produk makanan masing-masing. Pada hari tersebut, saya hanya suka-suka menjual lempeng dan 100 balang kecil sambal buatan sendiri. Tidak sangka pula, selepas beberapa program tersebut berlangsung, kecoh di laman sosial menuduh saya mencuri resipi sambal orang lain.

Menerusi satu status yang dimuat naik di laman sosial, anda dikatakan ada menerima sampel Ibu Sambal daripada seorang individu, tetapi tidak memberikan sebarang ulasan mengenai sambal tersebut di Instagram.

Saya tidak pernah menerima panggilan mahupun mesej daripada mana-mana individu mengenai sampel sambal tersebut. Saya memang ada mengeluarkan produk sambal tersendiri tetapi bukan dengan jenama Ibu Sambal dan resipi sama seperti yang didakwa. Saya buat pun hanya untuk memenuhi permintaan pihak penganjur tersebut dan bukan untuk dijual secara besar-besaran.

Adakah Fynn mengambil langkah seperti membuat laporan polis atas kejadian tersebut?

Saya dan suami tidak mahu memperbesarkan isu remeh tersebut. Buat masa ini, belum ada laporan polis dibuat.

Apakah perkembangan kerjaya terkini Fynn?

Perkembangan terkini saya sedang dalam proses menyiapkan dam merakam sebuah single terbaharu berjudul Kalau. Kali ini, ia istimewa kerana buat kali pertama saya berganding dengan kumpulan Kopratasa.

Previous Post Next Post