Ibu Gadis Tipu Penculikan Saya Minta Maaf



Ibu kepada gadis berusia 14 tahun yang memalsukan berita penculikan sendiri memohon maaf di laman Facebooknya.

"Saya minta maaf seandainya selama kehilangan anak saya ada perkara-perkara negatif yang berlaku.

"Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia dan berbanyak terima kasih kepada PDRM yang selama ini bertungkus-lumus menjalankan tugas mereka untuk menjejaki anak saya yang hilang," tulis Asmah Mamai, 33.

Nur Amirah Atirah Abdul Majid, yang dilaporkan diculik ditemui selamat dan didapati memalsukan berita penculikannya sendiri kerana mahu hidup bebas dengan seorang lelaki yang ditemuinya sebulan yang lalu.

Gadis dari Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang itu ditemui bersama teman lelaki berusia 19 tahun itu di dalam keretanya di hadapan sebuah stesen minyak di Kanchong Darat, Banting pada pukul 7.45 malam Khamis selepas dia dikatakan hilang sejak Ahad.


Sementara itu Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Mohd Yusoff Mamat berkata, gadis itu kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk pemerhatian.

"Dia diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas keluarganya bersetuju dengan prosedur itu," katanya ketika dihubungi.

Teman lelaki berusia 19 itu dan rakannya kini ditahan reman selama empat hari sejak Jumaat bagi membantu siasatan.

ACP Yusoff berkata tiada tangkapan lain dibuat.

Jelasnya polis juga sedang menyiasat sama ada gadis itu telah dirogol.

"Kami menjangkakan untuk melengkapkan kertas siasatan dan menyerahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Selasa," katanya.

Previous Post Next Post