Isteri Salih Yaacob tinggal 3 orang


SALIH ketika masih bersama empat orang isterinya. Dari kiri, Norfara Wahida Sulaiman, Nor Raha Hamat (kini bekas isteri), Norlizah Mamat dan Samihah Sheik Amy sebelum berlepas untuk bercuti ke China sekitar 2011.

BUKAN lagi empat, tetapi sudah tinggal tiga. Itulah yang berlaku dalam keluarga besar pelawak dan penyampai radio Salih Yaacob, 55. Beliau bukan lagi suami kepada empat orang isteri, sebaliknya pemimpin kepada tiga wanita yang masih setia bergelar suri di hatinya.

Salih selama ini sinonim dengan kisah lelaki beristeri empat mengakui, sudah pun berpisah dengan isteri keduanya, Nor Raha Hamad, 47, pada awal September tahun lalu.

Ironinya, untuk menjadi ketua keluarga kepada empat orang isteri bukanlah satu tugas yang mudah. Justeru, kecekalan Salih dalam mengemudi bahtera rumah tangganya harus dipuji biarpun dugaan melanda dalam hubungannya dengan bekas isteri kedua.

Menganggap semua yang berlaku sebagai ketentuan Ilahi, Salih yang dihubungi Kosmo! tenang menjawab setiap persoalan. Menurut bapa kepada 13 orang anak tersebut, beliau reda melepaskan bekas isterinya itu biarpun ikatan perkahwinan telah dibina selama 23 tahun. Bahkan beliau yakin, ada hikmah di sebalik perpisahan tersebut.


Artis Meletop!: Selama ini, semua maklum bahawa Salih hidup bahagia dengan empat orang isteri seolah-olah tiada masalah. Namun tiba-tiba keluar berita mengatakan anda sudah tidak lagi bersama dengan isteri kedua. Boleh kongsi bagaimana perkara itu boleh berlaku?

SALIH: Saya akui, memang berpisah dengan bekas isteri kedua sejak September tahun lalu. Tidak dinafikan perceraian itu berlaku disebabkan wujud orang ketiga dalam hubungan kami. Bekas isteri saya itu mula berkenalan dengan seorang lelaki selepas menghadiri majlis perjumpaan semula dengan rakan sekolahnya. Tidak terhenti setakat itu, mereka juga sering berhubung melalui laman sosial biarpun ketika itu saya masih suaminya. Selepas itu, dia mula memaksa untuk melepaskannya kerana mendakwa saya tidak berlaku adil terhadapnya.

Jadi, anda terus bersetuju dengan permintaannya ataupun cuba untuk menyelamatkan kembali rumah tangga kalian?

Pelbagai usaha telah dilakukan. Saya juga menasihati dan memintanya memikirkan tentang keadaan anak-anak. Tetapi dia nekad dengan pendiriannya untuk berpisah. Katanya, anak-anak juga sudah besar. Bagi saya, soalnya bukan hanya kerana anak sudah besar, tetapi ini melibatkan hati dan penerimaan mereka. Tiada apa yang boleh saya lakukan lagi selain menuruti kemahuannya.

Saya tidak tahu apa matlamatnya kerana setahu saya, selepas hidup dengan saya, dia kini hidup bermadu setelah berkahwin baru kerana suaminya telah pun mempunyai 13 orang anak.

Bagaimanapun, ini merupakan pilihannya, jadi saya berharap dia bahagia dengan kehidupan sekarang. Saya percaya semua yang berlaku ada hikmahnya. Pasti ada sebab mengapa Allah mengaturkan perkara ini, jadi sebagai hamba kita perlu percaya dan menerimanya dengan yakin. Tak perlulah kita menghukumnya di sebalik perkara ini.

Sepanjang bersama dengan Nor Raha, anda telah dikurniakan lima orang berumur antara 13 hingga 22 tahun. Bagaimana penerimaan anak-anak terhadap keputusan perpisahan tersebut?

Saya sudah menjelaskan kepada anak-anak, pada awalnya mereka tidak dapat menerima perceraian kami. Kata mereka, layanan daripada ayah baharu tetap tidak akan sama seperti layanan saya. Sekarang semua anak tinggal di rumah yang saya sediakan dan mereka semua masih di bawah tanggungjawab saya.

Selepas lima bulan bercerai, bagaimana hubungan anda dengan bekas isteri?

Saya tidak lagi menghubungi bekas isteri kerana dia sudah pun menjadi isteri orang. Soal anak-anak bukanlah suatu masalah kerana masing-masing sudah besar. Cuma tinggal dua orang sahaja yang masih bersekolah.

Bagaimana pula kehidupan anda bersama tiga isteri yang masih ada?

Kehidupan saya bersama tiga orang isteri dan anak-anak yang lain berlangsung seperti biasa. Jika mempunyai masa lapang, saya akan membawa mereka keluar bersiar-siar atau makan bersama. Kadangkala, mereka ada menemani saya menghadiri majlis hiburan atau membuat persembahan. Jika melibatkan perjalanan jarak jauh, kami akan menyewa bas. Melalui cara itu, kami dapat mengeratkan silaturahim dalam keluarga.

Beralih pula kepada perkembangan kerjaya anda. Mungkin boleh kongsikan sedikit perkembangan selepas tidak lagi bertugas dalam segmen Sinar Pagi menerusi radio Sinar FM?

Saya masih lagi menjadi penyampai radio di Sinar FM, cuma sekarang saya mengendalikan slot petang yang ke udara bermula pukul 3.00 petang hingga 7.00 petang bergandingan dengan Feeya Iskandar.

Saya juga sibuk menguruskan perniagaan hartanah dan sedang merancang untuk membuka perniagaan yang akan diterajui oleh anak saya. Buat masa ini, saya sedang melatih anak lelaki saya mengenai hal-hal hartanah.

Dua orang anak perempuan pula kini sedang sibuk mengusahakan perniagaan dan sudah mempunyai butik menjual tudung.

Akan datang saya ingin membuka sebuah restoran dan menyerahkan urusan perniagaan kepada anak-anak. Alhamdulillah semuanya rezeki Allah buat kami, saya perlu mencari banyak peluang perniagaan dan tidak perlu mengharapkan kepada punca pendapatan daripada radio sahaja.

Previous Post Next Post