Keterujaan lima negara, 5 Divo


BERKONGSI teruja, Afgan dan Hazama (kanan) mengakui konsert 5 Divo memberi cabaran besar buat mereka kerana perlu bersaing kemantapan vokal sesama sendiri.

BERBAKI kurang sebulan sebelum konsert 5 Divo yang menggabungkan penyanyi serantau dari tiga buah negara akan menemui peminat di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 13 Februari nanti.

Konsert orkestra dipimpin Datuk Ramli MS itu menampilkan gandingan mantap lima penyanyi iaitu Hafiz Suip dan Hazama dari Malaysia, Afgan dan Judika (Indonesia) serta Taufik Batisah (Singapura) yang akan bersatu di atas sebuah pentas yang sama.

Bagi penyanyi Hazama dan Afgan, mereka berkongsi perasaan teruja ketika ditemui pada sidang akhbar konsert tersebut di Restoran Qureshi, Kuala Lumpur Golf Club and Country (KLGCC), Bukit Kiara, baru-baru ini.


Kata Hazama, pembabitannya dalam konsert tersebut merupakan permulaan yang baik untuk tahun 2016 memandangkan bukan mudah untuk mendapat peluang beraksi atas satu pentas bersama dengan penyanyi dari negara lain.

“Gelaran ‘divo’ itu sendiri cukup berat sebab menggandingkan dengan penyanyi-penyanyi hebat dari negara serumpun dan ia membuatkan saya berasa seperti sedang memikul beban yang besar.

“Lagipun, jika dibandingkan dengan empat penyanyi lain, pencapaian profil karier saya yang paling rendah. Sebab saya tidak pernah lagi menerima sebarang anugerah dalam mana-mana majlis pengiktirafan di luar negara,” ujar Hazama.

Akuinya lagi, penglibatan dalam Juara Lagu ke-30 (AJL30) pada 24 Januari lalu yang membuatkan fokusnya terbahagi dua, namun berjanji untuk memberikan yang terbaik buat peminat yang hadir.

“Peluang dan rezeki tidak selalu datang. Tetapi, sekali datang, ia hadir dengan pakej berbentuk cabaran. Apa pun, saya hanya boleh menjanjikan yang terbaik untuk konsert itu nanti,” ujarnya yang akan berduet dengan penyanyi Judika menjelang konsert berkenaan.

Ditanya tentang persiapannya untuk lagu duet bersama Judika, penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim sembilan (AF9) itu mengakui agak gementar sementelah dia begitu mengagumi kemantapan vokal yang dimiliki pelantun lagu Bukan Rayuan Gombal tersebut.

“Emosi dan mental saya agak teruji sebab tahun ini banyak persembahan berskala besar. Tetapi, saya mengambil ia daripada sudut positif sebab penglibatan ini secara tidak langsung membolehkan saya menumpang sedikit pengalaman bersama empat orang penyanyi yang terlibat,” tuturnya yang akan menyanyikan beberapa lagu popular seperti Malaikat, Sampai Mati dan Relakan Jiwa.

Beralih kepada Afgan, penyanyi yang popular menerusi lagu Pesan Cinta itu sangat berbangga kerana dipilih sebagai salah seorang penghibur yang terlibat dalam konsert anjuran syarikat Laugh Out Loud (LOL) Entertainment Sdn. Bhd. tersebut.

“Ini merupakan kali pertama saya menyertai konsert orkestra dan saya pasti hasilnya nanti akan jadi lebih menarik dan unik daripada segi persembahan, tidak hanya dengan gandingan kami sebagai penyanyi.

“Saya senang sekali dapat bekerjasama dengan penyanyi dari negara luar walaupun agak mencabar kerana saya perlu membawa lagu orang lain pada malam konsert,” ujarnya yang akan berduet bersama Hafiz Suip.

Tiket konsert 5 Divo dijual pada harga RM128, RM188, RM388, RM588, RM888, RM988 dan RM1188. Ia boleh didapati di laman www.ticketpro.com.my sejak 28 Disember lalu.

Previous Post Next Post