Kolaborasi antarabangsa Reshmonu


RESH mendendangkan single terkininya, Half The Man selepas pelancaran album terbaharunya, Who I Am baru-baru ini.

BIARPUN hampir tiga bulan single milik penyanyi Resh, Half The Man berkumandang di corong-corong radio tempatan, namun, masih ramai pendengar yang tidak mengenali siapakah pemilik vokal di sebalik lagu ciptaan penerbit tersohor, Jim Beanz itu.

Pernah dikenali sebagai Reshmonu, pemilik nama lengkap Hiresh Haridas itu berkata, kebanyakan pendengar masih melekat dengan irama muzik fusion dan imej rambut dreadlock yang pernah dipopularkannya suatu ketika dahulu.

“Sejak Half The Men dilancarkan, ramai yang beranggapan lagu tersebut dinyanyikan penyanyi antarabangsa.

“Peminat seperti tidak percaya saya kini membawa lagu berentak R&B dengan irama yang lebih segar dan moden,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album EP Who Am I di Live House, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun, Resh, 39, mengakui, sejak melalui transisi imej sekitar penghujung tahun lalu, dia menerima banyak maklum balas positif terutama daripada golongan remaja.

“Tidak dinafikan, demografi kelompok peminat saya juga dilihat turut berubah. Kini, lagu-lagu baharu saya diminati oleh golongan muda yang berusia 25 tahun ke bawah.

“Ini membuktikan saya masih relevan dan karya baharu yang cuba diketengahkan berjaya memikat jiwa pendengar,” katanya sambil menyifatkan langkah percubaan menyanyikan lagu-lagu R&B sebagai berjaya.



Reshmonu yang kini menjenamakan semula identitinya sebagai Resh, turut tampil dengan imej baharu.

Jim Beanz

Sepanjang 11 tahun bergelar penyanyi, Resh telah menghasilkan empat buah album studio. Monumental (2003), Monumental: The Journey (2005), Superfine (2007) dan Harapan (2009) merupakan antara jilid muzik milik Resh yang mengangkat sisi kreatif anak seni kelahiran Melaka itu. Lebih istimewa, kesemua lagu yang terkandung dalam albumnya dicipta dan diterbitkan sendiri.

Namun, menerusi Who I Am, Resh memberi sepenuh kepercayaan kepada Beanz yang sebelum ini telah banyak mencipta lagu hit untuk penyanyi antarabangsa popular seperti Britney Spears, Adam Lambert, Whitney Houston dan Timbaland.

“Bekerja dengan Beanz merupakan suatu peluang emas yang tidak mungkin akan saya tolak.

“Dia bijak dalam mewarnai dinamik vokal saya dan seterusnya memberi sebuah nuansa baharu ke dalam karyanya. Tambahan pula, kami sekepala dan saling memahami kelebihan dan kekurangan masing-masing,” jelasnya.

Ditanya, adakah dia akan meninggalkan jalur muzik fusion yang pernah menaikkan namanya suatu masa dahulu, ujar Resh: “Buat masa ini, fokus utama adalah mengukuhkan nama di negara-negara Asia. Pada masa sama, saya juga memasang impian untuk melebarkan sayap di Amerika Syarikat.

“Mungkin jika nama sudah mula dikenali, saya akan membawa semula muzik fusion yang pernah dipopularkan dahulu untuk ke persada antarabangsa.”


Previous Post Next Post