Kualiti, ekspektasi AJL30


MENGINJAK tiga dekad penganjuran, Anugerah Juara Lagu 30 (AJL30) bakal menjadi saksi 12 buah lagu terbaik tanah air berentap untuk dinobatkan sebagai karya yang menjadi penanda aras gemilang kepada kelangsungan seni muzik tempatan.

Sebanyak 12 karya yang akan bertanding merangkumi lagu Sampai Mati (Hazama), Potret (Akim & The Majistret), Assalamualaikum (Faizal Tahir), Biarkanlah (Drama Band), Hanya Namamu (Caliph Buskers) Knock Knock (Elizabeth Tan), Malam Ini Kita Punya (Bunkface), Angin Kencang (Noh Salleh), Bukan Hal Aku (Kaka Azraff dan Aliff), Mana Mungkin (Black), Not For Sale (Stacy) dan Tak Pernah Menyerah (Dayang Nurfaizah).

Saban tahun penganjuran acara berprestij itu, pasti ia mengundang persepsi berbaur positif dan negatif dalam kalangan khalayak yang mengimpikan aras kecemerlangan AJL terus meningkat bagi memartabatkan gubahan lagu dan nukilan puitis lirik serta kemantapan persembahan penyanyi yang terlibat.


Mutu lagu, lirik

Bagi komposer terkenal, Mohd. Faizal Maas atau lebih dikenali sebagai Ajai, banyak perkara telah berubah terutama dalam cabang muzik. Perubahan tersebut menjemput persepsi positif dan negatif daripada pendengar.

“Saya tiada masalah dengan muzik baharu yang menjadi kegilaan pendengar hari ini. Bagi saya, muzik juga mengalami transformasi seperti zaman yang berubah.

“Pentas AJL30 adalah kayu pengukur paling signifikan dalam arena muzik tanah air. Untuk itu, lagu-lagu yang bertanding pada peringkat akhir seharusnya mencerminkan kualiti yang tinggi supaya tidak dipandang enteng oleh masyarakat dan juga pemerhati seni luar negara,” ulas Ajai.


Selepas memenangi kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Teman Pengganti berkolaborasi dengan RJ pada AJL27, tahun ini Black beraksi solo mempertandingkan lagu Mana Mungkin.

Tambah Ajai lagi, 12 lagu yang bertanding dalam AJL30 membuktikan bahawa banyak melodi lagu dan nukilan lirik yang bermutu. Kata komposer yang bertanding menerusi lagu Mana Mungkin dendangan Black, dia berbangga kerana tahun demi tahun banyak pembaharuan yang diketengahkan oleh penyanyi dan komposer muda tahan air.

“Saya melihat perkembangan AJL30 sebagai sesuatu yang positif terutama apabila mendapat tahu tahun ini banyak karya muzik yang bertanding adalah ciptaan komposer muda dan baharu. Ini satu perkembangan yang sihat buat industri muzik tempatan,” katanya.

Ajai memberitahu, dia melihat estetika seni sesuatu karya lagu bersandarkan gabungan melodi dan lirik yang bermutu untuk dinobatkan sebagai juara pada acara berprestij tersebut.

“Saya akui, hari ini pendengar banyak dihidangkan dengan melodi yang ringan, lirik yang berterus-terang tidak seperti dahulu yang banyak karya berada pada satu tahap menjadi inspirasi tersendiri dalam kehidupan masyarakat.

“Justeru, untuk AJL30 saya mengharapkan penjurian yang sebetulnya daripada mereka yang terlibat (juri profesional) untuk kemajuan gubahan lagu dan penulisan lirik tanah air. Beri penghargaan kepada lagu yang benar-benar layak untuk dinobatkan sebagai Juara Lagu,” getus Ajai.

Sementara itu, Ajai yang pernah dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan AJL20 menerusi lagu Keliru turut menaruh harapan terhadap Mana Mungkin agar lagu itu mendapat peluang yang baik untuk menyinar pada malam gemilang AJL30, Ahad ini.

‘Ia (kemenangan) juga bergantung kepada kualiti persembahan. Saya harap Black dapat melakukan persembahan sehabis baik,” katanya.

Peluang Elizabeth Tan

Pertama kali layak ke final AJL30 sebagai peserta, penyanyi berbangsa Cina, Elizabeth Tan, 23, tidak mengharapkan kemenangan.

Sebaliknya, dia meletakkan mutu persembahan sebagai prioriti bagi memastikan lagu milik Faizal Tahir dan Mike Chan dendangannya, Knock Knock mendapat perhatian.

Dia juga menyifatkan persembahannya kelak sebagai satu tanggungjawab dan penghormatan besar buatnya kerana dapat menyanyikan lagu ciptaan Faizal pada pentas AJL30.

“Ia umpama satu mimpi yang menjadi kenyataan. Saya berasa sangat gugup untuk beraksi pada pentas final yang juga merupakan penyertaan pertama kali saya pada anugerah berprestij ini. Bagaimanapun, AJL30 bakal menjadi kayu pengukur buat semua penyanyi yang terlibat terutama bagi penyanyi baharu yang baru ingin bermula dalam industri.


Pertama kali beraksi di atas pentas AJL, Drama Band menjanjikan yang terbaik agar Biarlah meninggalkan impak di mata peminat.

“Perlu diingatkan juga bahawa AJL adalah pertandingan berprestij untuk memberi pengiktirafan kepada ciptaan lagu komposer terbaik tanah air. Sebagai individu yang ditugaskan untuk melakukan persembahan, saya akan cuba yang terbaik untuk tidak mengecewakan komposer dan peminat yang banyak menyokong saya dengan menunjukkan persembahan cemerlang malam itu nanti,” ujar Elizabeth yang mesra disapa sebagai Lizzy dalam kalangan media.

Ditanya pandangan dan perasaan menjadi satu-satu peserta bukan Melayu yang akan bertanding di gelanggang AJL30, dia optimis bahawa senario muzik tanah air tidak terhad kepada bangsa tertentu.

“Saya rasa bangsa bukanlah satu isu, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan tentang muzik. Muzik sangat universal. Penerimaan pendengar kepada sesuatu gubahan muzik tidak bergantung kepada bangsa atau kaum. Kalau sesebuah lagu itu bagus, ia akan mendapat pengiktirafan sewajarnya.

“Misalnya, AJL edisi pertama (1986) telah dimenangi oleh Francissca Peter menerusi lagu Sekadar Di Pinggiran yang membuktikan sejak awal penerbitan lagi AJL telah meletakkan penanda aras tinggi untuk edisi-edisi mendatang sehingga ke hari ini,” ulasnya.

Bercerita mengenai persiapan menjelang final tersebut, Lizzy mendedahkan persembahan lagu Knock Knock akan disuntik dengan elemen broadway serta kaya dengan kostum menawan bagi menghidupkan ‘nyawa’ lagu tersebut.

Sementara itu, diusik persoalan siapa yang menjadi pilihan peribadi dirinya sendiri untuk merangkul kemenangan AJL30, wanita kelahiran Kuala Lumpur itu meramalkan lagu Assalamualaikum ciptaan dan nyanyian mentornya, Faizal Tahir akan mencuri perhatian ramai pada malam itu nanti.

“Lagu Assalamualaikum mempunyai rentak dan lirik yang mendalam. Tidak mustahil lagu tersebut akan menang. Selain itu, saya meramalkan Dayang Nurfaizah akan turut memukau dengan kekuatan vokalnya yang tidak perlu dipertikai lagi,” katanya.


Mempersembahkan karya bertajuk Knock, Knock, penyanyi yang mesra dibahasakan Lizzy itu pertama kali berjaya bolos ke AJL30.

Pentas sebenar Caliph Buskers

Pada edisi yang lalu (AJL29), kumpulan kugiran yang dianggotai oleh enam individu kelainan upaya, Caliph Buskers membuatkan jutaan peminat yang menonton acara tersebut terpesona dengan persembahan hebat mereka mendendangkan lagu Romantika Cinta sebagai pengganti kepada penyanyi asal lagu tersebut iaitu Aweera.

Impak positif daripada fenomena drastik yang tercipta pada malam tersebut, mereka dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Persembahan Terbaik sekali gus menjadi titik tolak kepada kelangsungan perjuangan muzik mereka dalam arus perdana.

Kembali buat kali kedua di gelanggang AJL, Caliph Buskers akan mempertaruhkan lagu sendiri berjudul Hanya Kamu ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim.

Mengakui agak gementar memandangkan kali ini ‘skrip’ berbeza daripada tahun sebelumnya, vokalisnya, Azmi memberitahu, dia dan rakan-rakannya akan mencuba sebaik mungkin untuk memberi saingan sengit kepada peserta lain yang bertanding.

“Kami sedar kami bukan seperti (peserta) yang lain. Fizikal kami tidak seperti mereka. Apa yang saya harapkan adalah pada malam AJL30 nanti kami dapat menghasilkan persembahan jujur dari hati ke hati.

“Tahun ini emosinya lain macam sedikit kerana kami mewakili diri sendiri. Perasaan resah dan gementar sangat berbeza daripada yang sebelumnya. Semoga malam AJL30 nanti semuanya berada dapat keadaan yang seperti dirancang tidak seperti waktu separuh akhir lalu apabila suara saya ‘terkucil’,” ujar Azmi berseloroh.

Tambah Azmi mewakili rakan-rakannya yang lain, dia bersyukur kerana Edry mempercayai bakat dan kredibiliti Caliph Buskers sebagai kumpulan muzik.

“Edry buka ‘jalan’ buat kami untuk mencuba nasib dalam arus perdana. Alhamdulillah, menjadi satu beban juga buat kami untuk tidak menghampakan dia, namun kami akan mencuba yang terbaik,” katanya bersungguh-sungguh.

Ditebak soalan adakah mereka menyimpan harapan yang menggunung untuk menggondol sebarang kemenangan dalam AJL30, Azmi berharap dia dan rakan-rakannya dapat mengulangi kejayaan sama seperti edisi lalu iaitu memenangi kategori Persembahan Terbaik.

“Kali ini, persaingan semakin sengit. Kalau menang, ia satu bonus juga buat kami. Bagaimanapun, Caliph Buskers tidak mengharapkan sesuatu yang terlalu ‘besar’ tetapi akan melakukan persembahan yang jujur dari hati,” ujarnya optimis.

Menurut Azmi, prediksinya tentang antara lagu yang bakal menyerlah pada malam AJL30 adalah Assalamualaikum (Faizal Tahir) dan Sampai Mati (Hazama). Pada hemat Azmi, dua lagu tersebut mempunyai kekuatan tersendiri dari segi melodi dan lirik yang mendalam.

Biar setiap peserta dan peminat mempunyai ‘penilaian’ dan kemahuan sendiri untuk melihat lagu kegemaran mereka muncul juara, namun semua pihak harus akur kepada keputusan juri yang lebih bijaksana terhadap bidang tugas yang diamanahkan kepada mereka.

Harapan Kosmo!, biar karya yang dipilih menjadi juara kelak, benar-benar mencerminkan kualiti dan masa hadapan muzik Malaysia.

Previous Post Next Post