Ledakan konsert Mega Gegar Vaganza


KONSERT Mega Gegar Vaganza mencapai matlamat apabila penyanyi dan penonton puas dengan persembahan yang berlangsung selama tiga hari itu.

BERTEMPAT di Panggung Sari, Istana Budaya, konsert Mega Gegar Vaganza menutup tirai persembahan hujung minggu lalu dengan cemerlang di pentas berprestij tersebut selepas menghiburkan peminat selama tiga malam bermula 15 Januari.

Konsert yang dianjurkan selepas menerima sambutan luar biasa daripada program hiburan popular terbitan Astro, Gegar Vaganza (GV) itu menyaksikan bintang-bintang yang pernah menyertai program tersebut kembali memancing hati peminat dengan persembahan bertenaga masing-masing.

Kembali menghimpunkan peserta GV musim pertama dan kedua, konsert yang buat julung-julung kali diadakan di Istana Budaya selepas dua musim bersiaran di kaca televisyen itu membuktikan fenomena GV sememangnya tidak terbatas dan akan terus berkembang sebagai program hiburan yang menjadi pilihan penonton pada musim akan datang.

Menggandingkan dua selebriti popular, Nabil Ahmad dan Jihan Muse sebagai pengacara, mereka mengendalikan konsert tersebut dengan baik. Tidak keterlaluan juga jika dikatakan mereka berdua adalah pasangan pengacara yang paling serasi dekad ini walaupun sesekali lawak mereka agak ‘kasar’, namun itulah yang menjadikan GV satu fenomena luar biasa.

Mereka juga sempat mendendangkan lagu berjudul Cintaku Sampai Ke Ethiopia yang membuatkan penonton yang hadir tidak kering gusi dengan telatah mereka.


Bercakap mengenai konsert selama tiga hari itu, antara yang paling mencuri tumpuan adalah gabungan dua bekas vokalis kumpulan yang sangat popular pada era 90-an iaitu Exists, Mamat dan Ezad Lazim sewaktu berduet mendendangkan lagu berjudul Langkah Seiringan.

Dibahagikan kepada lapan segmen, persembahan terus dihangatkan dengan kehebatan vokal Rahmat Mega yang mendendangkan lagu Bunga Angkasa sebelum diambil alih oleh Ezad yang melantunkan suara merdunya melalui lagu Penantian. Rahmat dan Ezad sempat berduet lagu Suatu Masa.

Selain itu, persembahan bertenaga juga diberikan oleh Acong yang menyanyikan lagu Hakikat Sebuah Cinta, Ayai Ilusi (Cinta Dan Airmata), Farahdhiya (Penasaran), Haleeda dan Haiza (Sedang Ingin Bercinta), Sam Innuendo (Belaian Jiwa), Farahdhiya dan Sam (I Want To Spend My Livetime Loving You dan Amir Ukay’s (Kekasihku Di Menara).

Tamat separuh masa konsert, penonton digeletek dengan telatah penaja utama konsert tersebut iaitu pemilik jenama Pamoga Qu Puteh, Datuk Dr. Hasmiza Othman atau popular dengan panggilan Datuk Vida yang naik ke pentas untuk berborak bersama Nabil dan Jihan.

Persembahan kemudian diteruskan oleh Nassier Wahab yang mencuri tumpuan penonton menerusi lagu Biar Bulan Bicara, Haiza (Hajat), Rahmat dan Haiza (Jangan Pisahkan).

Antara yang ditunggu pastinya persembahan Azian Mazwan Sapuan dengan lagu Bukan Belas Bukan Simpati sebelum penyanyi berusia 40 tahun itu berduet dengan juara GV musim kedua, Siti Nordiana mendendangkan lagu Hati Kama.

Kelibat Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana yang muncul pada slot terakhir konsert mendapat sorakan dan tepukan gemuruh penonton. Menutup persembahan, Nana menyanyikan dua lagu solo iaitu Kesilapanku Keegoanmu dan lagu tema popular filem Dilwale iaitu Janam Janam sebelum mengakhiri konsert berdurasi selama dua jam itu dengan persembahan duet bersama Ezad Lazim menerusi lagu Memori Berkasih.

Secara keseluruhannya, matlamat penganjuran konsert tersebut berjaya mencapai sasaran apabila penonton yang mengikuti program realiti tersebut di kaca televisyen masih mahu menonton persembahan para peserta GV apabila ia dipentaskan di Istana Budaya. Ternyata, demam GV memang belum kebah.

Previous Post Next Post