Lembaran baharu Rosyam Nor


MULAI hari ini, lembaran 2016 akan terbuka untuk mengisi episod suka dan duka sepanjang tahun bagi setiap insan. Apabila hadirnya tahun baharu, pastinya tidak lengkap tanpa azam baru.

Bagaimanapun, berbeza pula buat pelakon, pengacara dan penerbit, Datuk Rosyam Nor yang lebih selesa tidak meletakkan sebarang azam menjelang tahun baharu.

"Jujurnya, saya tidak pernah meletakkan sebarang azam. Saya seorang yang mudah dan ringkas, saya hanya buat apa saja yang ada di depan mata.

"Kadang-kadang, apabila kita berazam, kita sendiri tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang.

"Sebab itu, apa yang ada di depan mata, rezeki yang ada saya akan terus mempertahankannya. Jika ada rezeki baharu, itu satu bonus dan saya akan mengusahakannya,” katanya pada Zass.

Pun begitu, dalam meniti tahun baru 2016, selebriti berusia 48 tahun ini tetap menaruh harapan besar terhadap perniagaan yang diusahakannya.

Di sebalik kesibukan menguruskan syarikat produksinya, Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, selebriti berusia 48 tahun ini juga tidak menang tangan menguruskan perniagaannya dalam sektor pertanian yang diceburinya sejak enam tahun lalu.


Siapa sangka, teraju utama filem Balistik itu kini mempunyai hampir 60 hektar ladang nangka madu dan durian belanda di Lanchang, Pahang yang mendatangkan hasil lumayan kepadanya.

"Saya bercita-cita memberi motivasi kepada golongan muda. Menceburi bidang pertanian juga mampu meraih pendapatan lumayan.

"Saya berjaya dalam bidang lakonan, saya juga mahu menjadi ikon dalam pertanian satu hari nanti," katanya.

Ketika ditanya mengenai perkembangan syarikat produksinya pula, pelakon utama filem KL Menjerit ini turut mengharapkan sirna baru di tahun 2016.

"Insya-ALLAH, kita akan menerbitkan beberapa drama untuk pelbagai saluran TV dan filem komedi, Rempit Sampai Langit untuk tahun 2016.

"Pada masa sama, saya juga mencari penulis dan pengarah baharu untuk ‘keluar’ dengan cerita dan konsep drama yang baharu.

"Bahkan, saya masih menunggu tawaran daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi membekalkan projek terbaru kepada stesen kerajaan itu selepas dua tahun menyepi. Malah, saya sedang menunggu surat dari RTM untuk melaksanakan program Tribute P Ramlee musim ketiga," katanya.

Namun, sebagai seorang ahli perniagaan, pemilik nama sebenar Mohd Noor Shamsuddin ini mengakui turut terkesan dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.

"Seperti mana orang lain, saya juga akan terus memperjuang dan mempertahankan apa yang saya ada kini.

"Saya berharap tahun 2016 mampu meleraikan dan menyelesaikan semua kekusutan yang berlaku dalam tempoh dua tahun ini," katanya.

Kata bintang filem Castello ini, biarpun sibuk dengan perniagaan, bidang seni tetap diteruskan.

"Insya-ALLAH, saya akan ke set penggambaran filem, Tailong arahan Syamsul Yusof pada Mac depan.

"Saya juga masih dalam perancangan untuk menerbitkan karya baru, Appoinment With ALLAH yang lebih menjurus kepada kandungan cerita bergenre Islamik dan kerohanian. Sekarang masih dalam proses pembikinan skrip lebih teliti dan mantap.

"Dalam pada itu, saya juga akan terlibat untuk mengacarakan rancangan berbentuk perniagaan, Entrepreneur Muda di TV3, kelak," katanya.

Kempen Rumah Ngaji

Sementara itu, pelakon utama filem Chowrasta ini hadir sebagai jurucakap buat julung kalinya menerusi program Baca, Bincang Quran (BBQ) yang dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan Kumpulan Media Karangkraf, baru-baru ini.

Katanya, kewujudan Rumah Ngaji memudahkan orang Islam di negara ini untuk belajar mengaji dan mendekati al-Quran.

Menceritakan sedikit pengalamannya, Rosyam mengakui sebelum ini dirinya tidak dapat membaca al-Quran dengan baik.

Namun, disebabkan kesedaran membaca kitab ALLAH SWT adalah satu tuntutan agama, pelakon filem KL Gangster 2 ini berusaha untuk melancarkan bacaannya.

"Semua orang tahu kebaikan membaca al-Quran tetapi ada satu sifat yang sukar di buang dalam diri seseorang itu iaitu rasa malu untuk belajar disebabkan oleh faktor umur.

"Bagi saya, jangan ada rasa malu kerana saya telah membuat kaji selidik dan mendapati sembilan daripada 10 orang Islam tidak tahu mengaji," katanya.

Jelasnya lagi, sifat malu itu sebenarnya ditanam oleh syaitan kepada manusia agar tidak membaca kalam ALLAH SWT.

"Cuba bayangkan, saya Rosyam Nor, saya artis dan orang kenal, tetapi saya tidak tahu mengaji. Itu lebih malu jika dibandingkan dengan orang lain.

"Tapi Alhamdulillah saya telah belajar mengaji lebih dari tiga tahun dan saya dapat membaca al-Quran dengan baik.

"Jadi kepada mereka di luar sana, saya sarankan buang sifat malu itu dan datang ke Rumah Ngaji. Saya yakin dengan komitmen anda selama sebulan, anda akan lancar membaca al-Quran," katanya.

Previous Post Next Post