Marsha selamat bergelar isteri Mohamed Shaiful


Marsha selamat bergelar isteri Mohamed Shaiful

HANYA dengan sekali lafaz, penyanyi dan pelakon Marsha Milan Londoh akhirnya selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail kira-kira pukul 8.55 malam tadi.

Memetik laporan Mstar Online, pasangan itu dinikahkan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Timur Laut Pulau Pinang, Fauzi Ibrahim manakala Marsha diwakil dan walikan oleh hakim.

“Alhamdullilah, syukur ke hadrat Ilahi kerana semuanya sudah selamat dan saya berharap semua peminat mendoakan kesejahteraan saya dan perkahwinan ini.

"Terima kasih juga kepada keluarga saya dan keluarga mertua yang banyak membantu dan membimbing saya. Harapan saya, semoga penyatuan dua hati ini sentiasa dirahmati dan diberkati oleh-Nya," kata Marsha.


Marsha dan Mohamed Shaiful Nizam, 29, disatukan sebagai suami isteri dalam satu majlis tertutup yang diadakan di kediaman pengantin lelaki di Georgetown, Pulau Pinang.

Marsha yang kelihatan anggun dengan persalinan rekaan pereka fesyen terkenal, Rizalman Ibrahim menerima mas kahwin berjumlah RM1,001 daripada Mohamed Shaiful Nizam manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Pihak lelaki menyerahkan tujuh dulang hantaran manakala pihak perempuan membalas sembilan dulang hantaran.

Upacara pernikahan diadakan secara sederhana dan dihadiri oleh ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak dan juga rakan taulan pasangan pengantin.

Terdahulu, Marsha mendedahkan sudah memeluk Islam beberapa minggu lalu namun lokasi dan tarikh sebenar majlis pengislaman itu dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Marsha dan Mohamed Shaiful Nizam terdahulu mengikat tali pertunangan pada 14 Disember lalu di Sabah.

Majlis resepsi kedua-dua pasangan berkenaan akan diadakan pada 8 Januari 2016 di Hotel Majestic.

Mohamed Shaiful Nizam dan Marsha sudah mengenali sejak 10 tahun lalu namun bibit percintaan mula berputik di antara mereka sejak dua tahun lalu.

Previous Post Next Post