Mentor Milenia: Isey (Titan) Bimbang Dibanding Dengan Pengacara Lain


Isey bertanggungjawab jadikan Mentor Milenia sebagai fenomena.

Pengacara dan pelawak Isey Fazlisham mengakui tertekan memikul tanggungjawab berat sebagai pengacara program realiti popular Mentor Milenia bergandingan dengan pelakon Marsha Milan Londoh yang bakal bermula 3 Januari ini.

Isey atau nama sebenar Fazlisham Mat Hussin, 28, berkata, dia takut cara penyampaian yang dilakukan akan diperbandingkan dengan pengacara-pengacara pada musim sebelum ini atau rancangan realiti yang lain.

"Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk mengacarakan rancangan besar ini, bukan senang untuk dipilih ke tahap ini kerana saya perlu melalui beberapa proses pemilihan termasuk uji bakat bersama Marsha.

"Apa yang menjadi kebimbangan saya ialah diperbandingkan dengan pengacara-pengacara lama program ini iaitu Awal Ashaari, mahu pun pengacara program realiti daripada stesen televisyen lain seperti Nabil Ahmad," ujarnya kepada mStar Online.



Marsha turut mengendalikan rancangan Mentor Milenia.

Isey ditemui pada sidang media Mentor Milenia, di Pullman Kuala Lumpur, di sini, pada Selasa.

Isey merupakan peserta kelahiran program Bintang Mencari Bintang bersama kumpulan Titan dan mengacarakan program Bang Bang Boom dan Sarapan di TV3.

Tambahnya lagi, dia turut bertanggungjawab untuk meningkatkan rating program tersebut dan menjadikan ia sebagai sebuah fenomena.

"Rancangan ini ditaja oleh Datuk Seri Vida dan dia mahu rating program ini tinggi seperti program lain yang ditajanya.

"Lagi pula kesemua mentor dalam Mentor Milenia ini mempunyai peminat yang ramai, jadi sebagai pengacara saya juga bertanggungjawab menjadikan program ini sebagai satu fenomena," ujarnya.

Dalam pada itu, Isey mengakui cabaran utama adalah masalah bahasa iaitu sukar bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik kerana dialek Kelantan yang kuat.

"Ini perogram siaran langsung pertama saya, selalu saya buat program travelog dan rakaman sahaja. Masalah utama saya ialah dialek kelantan saya terlalu pekat.

"Insya-Allah, saya akan berusaha berikan yang terbaik sepanjang musim Mentor Milenia ini," ujarnya.

Mentor Milenia menampilkan empat penyanyi popular bertanggungjawab sebagai mentor iaitu Hazama, Black Hanafiah, Azlan dan Akim Ahmad.

Mentor Milenia akan bersiaran setiap Ahad di TV3 bermula 3 Januari 2016, pukul 9 malam.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »