Nubhan Perasaan yang tak dapat diungkap


SELAIN aktif menyanyi, Nubhan juga sedang sibuk menjalankan perniagaannya iaitu Juwita Divine.

SELEPAS empat bulan mendirikan rumah tangga, penyanyi berbakat, Nubhan mendapat perkhabaran gembira apabila isterinya, Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 26, sah hamil anak sulung mereka.

Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, 29, mengesahkan perkara itu apabila berkongsi berita gembira tersebut bersama peminatnya di laman Instagram rasminya iaitu @nubhan baru-baru ini.

Bekas graduan Akademi Fantasia musim keenam itu memberitahu, mereka terlalu gembira dengan berita tersebut sambil memanjatkan rasa syukur terhadap Yang Maha Esa.

Menurut Nubhan, ia merupakan anugerah terindah buat kehidupannya sebagai suami isteri sejak mendirikan rumah tangga.

“Alhamdulillah, ia merupakan anugerah paling bernilai. Kami akan menjadi ibu bapa tidak lama lagi.

“Satu perasaan yang tak dapat diungkap. Terlalu gembira dengan berita ini. Syukur ya Allah,” ujarnya menerusi laman tersebut.

Difahamkan, kandungan Afifah Hidayah masih di peringkat awal dan berada pada trimester pertama.

Ketika ini, pasangan itu terpaksa tinggal berjauhan kerana Afifah Hidayah sedang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan pergigian di Kaherah, Mesir sehingga Jun depan.

Mengulas lanjut, Nubhan turut menasihatkan isterinya supaya menjaga kesihatan dan kandungan dengan baik sepanjang berada di perantauan.

“Jumpa nanti ibu @fie_tawfek, jaga kandungan baik-baik. Sayang anda berdua,” ujarnya lagi.



BUAT masa ini, Nubhan terpaksa tinggal berjauhan gara-gara isterinya, Afifah Hidayah kini sedang melanjutkan pengajian di Mesir dalam bidang perubatan pergigian.

Pasangan itu selamat diijabkabulkan di rumah pengantin perempuan di Seremban 2, Negeri Sembilan pada 29 Ogos lepas selepas lebih enam tahun menyulam cinta.

Mereka terlebih dahulu berkenalan sekitar tahun 2008 sewaktu Nubhan terlibat dalam satu program persembahan di Pangkor, Perak sebelum mengikat tali pertunangan pada 7 Oktober tahun lepas.

Selain aktif menyanyi, Nubhan yang popular dengan lagu Kisah Kasih itu ketika ini juga sibuk mengendalikan perniagaan produk kesihatan dan kecantikan yang diasaskan olehnya sendiri iaitu Juwita Divine.

Previous Post Next Post