Peguam Negara Ia Antara PM Dan Kerabat Diraja Arab Saudi


Tan Sri Mohamed Apandi Ali

Peguam Negara tidak menyatakan mengapa kerabat diraja Arab Saudi memberi sumbangan RM2.08 bilion kepada Perdana Menteri, selepas memberi sebab-sebab untuk siasatan ditutup.

"Ia adalah antara keluarga itu dan Perdana Menteri.

"Kami (SPRM) telah mengambil keterangan daripada mereka," kata Tan Sri Mohamed Apandi Ali ketika ditanya sama ada kertas siasatan ada menyatakan sebab pemberian dana itu.

Pada Selasa, Apandi Ali mengumumkan bahawa tiada apa-apa kesalahan jenayah dilakukan Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan siasatan kes SRC International dan dana RM2.6 bilion yang didakwa didepositkan ke dalam akaun bank Perdana Menteri.

Beliau berkata siasatan mendapati amaun yang didepositkan adalah sebanyak RM2.08 bilion, dan ia adalah sumbangan peribadi daripada kerabat diraja Arab Saudi pada 2013, dan daripada jumlah itu sebanyak RM2.03 bilion telah dikembalikan semula kepada penyumbang pada tahun yang sama.

"Tiada apa-apa kesalahan jenayah," katanya dalam sidang media berhubung hasil siasatan kes berkenaan.


Berikutan itu, katanya, ketiga-tiga kertas siasatan berkaitan akan dikembalikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk ditutup.

Mohamed Apandi berkata beliau telah mengkaji dengan teliti keseluruhan keterangan saksi-saksi, dokumen-dokumen serta maklum balas dalam kertas siasatan berhubung dana itu dan dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International.

Berhubung dana itu, katanya beliau berpuas hati bahawa wang yang dimasukkan ke dalam akaun perdana menteri merupakan sumbangan peribadi daripada kerabat diraja Arab Saudi kepadanya tanpa apa-apa balasan.

Beliau berkata keterangan saksi dan dokumen sokongan yang dikemukakan SPRM menunjukkan dana yang dimasukkan ke dalam akaun perdana menteri di antara 23 Mac 2013 dan 10 April 2013 berjumlah US$681 juta (RM2.08 bilion) adalah sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Mohamed Apandi berkata pihak SPRM sendiri dalam siasatannya telah merakamkan percakapan saksi-saksi termasuk pemberi sumbangan dana tersebut yang mengesahkan sumbangan tersebut diberikan kepada perdana menteri secara peribadi.

"Saya berpuas hati bahawa tiada keterangan yang menunjukkan bahawa dana tersebut adalah suatu bentuk suapan yang diberikan secara rasuah.

"Keterangan daripada siasatan tidak menunjukkan sumbangan dana tersebut diberikan sebagai dorongan atau sebagai upah untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan kapasiti beliau sebagai perdana menteri," katanya.

Mohamed Apandi berkata perdana menteri mengembalikan semula wang sejumlah US$620 juta (RM2.03 bilion) kepada keluarga diraja Arab Saudi dalam bulan Ogos 2013 kerana dana tersebut tidak diguna pakai.

"Berdasarkan keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen sokongan yang dikemukakan, saya berpuas hati bahawa tiada terzahir apa-apa kesalahan jenayah berhubung sumbangan dana RM2.08 bilion tersebut," katanya.

Oleh itu, Mohamed Apandi berkata tiada keperluan bagi Malaysia membuat permintaan bantuan bersama dalam perkara jenayah kepada mana-mana negara untuk melengkapkan siasatan memandangkan tidak terzahir apa-apa kesalahan jenayah berhubung sumbangan RM2.08 bilion itu.

Berhubung dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International, beliau berkata tiada terzahir apa-apa kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan.

Di bawah Akta SPRM, beliau berkata tiada apa-apa keterangan yang menunjukkan perdana menteri menyalahgunakan kedudukannya semasa mesyuarat Jemaah Menteri yang memberi kelulusan jaminan kepada wang pinjaman RM4 bilion oleh SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Keterangan juga menunjukkan bahawa proses kelulusan pinjaman Lembaga KWAP dan proses kelulusan jaminan pinjaman oleh mesyuarat Jemaah Menteri dibuat secara teratur, katanya.

"Tiada apa-apa keterangan yang menunjukkan perdana menteri meminta atau dijanjikan apa-apa suapan daripada mana-mana pihak sebelum, semasa, atau selepas keputusan Jemaah Menteri dibuat," katanya.

Mohamed Apandi berkata daripada keseluruhan keterangan yang melibatkan keputusan atau tindakan, tidak menggambarkan apa-apa konflik kepentingan oleh perdana menteri.

"Pihak SPRM sendiri mengakui bahawa berdasarkan hasil siasatan mereka, tiada keterangan daripada saksi-saksi yang boleh menunjukkan bahawa perdana menteri melakukan sebarang perbuatan rasuah," katanya.

Bagi siasatan di bawah Kanun Keseksaan, beliau berkata tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan bahawa perdana menteri mengetahui "dan/atau" dimaklumkan terdapat kemasukan wang daripada akaun SRC International ke dalam akaun-akaun beliau.

Mohamed Apandi berkata tiada juga keterangan menunjukkan bahawa perdana menteri memberi apa-apa kebenaran untuk pemindahan mana-mana wang daripada akaun SRC International ke dalam akaun-akaun beliau.

"Keterangan menunjukkan bahawa pada masa-masa yang material, perdana menteri mempercayai segala pembayaran yang dibuat oleh beliau adalah dengan menggunakan wang sumbangan keluarga diraja Arab Saudi yang dipindahkan ke dalam akaun-akaun beliau sebelum itu.

"Berdasarkan kepada fakta dan keterangan, saya sebagai pendakwa raya, berpuas hati bahawa tiada apa-apa kesalahan jenayah dilakukan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berkaitan ketiga-tiga kertas siasatan," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan siasatan yang dijalankan SPRM, Apandi berkata suruhanjaya itu melaksanakan siasatan menyeluruh sungguhpun jumlah fail yang terlibat "menyamai ketinggian beliau."

"Di pihak kami, saya dan pasukan saya - juga telah melakukan penelitian menyeluruh ke atas kertas siasatan. Kami meneliti analisis forensik kesemua keterangan membabitkan angka dan nama.

"Kami malah bertungkus lumus berminggu-minggu untuk meneliti dan merangka carta aliran wang untuk kami memahami sepenuhnya apa yang berlaku dan keseluruhan episod. Ia bukanlah tugas yang mudah dan pasukan saya mengambil sedikit masa untuk menganalisis kesemua ini," katanya, sambil mengangkat carta aliran wang itu, sekaligus menarik perhatian kumpulan jurugambar yang pantas merakamkan gambarnya.

Mohamed Apandi turut menafikan bahawa beliau tidak meminta sebarang penjelasan daripada SPRM berhubung siasatan itu.

"Kami menghantar balik kertas siasatan untuk mendapatkan penjelasan dan permohonan saya untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada mereka itu ada dicatatkan.

"Selain itu, saya ingin menjelaskan bahawa semasa saya mula menerima kertas siasatan, saya ada menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed menerusi panggilan telefon dan kaedah moden WhatsApp.

"Saya juga berhubung dengan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Azam Baki.Tidak benar untuk mengatakan bahawa saya tidak berhubung dengan mereka selepas menerima kertas siasatan," katanya.

Menjawab soalan tentang tujuan sumbangan itu, Mohamed Apandi berkata ia adalah sumbangan peribadi antara keluarga diraja Arab Saudi dan perdana menteri.

Ketika ditanya sama ada sumbangan itu bagi tanggungjawab sosial korporat, beliau menjawab: "Tidak, sebab kami merakamkan kenyataan daripada mereka."

Previous Post Next Post