Pekin sasar filem Mat Moto kutip RM5 juta Artikel Penuh


Kolaborasi Pekin Ibrahim (kiri) dan Syafiq Yusuf berhasil apabila filem Mat Moto arahan mereka bersama mendapat sambutan hangat penonton.

PELAKON Pekin Ibrahim, 35, yang pertama kali duduk di kerusi pengarah menerusi karya tulisannya, Mat Moto nyata terkejut apabila filem pertamanya itu mendapat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangannya, Khamis minggu lalu.

Tidak berhenti di situ, kutipan tayangan mendadak naik sebanyak RM3 juta hanya dalam tempoh tiga hari tayangannya di 50 buah pawagam seluruh negara.

Menurutnya yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbitan Skop Production berkenaan di Cathay Cineplax E@Curve, Damansara, Selangor baru-baru ini, dia langsung tidak menjangkakan sambutan begitu hangat daripada peminat filem tempatan.

Meskipun berdepan dengan kontroversi kerana judul tersebut sama dengan filem pengarah Ahmad Idham, Pekin meletakkan sasaran karyanya itu akan mencapai kutipan RM5 juta apabila ia selesai tempoh tayangannya kelak.

Selain itu, Pekin juga sempat berkongsi pengalaman mengarahkan filem Mat Moto bersama Syafiq Yusof serta barisan pelakon yang hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Shaheizy Sam, Faizal Hussein, Syamsul Yusof dan Zulhuzaimy.


Artis Meletop!: Bagaimanakah perasaan Pekin apabila filem Mat Moto berjaya mendapat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangannya?

Pekin: Sejujurnya memang terkejut kerana saya menjangkakan kutipan tertinggi pada hari pertama adalah RM500,000. Selepas mendapat panggilan daripada Datuk Yusof Haslam pada pukul 3 pagi yang memberitahu filem Mat Moto cecah kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangannya, saya cukup lega dan boleh tidur dengan lena (ketawa).

Pada pandangan anda, apakah faktor yang membuatkan filem Mat Moto mendapat kutipan tinggi pada hari pertama?

Sebenarnya sejak hari pertama penggambaran lagi saya telah mempromosikan filem Mat Moto menerusi akaun laman sosial seperti Instagram. Selama dua tahun orang bercakap mengenai filem Mat Moto, sebab itu apabila siap, penonton tidak sabar untuk ke pawagam. Saya juga diberitahu ada penonton yang membeli tiket empat hari awal sebelum tarikh tayangan bermula. Sokongan seumpama itu memang di luar jangkaan saya.

Adakah timbul sebarang tekanan memandangkan anda satu-satunya orang luar yang dibenarkan mengarah filem terbitan Skop Production Sdn. Bhd.?

Saya mengaku tertekan sebab ini kali pertama mengarah filem dan memecahkan tradisi dalam Skop Production Sdn. Bhd. yang tidak pernah menggunakan khidmat pengarah luar. Selama ini hanya ahli keluarga sahaja yang mengarahkan filem terbitan Skop Production, jadi diakui saya bimbang kerana ambil duit orang, jika tidak dapat untung susah juga. Alhamdulillah, kos pembikinan Mat Moto RM1.3 juta dan sekarang melihat ia telah mencapai kutipan RM3 juta selepas tiga hari tayangan, ini bermakna Mat Moto telah pulang modal.

Adakah kontroversi memiliki judul yang sama dengan filem Ahmad Idham iaitu Mat Moto membantu melariskan filem ini?

Ya, saya mengakui kontroversi tersebut sedikit sebanyak membantu mempromosikan filem ini kepada khalayak. Orang bercakap mengenainya, pihak media juga ambil tahu tentang filem saya, jadi ini yang dikira menjadi antara faktor filem ini diterima baik.

Selepas kontroversi judul filem yang sama, bagaimanakah hubungan anda dengan Ahmad Idham?

Saya dan dia tiada sebarang masalah. Kami pernah bertemu dalam sebuah acara sebelum ini dan bertegur seperti biasa. Saya tidak mahu mengutuk sesiapa, terpulang kepada rezeki masing-masing. Walaupun mempunyai judul filem yang sama, saya percaya kami memiliki peminat tersendiri.

Adakah timbul perasaan gementar apabila terpaksa mengarahkan pelakon yang hebat?

Pada mulanya memang takut dan gementar sebab semuanya nama besar terutama Datuk Rosyam Nor. Namun selepas berjumpa, rasa selesa itu timbul. Selama ini saya tahu mereka pelakon, tetapi selepas duduk di kerusi pengarah, baru sedar patutlah mereka semua menang anugerah. Tugas sebagai pengarah jadi mudah kerana mereka pelakon yang bagus. Tidak perlu susah sewaktu dalam set penggambaran sebab mereka tahu apa yang perlu dilakukan.

Selepas Mat Moto, adakah anda yakin untuk kembali mengarah filem?

Saya merancang untuk mengarahkan lima buah filem dengan skrip tulisan sendiri. Filem Mat Moto merupakan skrip terakhir yang ditulis, ini bermakna saya mempunyai empat buah skrip lagi. Namun, saya tidak boleh tamak dan sedar kemampuan diri. Jika ada skrip yang dirasakan tidak mampu untuk mengarah, saya akan beri kepada orang lain, cuma karya itu masih milik Pekin Ibrahim. Selepas ini ada sebuah filem aksi karya saya yang akan diarahkan oleh Bade Haji Azmi.

Previous Post Next Post