Percaturan Rita Rudaini


HARI ini, 2015 akan melabuhkan tirai dan esok, kita bakal menyambut kedatangan tahun baharu 2016. Pastinya ramai antara kita sudah mempunyai perancangan untuk diatur bermula 1 Januari 2016.

Begitu juga dengan selebriti kita, di mana pastinya mereka juga punyai perancangan sendiri untuk memasuki tahun baharu ini.

Tidak ketinggalan juga aktres tinggi lampai, Rita Rudaini, yang sudah mengatur pelbagai rancangan bermula awal tahun.

Rita yang baru melancarkan produk minyak wangi terbaharunya, Adorable by Rita Rudaini menyimpan impian untuk melihat perniagaannya berkembang lagi untuk tahun 2016.

Menurut Rita sebelum ini, dia sudah mempunyai empat produk keluarannya sendiri di mana kesemuanya berkaitan penjagaan diri dan kecantikan.

“Antara produk yang saya keluarkan adalah produk kecantikan kulit, kopi, kolagen dan kali ini, minyak wangi yang mempunyai dua haruman Stunning dan Classy.

“Alhamdulillah semuanya masih berjalan lancar dan terus mendapat sambutan. Di harap begitu juga dengan sambutan produk minyak wangi ini,” katanya kepada Zass.

Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 39, berkata, pelancaran minyak wanginya itu sebenarnya sudah lama dirancangnya.

“Lebih kurang dua tahun saya merancang dan mencari untuk memiliki minyak wangi sendiri, kerana saya penggemar minyak wangi dari dulu lagi.

“Daripada perancangan itu, saya mula mencari bau haruman yang sesuai dengan diri saya agar pengguna akan mengaitkan bau minyak wangi itu dengan saya.

“Saya sebolehnya tidak mahu menjual minyak wangi yang dibuat sesuka hati. Mahu produk saya ini memuaskan hati saya serta orang lain juga,” katanya.


Mengulas mengenai ideanya untuk menjalankan perniagaan minyak wangi yang kebanyakan artis lain turut mengeluarkan produk sama sebelum ini, jelas Rita, ia suatu persaingan sihat baginya.

“Bagi saya tidak ada apa, kerana ia di atas keperluan masing-masing yang juga memudahkan pengguna serta peminat memilih produk yang mereka mahukan.

“Tidak ada perasaan dengki apabila saya menghasilkan produk ini. Bila ramai lagi artis yang mengeluarkan produk sama, lagi bagus, ia satu persaingan sihat,” katanya.

Berkongsi pula mengenai bidang lakonannya, seperti sebelum ini, dia masih memilih untuk fokus pada satu-satu tawaran dalam satu masa.

“Saya tidak suka menerima banyak tawaran dalam satu masa. Insya-ALLAH bermula Januari 2016, saya akan mula penggambaran untuk satu drama episod di bawah produksi, JS Pictures di samping pelakon, Izreen Azminda dan Sherry Alhadad

“Selepas itu saya akan fokus pula pada perniagaan yang kini semakin mendapat sambutan,” katanya.

Anak suruh kahwin

Diusik soal jodoh seperti yang sering menjadi perhatian sejak akhir-akhir ini, pelakon yang baru muncul dalam filem Love Supermoon ini, menegaskan hatinya masih belum terbuka mengenai perkara itu.

“Bagaimanapun jika ALLAH sudah takdirkan saya akan berkahwin lagi, saya akan terimanya asalkan lelaki itu boleh terima saya dan anak-anak.

“Yang penting juga lelaki itu boleh menyayangi anak-anak saya lebih daripada dirinya dan dapat membimbing kami.

Akui Rita juga, anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, 6 juga pernah menyuarakan hasrat agar dirinya berkahwin lagi.

“Dia pernah suruh saya cari ayah baru untuk dapat adik baru. Saya terkejut apabila dengar dia cakap begitu.

“Dalam masa sama saya rasa sebak, saya tidak tahu apa dia rasa sehingga mengeluarkan soalan sedemikian.

“Mungkin dia melihat rakan-rakan di sekolah ada ayah dan ingin merasai kasih sayang seorang ayah seperti orang lain.

“Saya bukan ibu yang kejam, tidak memikirkan masa depan mereka, tetapi hati saya kini masih belum sedia menerima sesiapa,” katanya yang meminta peminatnya terus mendoakan yang baik-baik buat dirinya.

Rita berkata, walaupun dia tetap akan membawa anak-anaknya keluar beriadah ataupun menonton wayang mengikut permintaan mereka.

“Saya juga merancang mahu membawa mereka bercuti ke Melbourne, Australia, bulan Jun tahun hadapan kerana ketika itu musim salji di sana.

“Selalunya saya akan bawa mereka bercuti pada hujung tahun setiap tahun, namun kali ini tidak berkesempatan kerana sibuk menguruskan pelancaran minyak wangi dan menguruskan kafe.

“Oleh itu, saya mencari juga waktu cuti sekolah yang boleh membawa mereka untuk bercuti dan dalam masa sama tempat itu sedang mengalami musim salji, kerana itu yang dimahukan anak-anak,” katanya.

Previous Post Next Post