Peserta amatur dominasi MLM2016


Seramai 15 pelawak tiga buah negara termasuk Malaysia, Indonesia dan Singapura akan bertanding dalam MLM2016 bermula malam ini.

Pada edisi tahun lalu, peserta yang mulai dilihat underdog iaitu Zero berjaya memecah monopoli apabila dinobatkan sebagai juara Maharaja Lawak Mega 2015 (MLM2015). Memasuki musim kelima, MLM 2016 akan menemui penonton pada setiap Jumaat, pukul 10 malam bermula 29 Januari (malam ini) di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Bakal bersiaran selama 14 minggu, seramai 15 pemain komedi terbaik dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura akan berentap untuk dinobatkan sebagai juara.

Pengurus Saluran Astro Warna, Emarina Kamal berkata, pihaknya menerima banyak maklum balas daripada penonton terutamanya di laman sosial mengenai tarikh edisi terbaharu MLM.

“MLM tersenarai dalam 10 carian trending tertinggi di Malaysia pada tahun lepas. Menerusi senarai yang dikeluarkan Google Malaysia, MLM berjaya menduduki tangga keempat mendahului filem Hollywood, Fast & Furious 7 dan deretan drama bersiri popular tanah air.

“Saya amat berbesar hati terhadap dengan respon dan keterujaan penonton untuk menyaksikan MLM. Justeru, kami bawakan musim terbaharu dengan mengekalkan sebahagian besar format sedia ada di samping memperkenalkan beberapa kelainan, terutama gandingan barisan peserta,” katanya pada sidang akhbar MLM 2016 di ibu negara baru-baru ini.


Mengangkat tema ‘perisik’ untuk edisi kali ini, MLM 2016 menampilkan gabungan pelawak daripada kumpulan berbeza dan disatukan sebagai kumpulan baharu.

Tambah Emarina, barisan peserta MLM 2016 merupakan antara yang terbaik pernah dihimpunkan dalam sebuah pertandingan komedi.

“Kami yakin setiap peserta yang terlibat pada musim ini bukan calang-calang memandangkan rata-rata sudah mempunyai pengalaman luas dalam membuat persembahan lawak. Setiap kumpulan mempunyai kekuatan masing-masing dan saya percaya mereka akan memberikan persaingan sengit pada setiap minggu,” ujarnya.

Seperti tahun sudah, sistem pemarkahan masih dikekalkan iaitu 70 peratus daripada juri tetap dan 30 peratus daripada undian penonton.

Lebih gempak

Sementara itu, bagi Along yang menyertai pertandingan kali bersama Azrul Cham menerusi kumpulan Cham yakin MLM 2016 akan lebih gempak berbanding musim-musim sebelumnya.

“MLM 2016 akan menyaksikan kesegaran berbeza daripada musim terdahulu. Semua kumpulan mempunyai peluang sama rata untuk menyerlah hanya jika melakukan persembahan terbaik setiap minggu.

“Untuk Cham sendiri, saya dan Azrul akan memikirkan idea baharu bagi menarik minat juri dan orang ramai supaya dapat memberikan saingan sengit untuk musim kali ini,” ujar Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 33.

Selain Cham, kumpulan yang akan bertanding dalam MLM2016 adalah LOL (Tauke, Angah dan Ajak), Joras (Shuk, Rahim dan Joey), Bocey (Acey, Abam dan Fad), Awok (Filzah, Ain dan Ayie Hushairi), Bora (Isa, Yan dan Mamat), Bos (Ajo, Abu dan Ezad Lazim), Enjen (Raja Azri, Acong dan Yus), Shake (Amir, Bell Ngasri dan Haszmi), Chilok (Chiwan, Achok dan Kamal), Saywho (Cicha, Bocil Bancin dan Agus), Xola (One, Chot dan Wan Wala), Puteh (Mamak dan Ali) serta dua peserta solo iaitu Reza Mukmin dan Kavin Jay.

Previous Post Next Post