Raja Azmi Nikah Semula Dengan Eddie 26 Februari Depan


Selepas lebih setahun bercerai, produser kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman membuat keputusan untuk bernikah semula dengan bekas suaminya iaitu Mohd Eddie Ghazali yang dijadualkan pada 26 Februari depan.

Raja Azmi, 57, berkata, keputusan itu dibuat selepas hatinya terbuka untuk menerima Eddie, 48, sebagai suaminya semula selepas mendapat petunjuk daripada Allah.

"Alhamdulillah, hati saya terbuka sekali lagi untuk bernikah semula dengannya dan berharap perkahwinan kali ini akan kekal hingga ke akhirat.

"Majlis tersebut akan diadakan secara kecil-kecilan sahaja yang bakal dihadiri keluarga dan rakan-rakan terdekat. Majlis hanya akad nikah dan doa selamat sahaja," ujarnya secara eksklusif kepada mStar Online, di sini, Selasa.

Katanya, majlis akad nikah itu akan diadakan di Surau Sering Ukay, Ukay Perdana, Ampang, selepas solat Isyak.

Dalam pada itu, Raja Azmi berkata, keputusannya untuk kembali berumah tangga dengan lelaki tersebut selepas membuat solat Istiqarah bagi memohon petunjuk daripada Allah.



Raja Azmi dan Eddie bercerai pada 11 November 2014 di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Ampang Selangor.

Katanya, biarpun lebih setahun bercerai, Eddie yang juga bekas gitaris kumpulan CRK itu tidak pernah jemu berusaha membuka hatinya semula untuk kembali bersama.

"Kami bercerai setahun ini kami masih berkawan baik, banyak pengajaran yang saya dan dia dapat untuk perbaiki pada rumah tangga kali kedua ini.

"Saya akui jatuh cinta semula kerana dia sentiasa ada ketika saya gembira dan bersedih. Saya juga beberapa kali buat solat Istiqarah dan Alhamdulillah memang Allah beri petunjuk ke arah ini," ujarnya.

Sementara itu, Raja Azmi berkata, dia berharap dapat melayari perkahwinan kali ini dengan lebih baik dan membina sebuah keluarga yang bahagia.

"Saya belajar untuk lebih banyak bersabar dan dia juga sudah sedar apa kesalahan-kesalahannya dahulu. Insya-Allah kami akan bina semula rumah tangga ini dengan baik.

"Saya juga berharap orang ramai dan peminat turut mendoakan kebahagiaan kami," katanya.

Raja Azmi dan Eddie bercerai pada 11 November 2014 di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Ampang Selangor. Mereka berkahwin pada 13 Oktober 2013.

Raja Azmi sebelum itu pernah berkahwin dengan jaguh badminton negara, Mohd Jalani Sidek dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Puteri Suraya, 30, Puteri Suaida, 26, dan Megat Deli, 21.

Previous Post Next Post