Sentuhan magis Akim & The Majistret lakar sejarah


BAHARU sahaja dinobatkan sebagai pemilik trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) ke 30, Akim & The Majistret nyata membawa impak kepada anugerah berprestij yang diadakan di Stadium Melawati Shah Alam, kelmarin.

Membawakan lagu Potret ciptaan Hang Nadim dengan sentuhan lirik oleh Kamar Empayar, siapa sangka lagu berkenaan berjaya menewaskan beberapa lagu Tak Pernah Menyerah dan Assalamualaikum yang dianggap saingan kuat kepada Potret.

Bukan kerana liriknya sahaja, sebaliknya persembahan memukau Akim & The Majistret pada malam berkenaan cukup mantap dengan gaya tersendiri sehingga berjaya memikat hati juri.

Nyata sentuhan magis Akim & The Majistret pada AJL 30 memberi persepsi baharu terhadap anugerah hebat itu dalam mengiktiraf genre lagu berbeza pada setiap musim AJL.

Berkongsi mengenai kemenangannya, Akim mewakili ahli kumpulan berkenaan memberitahu, mereka masih terkejut dengan keputusan itu.


“Saingan kami sangat hebat sementelah Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir, Black dan Hazama sendiri layak ke final.

“Apabila diumumkan sebagai juara AJL 30 memang kami tidak menyangka keputusan yang dibuat,” katanya pada sidang media selepas AJL 30 berakhir.

Menurutnya, meski pun pernah kecewa kerana sebelum ini kerana lagu Mewangi tidak layak ke pentas AJL 29, tahun lalu, namun kemenangan itu mencetuskan fenomena baharu terhadap kumpulan itu.

“Anugerah ini sekali gus memberi dimensi baharu kepada kami. Mungkin sebelum ini bukan rezeki kami dan apa pun, kami bersyukur kerana juri memberi kepercayaan kepada Akim & The Majistret dan lagu Potret itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 25, berkata, dia sangat berterima kasih kepada Kamar Empayar yang merupakan abangnya sendiri kerana mengilhamkan lirik Potret.

“Alhamdulillah, nampaknya sentuhan istimewa daripada abang saya (Afham Ahmad) membuahkan hasil. Sementelah juri sendiri memberikan pendapat lirik dan mesej yang ada pada lagu berkenaan mempunyai kekuatan,” katanya.

Sementara itu, Afham menjelaskan, dia turut gembira kerana Potret diangkat sebagai juara AJL 30.

“Ini adalah percubaan pertama saya. Pada awalnya, Akim menghantar melodi lagu menerusi email sahaja, dan saya cuba menterjemahkan lirik tersebut apabila mendengar melodi itu.

“Kata Akim, dia memberi sepenuh kepercayaan kepada saya kali ini dan saya cuba memberikan yang terbaik,” katanya.

Ditanya bagaimana dia mendapat inspirasi mengolah lagu itu, akuinya, tidak sukar menghasilkan lirik berkenaan kerana dia mempunyai subjek yang hendak diangkat.

“Lagu ini berkisar seorang ustaz di sekolah saya dahulu yang mempunyai kisah tersendiri di sebalik kehadiran dan pemergiannya menerusi lagu ini,” katanya.

Kemenangan Akim & The Majistret sekali gus melayakkan mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 berserta trofil AJL 30.

Selain itu, mereka turut memenangi kategori persembahan terbaik AJL 30 yang menerima ganjaran RM12,000 dan trofi.

AJL 30 dipancarkan oleh Pamoga Qu Puteh turut menyaksikan 11 lagi peserta berentap meraih gelaran juara.

Previous Post Next Post